.الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين

Pertamanya, syukur kepada Allah S.W.T atas limpahan kurnia kepada hamba- hamba Nya. Selawat dan salam kepada junjungan besar baginda S.A.W dan kepada seluruh pengikut baginda.

Menyentuh berkenaan  CORONA Virus atau dikenali dengan COVID-19 yang kian merebak, manusia mengikut langkah- langkah selamat, mereka mengikutinya tanpa melawan, tidak menyangkal sedikit, walau sedikit! . Namun, setengah manusia, ia mengikut ketetapan manusia tanpa sanggahan, tetapi ingkar dari beriman kepada Allah Pencipta mereka serta menyelamatkan mereka dari segala malapetaka. Sedangkan, Allah lah yang menyusun mereka, menyelamatkan mereka lebih dari rasa sakit dunia yang diinginkan, serta sakit yang dielak oleh manusia dari terlibat dengannya. Ya, Mereka mengira selamat dari penyakit itu sudah cukup, supaya tidak merasa sakit pada hari akhirat kelak. Adakah begitu akalan yang sihat? Amat jauh sekali tujuan asal pengabdian kepada Allah!

Hampirnya hari hisab mengingatkan kita, jika tidak mati hari ini, jika tidak esok dan lain- lain hari yang manusia inginkan, kelak pasti juga akan mati, Allah telah menyusun sebaiknya perkara itu. Dekatnya dengan hari ”penghisaban” tersebut itu, namun manusia ” lalai” bahkan mereka berpaling dari akhirat.

ِ اقْتَرَبَ لِلنَّاسِ حِسَابُهُمْ وَهُمْ فِي غَفْلَةٍ مُعْرِضُونَ

Telah semakin dekat kepada manusia perhitungan amal mereka, sedang mereka dalam keadaan lalai (dengan dunia), berpaling (dari akhirat).
-Surah Al-Anbiya’, Ayat 1

Mengapa manusia jadi begini? Pukulan malapetaka serta goncangan hati menghampiri dan mengepung mereka.
Bukankah sepatunya, semakin hampir dengan penghisaban ; mereka dekat, bertaubat, berserah diri sebulat- bulatnya kepada Allah? -Bahkan manusia melihat sendiri, dengan mata kepala mereka, seorang demi seorang terkena, cuba untuk mengelak, ianya tetap datang jua- Namun, ia kekal dengan keliru, lalu memilih jalan lalai -dari apa yang sepatutnya dilakukan-

Al Quran telah sempurna penurunannya, ia melalui proses turun secara berperingkat (bukan sekaligus), antaranya ia bertujuan untuk memperteguh hati Nabi SAW.

وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَوْلَا نُزِّلَ عَلَيْهِ الْقُرْآنُ جُمْلَةً وَاحِدَةً ۚ كَذَٰلِكَ لِنُثَبِّتَ بِهِ فُؤَادَكَ ۖ وَرَتَّلْنَاهُ تَرْتِيلًا

Dan orang-orang kafir berkata, “Mengapa Al-Qur’an itu tidak diturunkan kepadanya sekaligus?” Demikianlah, agar Kami memperteguh hatimu (Muhammad) dengannya dan Kami membacakannya secara tartil (berangsur-angsur, perlahan dan benar).
-Surah Al-Furqan, Ayat 32

Namun, setelah penurunan al Quran itu, adakah golongan- golongan yang kufur kepada Allah itu mengambil peringatan serta pengajaran?

Seterusnya, kita kembali merenung, ayat kedua Surah Al Anbiya’, ia menyentuh tentang sikap sambutan puak- puak ini terhadap al Quran dengan main- main dan sewenang- wenang, mereka mendengarnya dengan gurau senda dan mengejek. Ini kerana hati mereka, yang merupakan pusat supaya berfikir, merenung telah menjadi tidak berharga, sakit terus kosong tanpa tujuan dan tanpa dasar.

Tersebut dalam riwayat hidup ‘Amir Bin Rabi’ah yang ditulis oleh Al Amidi bahawa pada suatu hari ada seorang Arab menjadi tetamunya. Beliau telah memberi sepenuh keraian kepada orang itu. Kemudian orang ini datang pula dengan beliau setelah dia mendapat satu kawasan tanah yang luas (untuk membalas budi baik beliau). Dia berkata kepada ‘Amir: “Saya telah meminta dari Rasulullah S.A.W satu kawasan tanah perlembahan dan saya mahu berikan sebahagian dari tanah itu untuk kamu dan anak cucu kamu selepas kamu”. Jawab ‘Amir: “Saya tidak perlu kepada tanah pemberian kamu itu, kerana pada hari ini telah turun satu surah Al Quran yang telah menyebabkan hati kami lupakan dunia iaitu :

 

ِ اقْتَرَبَ لِلنَّاسِ حِسَابُهُمْ وَهُمْ فِي غَفْلَةٍ مُعْرِضُونَ

Telah semakin dekat kepada manusia perhitungan amal mereka, sedang mereka dalam keadaan lalai (dengan dunia), berpaling (dari akhirat).
-Surah Al-Anbiya’, Ayat 1

Inilah perbezaan hati orang- orang beriman yang menyambut dengan baik al Quran itu, serta menghayati apa isi kandungannya.

COVID-19, selain dari segala pencegahan penyakitnya, perlu jua kita mengingati serta muhasabah diri akan kematian serta hari kiamat yang bakal tiba. Hendak selamat, biarlah keselamatan tersebut berfaedah akan hal dunia dan ukhrawi kelak. Oleh kerana itu, umat Islam menerima perkara tersebut dengan hati yang reda serta terbuka atas apa yang berlaku, berserah dan memohon ampunan daripada Allah S.W.T dengan penuh rasa rendah diri.

Seterusnya, kita kembali kepada penghayatan hadits Nabi S.A.W bagi orang- orang yang memahami.

Rasulullah S.A.W bersabda:

وعن أسامة بن زيد عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: إذا سَمِعْتُمْ بالطَّاعُونِ بأَرْضٍ فلا تَدْخُلُوها، وإذا وقَعَ بأَرْضٍ وأَنْتُمْ بها فلا تَخْرُجُوا مِنْها… متفق عليه

“Dari Usamah bin Zaid R.A dari Nabi S.A.W: “Apabila kamu mendengar berlakunya wabak taun di suatu negeri, maka janganlah kamu memasukinya. Dan apabila berlaku dalam negeri kamu berada di dalamnya, maka jangan kamu keluar.” (Muttafaqun ‘Alaih)

Rasulullah S.A.W bersabda lagi:

فعن عائشة رضي الله تعالى عنها، قالت: سَأَلْتُ رَسولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ عَنِ الطَّاعُونِ، فأخْبَرَنِي أنَّه عَذَابٌ يَبْعَثُهُ اللَّهُ علَى مَن يَشَاءُ، وأنَّ اللَّهَ جَعَلَهُ رَحْمَةً لِلْمُؤْمِنِينَ، ليسَ مِن أحَدٍ يَقَعُ الطَّاعُونُ، فَيَمْكُثُ في بَلَدِهِ صَابِرًا مُحْتَسِبًا، يَعْلَمُ أنَّه لا يُصِيبُهُ إلَّا ما كَتَبَ اللَّهُ له، إلَّا كانَ له مِثْلُ أجْرِ شَهِيدٍ… رواه البخاري

“Daripada ‘Aisyah R.A berkata: “Aku bertanyakan Rasulullah S.A.W berkenaan wabak taun, lalu Baginda memberitahu kepadaku bahawa itu adalah azab Allah yang diutuskan kepada sesiapa yang dikehendaki dan Allah menjadikannya rahmat kepada orang-orang yang beriman. Tiadalah seseorang yang ditimpa bencana wabak ini lalu dia tinggal dalam negerinya dengan sabar dan percaya kepada takdir Allah, tidaklah menimpanya melainkan mengikut ketentuan yang ditetapkan oleh Allah, nescaya dia mendapat kelebihan syahid.” (Riwayat Al-Bukhari)

Cukuplah dengan bentangan di ruangan ini, membuka mata minda bagi berhadapan permasalahan serta wabak yang di alami kini.

Seterusnya, sama- samalah kita tingkatkan kecaknaan terhadap kenyataan- kenyataan yang telah dikeluarkan, samada dari peringkat Kedutaan, serta KPT sendiri. Mahasiswa/wi perlu mengambil berat dengan sebarang makluman terkini yang telah dikesmakini dari masa ke semasa, keputusan tersebut dengan mengambil kira, beradasarkan maslahah- maslahah yang tertentu. Sehubungan itu juga, saya mengambil kesempatan untuk mengingatkan Anak- anak Terengganu disini -khusunya- serta Anak- anak Negeri yang lain -umumnya- supaya menjaga kesihatan dengan sebaik mungkin, juga meningkatkan tahap kesihatan dengan mengikut panduan- panduan kesihatan yang telah dikeluarkan serta cakna dengan keadaan sekeliling.

Bersama- samalah kita bermunajat serta memohon ampun kepada Allah S.W.T, agar Allah menghindari kita semua dari segala penyakit, wabak dan segala keburukan yang tidak diingini terhadap diri.

.والله أعلم

Disediakan Oleh:
Yang Dipertua,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT),
Sesi 2019/2020.

(Visited 83 times, 1 visits today)

Comments

comments