KAHERAH, 18 Februari – Hari Mahabbah & Silaturrahim Anak-anak Terengganu 2012 (HARMONI ’12) yang telah berlangsung selama 3 hari 2 malam bermula pada 16 Februari 2012 sehingga 18 Februari 2012 di bawah anjuran Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Mesir telah berlangsung dengan jayanya. Majlis Perasmian Penutup HARMONI ’12 telah diadakan di Dewan Darul Iman pada jam 9.15 malam.
Majlis dimulai dengan ucapan Pengarah HARMONI ’12, saudara Abdul Manaf bin Abdul Ghani. “Pembawakan tema tahun ini iaitu “Anok-Beranok Guane Ngak”, iainya diharap dapat mencapai objektif untuk menyatukan anak-anak Terengganu yang berada di Perlembahan Nil bagi mengukuhkan lagi tali ukhuwwah anak-anak Terengganu di bumi Mesir” ujar beliau.
Ukhuwwah merupakan ikatan keimanan yang paling kukuh sebagaimana yang dinyatakan oleh nabi Muhammad SAW :
“Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah”ujar beliau lagi.
Seterusnya, ucapan daripada Yang Dipertua KPT Mesir sesi 2011/2012, saudara Mohd Zahani bin Abdul Ghani. Beliau menegaskan bahawa kita bertemu atas akidah Islamiah yang dibina oleh nabi Muhammad SAW sejak dahulu lagi.
“Kita bukan pemula dan bukan pengakhir perjuangan nabi Muhammad SAW, tetapi kita adalah penerus rantai-rantai perjuangan nabi Muhammad SAW” ujar beliau lagi.
Penolong Pegawai Hal Ehwal Pelajar Terengganu Mesir, Encik Mohd Rosli bin Awang di dalam ucapan Perasmian Penutup HARMONI ’12 telah menegaskan bahawa setiap gerak kerja dalam sesuatu pekerjaan perlu mempunyai unsur kerjasama dan saling bertolak ansur antara satu sama lain agar dapat menghasilkan gerak kerja yang bermutu tinggi.
Kekuatan dapat dipupuk melalui kesatuan, maka tidak akan lahirnya kesatuan tanpa ada kesefahaman antara satu sama lain” ujar beliau.
Majlis diteruskan dengan pembahagian hadiah kepada semua pemenang HARMONI ’12 yang telah disempurnakan oleh Penolong Pegawai Hal Ehwal Pelajar Terengganu Mesir, Encik Mohd Rosli bin Awang.
Seterusnya, tayangan video sepanjang perjalanan HARMONI ’12. Program berakhir dengan penyampaian cenderahati daripada YDP KPT Mesir, saudara Mohd Zahani bin Abdul Ghani kepada Penolong Pegawai Hal Ehwal Pelajar Terengganu Mesir, Encik Mohd Rosli bin Awang. Majlis bersurai jam 10.45 malam dengan sedikit hidangan makanan kepada semua yang hadir.
Pihak KPT Mesir selaku persatuan induk mahasiwa-mahasiswi Islam Terengganu mengharapkan agar semua ahli KPT Mesir sentiasa menjalinkan hubungan silaturrahim antara satu sama lain agar mampu menghasilkan kekuatan bagi membentuk komuniti yang terus mendokongi dan bekerja untuk Islam.
“KEMANTAPAN FIKRAH, MEMBINA SYAKSIAH”
“BERILMU & BERAMAL”
Popularity: 6% [?]






