Memperkasakan Ulama : Antara Realiti, Peranan Dan Cabaran

web kpt

Memandang kepada realiti dunia, kita akan merasai suatu kehilangan. Dunia yang dulunya indah, aman, dan lebih terurus kini pastinya berbeza. Dicemari dengan warna-warna hedonisme, sekularisme, pasca modenisme, feminisme, liberalisme dan pelbagai aliran pemikiran yang akan mengheret masyarakat ke lembah kebinasaan.

Kata Mahamad Naser Disa, Timbalan Ketua Bahagian Penasihat (Syariah), Jabatan Peguam Negara, yang mengulas mengenai isu ini, “fahaman ini, meresap masuk ke dalam pemikiran masyarakat Islam dan penularannya berlaku secara halus sama ada secara disedari atau tidak.”

Ia diolah secara rasional sehinggakan jika ia tidak dibanteras dengan berkesan boleh menjejaskan akidah umat Islam
Berputih mata dengan merelakan dunia menuju kehancuran merupakan tindakan pengecut. Dunia ini umpama kereta, nas-nas Al Quran dan hadis adalah buku manualnya. Namun, dimanakah pemandunya?

Pada waktu inilah kita akan terkesima dengan kebejatan dunia dan mula tercari-cari dimanakah ULAMA yang akan memandu dunia kembali kearah kesejahteraan.

رواه أبو نعيم في [الحلية] عن ابن عباس ، وقد ذكره السيوطي في الجامع الصغير بهذا اللفظ
صنفان من الناس إذا صلحا صلح الناس وإذا فسدا
فسد الناس: العلماء والأمراء

Diriwayatkan daripada Abu Naim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada dua kelompok manusia, jika kedua-duanya baik, maka masyarakat akan jadi baik, dan jika kedua-duanya rosak, maka masyarakat akan rosak, mereka itu ialah ulama dan umara.”

Ulama yang dinanti-nantikan oleh masyarakat ialah ulama yang memandang dunia menerusi dimensi akhirat, membimbing dengan penuh hikmah, ikhlas dalam penyampaian ilmunya, tidak terlalu mudah menghukum, meletakkan jiwa mereka di dalam “kasut” mad’u dan sentiasa memberi pencerahan dan fatwa yang mudah untuk diamalkan oleh semua golongan.

Namun, perlu diingati bahawa ulama juga tidak boleh terlalu longgar dalam berfatwa rentetan peranannya sebagai benteng agama. Penjaga prinsip-prinsip agama daripada serangan liberalisme dan keterbukaan melampau yang akan mencemarkan agama.

Imam al-Ghazali ketika mengulas peranan ulama dan umara’ pada zamannya pula menyatakan: “Adalah menjadi kebiasaan bagi ulama untuk melakukan kerja amar maaruf dan nahi mungkar tanpa mengira sangat kekejaman pemerintah. Mereka percaya Allah akan menjaga mereka. Mereka rela menjadi syahid jika ditakdirkan begitu oleh Allah. Oleh kerana mereka itu ikhlas, bersikap jujur dan menyumbangkan tenaga semata-mata untuk menegakkan ilmu, maka orang ramai mudah menerima nasihatnya. Tetapi sekarang, lidah ulama sudah menjadi kelu kerana diikat oleh kepentingan. Jika pun mereka bercakap, tidak akan berjaya kerana pembawaan hidup mereka sendiri berbeza dengan apa yang dicakapkan. Sesungguhnya rakyat rosak kerana pemerintah dan pemerintah rosak kerana ulama. Sementara ulama pula rosak kerana tamak harta dan pangkat.

Apa yang dituntut oleh masyarakat terhadap insan yang digelar ulama adalah bimbingan dan ilmu.
Manusia akan selamanya memandang jijik dan hina terhadap golongan ilmuwan agama yang mengkambing hitamkan ilmunya untuk kepentingan tertentu. Realitinya ramai yang sanggup menjadi “terompah” pihak tertentu untuk mendapatkan kuasa, kedudukan, pangkat dan harta.

Apakah hakikat ulama?
Firman Allah yang bermaksud: “Sebenarnya yang takut kepada Allah dari kalangan hamba-Nya hanyalah ulama (orang yang berilmu).” – (Surah Faathir, ayat 28)

Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka Kami penuhi usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan daripadanya. Mereka tidak beroleh di akhirat kelak selain daripada neraka, dan gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah Huud, ayat 15-16)

Ulama sewajarnya menjadi insan yang menterjemahkan Al-Quran, Sunnah, dan cara hidup Islam samada dalam bentuk perkataan atau tindakan. Ini kerana para ulama yang lebih memahami ajaran dan kandungan al-Quran dan as-Sunnah. Membiarkan mereka yang jahil mengelola dunia ini tentunya akan menghancurkan segenap penjuru diseluruh dunia, sIstem hidup dan kehidupan. Itu yang disabdakan Nabi sebagai golongan yang mengambil pemimpin, kemudian sesat dan menyesatkan. Sesat diri sendiri kerana tiada ilmu sebenar dan menyesatkan orang lain sehingga merosakkan seluruh aspek kehidupan.

Masih banyak isu-isu yang memerlukan ulama sebagai sang pencerah. Kepada insan-insan yang digelar ulama, terjunlah kedalam kehanyiran isu-isu masyarakat dan gapailah sebanyak mungkin tangan yang mampu kalian selamatkan. Isu kebangkitan Islam, cabaran pemikiran semasa, isu- isu politik, ekonomi, kemasyarakatan, isu akidah, perundangan, dakwah dan pendidikan.

Bekalkanlah jiwa kalian dengan ilmu.

يقول الإمام أحمد رحمه الله تعالى:
” الناس محتاجون إلى العلم أكثر من حاجتهم إلى الطعام والشراب، لأن الطعام والشراب يُحتاج إليه فى اليوم مرة أو مرتين، والعلمُ يُحتاج إليه بعدد الأنفاس”.
Berkata imam Ahmad rahimahullahu taala “ keperluan manusia terhadap ilmu adalah lebih banyak daripada keperluan mereka kepada makanan dan minuman, kerana makanan dan minuman itu diperlukan sekali atau dua kali dalam sehari, sedangkan ilmu itu diperlukan sebanyak bilangan nafas”.

”SESUNGGUHNYA ULAMA ITU ADALAH PEWARIS PARA NABI”

Disediakan oleh:
Muhammad Sufian bin Awang,
AJK Biro Informasi & Penerbitan,
KPT Mesir sesi 2011/2012

Popularity: 4% [?]

About the Author