Selayang Pandang KPT Mesir

Sejarah Penubuhan

SEJARAH PENUBUHAN

Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Mesir atau nama asalnya Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Republik Arab Mesir (KPTRAM) telah ditubuhkan pada tahun 1964. KPT Mesir adalah persatuan yang berdaftar di bawah Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dan bernaung di bawah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dengan bermatlamatkan penyatuan dan menjaga kebajikan seluruh anak Terengganu di Mesir. KPT dari tahun ke tahun mampu mengekalkan dasar sebagai badan kebajikan sehingga sekarang. Generasi pertama KPT berpusat di no. 22, Haraf Refat, Maniel, Flat 6, Kaherah, Mesir.
Pada peringkat awal penubuhannya seramai 28 orang pelajar Terengganu menjadi ahli KPTRAM yang menuntut ilmu di bumi Mesir. Mesyuarat pertama telah diadakan pada 27 Februari 1964. Dalam mesyuarat ini mereka telah memilih lima orang pelajar untuk menguruskan hal ehwal pelajar di bawah nama Wakil Pelajar Terengganu(WPT) antara tahun 1964-1970.
Agenda terpenting yang sentiasa diperjuangkan oleh WPT ialah masalah kewangan pelajar. Hal ini memandangkan matawang Malaysia pada waktu itu amat rendah nilainya jika dibandingkan dengan matawang Mesir. Permasalahan ini menyebabkan ramai pelajar menghadapi kesulitan untuk memperbaharui syarat permastautinan. Syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Mesir ialah sebanyak LE 120 (RM 80). Alhamdulillah dengan hasil rundingan yang berterusan semenjak tahun 1964, iaitu era kepimpinan Ustaz Sulaiman bin Ali(1964-1966) sehingga tahun 1968, di bawah kepimpinan Ustaz Mohd Yusuf bin Noor (1967-1968), segala permasalahan berjaya diatasi dengan persetujuan pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) untuk membuat pembayaran sebahagian daripada jumlah yang ditetapkan.
Selain daripada itu, terdapat juga pelajar-pelajar yang mendapat biasiswa daripada kerajaan Persekutuan dan Negara Islam yang lain seperti Libya, Iraq dan Brunei. Walaupun pada tahun 60-an, bantuan yang diberikan agak tidak munasabah dengan keperluan pelajar. Namun ia sentiasa dipertingkatkan  dari semasa ke semasa hasil rundingan pucuk kepimpinan WPT, juga dengan merujuk kepada ekonomi negeri. Usaha untuk mendapatkan rumah tetap bagi dijadikan pejabat serta pusat kegiatan dan pertemuan dengan ahli-ahli KPT mula digerakkan menjelang tahun 1969 di era kepimpinan Ustaz Mohd Yusof bin Noor. Usaha tersebut diteruskan lagi oleh kepimpinan berikutnya sehinggalah kerajaan negeri menerusi Yayasan Terengganu bersetuju memberi peruntukan kewangan dan KPT mula berpindah ke rumah baru iaitu rumah yang digunakan sekarang.
Rombongan pelajar puteri pertama seramai dua orang tiba di Kaherah pada tahun 1968. Pada tahun berikutnya, bilangan penuntut KPT semakin meningkat dan aktiviti KPT turut dipergiatkan lagi dengan usaha-usaha untuk meningkatkan taraf akademik pelajar di samping menitikberatkan permasalahan kebajikan pelajar.
Pada 24 Mac 1972, KPT telah menghantar satu memorandum kepada Kerajaan Negeri berkenaan tangga gaji para lepasan Universiti Al-Azhar. Pada tahun 1973-1975, di era kepimpinan Ustaz Harun Taib, KPT mula menunjukkan penekanan yang serius dalam menghidupkan majlis ilmu dan diperkemaskan lagi di era kepimpinan Ustaz Abdul Hadi bin Awang (1975-1976). Hasil daripada itu, kegiatan keilmuan telah dianjurkan dengan meluas oleh KPT. Program-program seumpama ini terus diperbaiki dan dikemaskini, bahkan menjadi aktiviti kebiasaan bagi pelajar-pelajar Terengganu di Mesir sehinggalah sekarang.
Menjelang tahun 1988, perkhidmatan kebajikan kepada pelajar diperluaskan lagi dan masih kekal sehingga hari ini.Sementara itu, KPT sentiasa cuba menjalinkan hubungan yang baik dengan pihak Kerajaan Negeri Terengganu. Hubungan ini dibuat melalui perbincangan dan juga dengan cara menghantar memorandum. Semenjak awal, pihak Yayasan Terengganu memainkan peranan yang penting dalam membantu para pelajar Terengganu ke Timur Tengah. Namun, pada dasarnya KPT lebih berperanan sebagai wakil tunggal dalam menyalurkan segala bentuk kebajikan kepada anak-anak Terengganu di bumi Mesir ini.Bermula Februari 1999, semakin ramai pelajar persendirian mendiami Kompleks Asrama Pelajar Terengganu di bawah pentadbiran Yayasan Terengganu bagi mengurangkan tekanan ekonomi semasa. Pada tanggal 20 Jamadil Awal 1421, bersamaan 23 Jun 2000 sejarah menyaksikan Kompleks Asrama Terengganu telah dirasmikan oleh Tuan Guru Haji Harun bin Taib, ahli Majlis Mesyuarat kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Dakwah dan Pelaksanaan Syariah.

Popularity: 31% [?]

About the Author