الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين

Pertama dan selamanya, marilah kita panjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T atas limpahan kurnia kepada hamba- hamba Nya. Selawat dan salam kepada junjungan besar baginda S.A.W dan kepada seluruh pengikut baginda S.A.W.

 

Firman Allah S.W.T :-

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِير

Maksudnya: “Mahasuci (Allah), yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, Maha Melihat.”

(Surah Al-Isra’ : Ayat 1)

 

Kita melihat, mukjizat pada Nabi terdahulu – mukjizat tersebut – berlaku di hadapan kaum baginda A.S sendiri, mereka (kaum) melihat dengan musyahadah (mata kepala mereka sendiri). Sebagai contoh Nabi Ibrahim A.S, baginda dicampak ke dalam api, dan kaumnya menyaksikan kejadian tersebut. Nabi Musa A.S membelah laut dihadapan kaumnya, begitu juga Nabi ‘Isa A.S, berlaku mukjizat baginda dan kaumnya melihat perkara tersebut. Namun, ianya berbeza dengan peristiwa ini -Isra’ dan Mi’raj- berbanding mukjizat Nabi Muhammad S.A.W yang lain, seperti terpancar air dari celah jari-jari baginda yang suci, membelah bulan dan lain-lain lagi. Kenapa perkara tersebut tidak berlaku secara musyahadah dihadapan Quraisy, dan dilihat secara langsung oleh kaum baginda S.A.W? Lontaran persoalan ini adalah berkaitan keimanan, iaitu penceritaan cerita yang ghaib, bukan pada “musyahadah” tersebut. Lalu kita menyingkap sepintas lalu, adakah mukjizat yang berlaku di hadapan kaum Quraisy, serta pembesar-pembesarnya itu semua – sebahagian yang telah disebutkan contoh tersebut- yang mana kaum kafir tersebut melihat dengan mata kepala sendiri, adakah mereka beriman setelah melihat mukjizat tersebut? Tidak! Bahkan mereka berkata baginda Nabi S.A.W penyihir yang telah menyihir mata manusia. Tahulah kita bahawa peristiwa agung Isra’ dan Mi’raj ini merupakan ujian, supaya membuktikan orang-orang yang benar yang akan membenarkannya, dan orang- orang yang berbohong yang akan membohonginya.

Firman Allah S.W.T :-

وَمَا مَنَعَنَا أَنْ نُرْسِلَ بِالْآيَاتِ إِلَّا أَنْ كَذَّبَ بِهَا الْأَوَّلُونَ ۚ وَآتَيْنَا ثَمُودَ النَّاقَةَ مُبْصِرَةً فَظَلَمُوا بِهَا ۚ وَمَا نُرْسِلُ بِالْآيَاتِ إِلَّا تَخْوِيفًا

Mafhumnya : “Dan tidak ada yang menghalangi Kami untuk mengirimkan (kepadamu) tanda-tanda (kekuasaan Kami), melainkan karena (tanda-tanda) itu telah didustakan oleh orang terdahulu. Dan telah Kami berikan kepada kaum Tsamud unta betina (sebagai mukjizat) yang dapat dilihat, tetapi mereka menganiaya (unta betina itu). Dan Kami tidak mengirimkan tanda-tanda itu melainkan untuk menakut-nakuti.”

(Surah Al-Isra’ : Ayat 59)

 

Peristiwa Isra’ dan Mi’raj selepas beberapa perjalanan dakwah Nabi S.A.W. Kita berpindah serta mengundur sedikit, menyentuh mengenai perjalanan baginda Nabi S.A.W pada permulaan dakwah, antaranya ketika menghadapi beberapa perancangan kaum Musyrikin Makkah ketika itu. Nabi ditawar pelbagai kemewahan dunia, harta, pangkat, namun baginda S.A.W menolaknya. Para kuffar Quraisy tidak puas, mereka terus merancang lagi dengan memberi keraguan kepada pengikut baginda Nabi S.A.W, namun perkara tersebut gagal buat percubaan kali seterusnya.

Justeru, perkara yang ingin juga disentuh di sini ialah, mengenai ‘ibrah mengenai peristiwa agung tersebut. Kita selaku hamba beriman lagi muslim, perlu mengambil berat dengan penuh keyakinan, terhadap apa yang berlaku pada peristiwa Isra’ dan Mi’raj, serta perjalanan bagi baginda Nabi S.A.W serta sahabat pada awal permulaan dakwah, juga peristiwa-peristiwa yang berlaku selepas peristiwa agung ini.

Firman Allah S.W.T :-

وَإِذْ قُلْنَا لَكَ إِنَّ رَبَّكَ أَحَاطَ بِالنَّاسِ ۚ وَمَا جَعَلْنَا الرُّؤْيَا الَّتِي أَرَيْنَاكَ إِلَّا فِتْنَةً لِلنَّاسِ وَالشَّجَرَةَ الْمَلْعُونَةَ فِي الْقُرْآنِ ۚ وَنُخَوِّفُهُمْ فَمَا يَزِيدُهُمْ إِلَّا طُغْيَانًا كَبِيرًا

Mafhumnya : “Dan (ingatlah) ketika Kami wahyukan kepadamu, “Sungguh, (ilmu) Tuhanmu meliputi seluruh manusia.” Dan Kami tidak menjadikan mimpi yang telah Kami perlihatkan kepadamu, melainkan sebagai ujian bagi manusia dan (begitu pula) pohon yang terkutuk (zaqqum) dalam Al-Qur’an. Dan Kami menakut-nakuti mereka, tetapi yang demikian itu hanyalah menambah besar kedurhakaan mereka.”

(Surah Al-Isra’ : Ayat 60)

 

Disediakan oleh:

Yang Dipertua,

Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT),

Sesi 2019/2020.

(Visited 34 times, 1 visits today)

Comments

comments