Mutakhir ini, hiburan menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian manusia, terutamanya golongan muda mudi dalam kalangan umat islam. Dimana jua mereka berada semestinya hiburan menjadi teman pilihan.

Islam tidak menghalang hiburan itu selagi mana tidak bercanggah dengan syariat islam. Fuqaha’ berpandangan bahawa hiburan dalam islam adalah harus hukumnya melainkan hiburan itu jelas mendatangkan kelalaian dan keburukan ataupun wujudnya unsur-unsur yang haram di dalamnya.

Hiburan yang berlebihan boleh didefinisikan sebagai budaya hedonisme. Apakah itu hedonisme? Menurut kamus dewan edisi 2005, hedonisme adalah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan dan kesenangan hidup. Fahaman ini lahir daripada asas sekularisme yang menolak fahaman agama dalam kehidupan manusia.

Antara kesan budaya hedonisme ini adalah timbulnya sikap pentingkan kemewahan, peningkatan kes jenayah, keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja, keruntuhan institusi kekeluargaan, peningkatan masalah gejala sosial, dan lahirnya masyarakat yang obses dengan duniawi.

Jika dilihat pada umat zaman sekarang, pengaruh dan budaya hedonisme telah mula menguasai minda dan pemikiran masyarakat terutamanya golongan remaja. Keadaan ini boleh menjadi ancaman kepada agama, masyarakat dan negara pada masa akan datang. Budaya ini bukan sahaja bertentangan dengan adat resam dan budaya masyarakat melayu yang mementingkan kesopanan dan kesusilaan, malah bertentangan dengan ajaran agama. Sekiranya tidak diambil serius, budaya ini akan terus merosakkan minda dan pemikiran generasi muda akan datang.

 

Kata Sayidina Umar Al-Khattab :

 

“Jika kamu ingin melihat kekuatan sesebuah negara, lihatlah kepada pemudanya hari ini”.

Persoalannya, bagaimanakah pemuda pemudi kita pada masa kini? Adakah mereka mampu menjadi generasi yang memimpin sesebuah negara atau sebaliknya? Jadi, marilah sama- sama kita mengambil cakna akan permasalahan masyarakat kita pada hari ini.

 

 

Sabda Nabi S.A.W :

” من لا يهتم بأمر المسلمين فليس منهم”

 

“Barangsiapa yang tidak peduli urusan kaum Muslimin, maka dia bukan golonganku.” (Hadis riwayat Hudzaifah RA).

Dan sabda baginda lagi,

 

” لا يؤمن أحدكم حتّى يحبّ لأخيه ما يحبّ لنفسه”

Hal ini dikatakan demikian kerana, golongan pemuda adalah golongan harapan  yang akan memenuhi barisan pelapis untuk meneraju dan mencorak pembangunan umat dan negara, supaya tidak menjadi seperti  ‘sudah terhantuk baru tengadah’ kerana pada masa itu sudah tiada gunanya lagi untuk sebuah penyesalan.

Pengaruh media massa dan kemajuan dunia tanpa sempadan merupakan salah satu punca masalah hedonisme, akibat daripada pertembungan budaya islam dan barat dalam kepelbagaian aspek. Perkara ini dianggap sebagai racun yang boleh merosakkan masyarakat kerana ia sering menjadi tumpuan pembaca dan tontonan masyarakat pada masa kini.

Hedonisme itu sendiri bukanlah gaya hidup bebas semata, bahkan keseronokan yang ditawarkan dalam budaya hedonisme bersifat fana atau menipu. Apa yang kini dianggap moden belum tentu bernatijah baik bagi kehidupan manusia kerana ia sering mendatangkan keburukan .

 

Firman Allah S.W.T :

“و من النّاس من يشترى لهو الحديث ليضلّ عن سبيل الله بغير علم ويتّخذها هزوا أولئك لهم عذابٌ مّهين”

“Dan diantara manusia ( ada ) orang yang mempergunakan percakapan kosong untuk menyesatkan (manusia) daripada jalan Allah tanpa ilmu dan menjadikannya olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan.” (Surah Luqman, ayat 6)

 

 

 

Bertitik tolak daripada kenyataan di atas, budaya hedonisme tidak boleh disesuaikan sama sekali dengan Islam lantaran akarnya yang tumbuh dari sekularisme. Islam mengharuskan hiburan untuk menyenangkan hati dan bergembira di samping dapat mengeratkan ukhuwah, tanpa mengabaikan pada matlamat utama kita, iaitu untuk mendekatkan diri kepada yang Maha Esa.

 

Sabda Nabi S.A.W :

“تركت فيكم أمرين لن تضلّوا ما تمسّكتم بهما كتاب الله و سنة نبيه”

“Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang kalian tidak akan tersesat selagi mana berpegang teguh kepada keduanya, kitabullah dan sunnah Nabi-Nya” (HR Malik)

Justeru itu, akar hedonisme mesti dileburkan dari jiwa masyarakat Islam, dan ia menjadi kewajipan kita selaku penuntut ilmu agama yang juga merupakan golongan agamawan untuk memikul tanggungjawab dalam mendidik generasi yang akan datang agar nilai-nilai Islam dapat ditanam sekaligus disemai dalam jiwa setiap anak remaja yang dahagakan tarbiyah rohani. Semoga bangkai hedonisme tercampak jauh dari jiwa generasi Islam yang akan datang.

Wallahua’lam.

 

DISEDIAKAN OLEH :

UNIT EDITOR DAN RISALAH

BIRO KEBAJIKAN

KELUARGA PENUNTUT-PENUNTUT TERENGGANU MESIR (KPT)

SESI 2017/2018

(Visited 328 times, 1 visits today)

Comments

comments