Minggu lalu gempar di media tanah air, satu kes bunuh tragis yang terbaru melibatkan adik Nursyafiqah Adawiyah Abdullah. Mayat mangsa yang berusia lingkungan dua tahun telah ditemui mati dalam keadaan yang amat menyedihkan di sebuah rumah teres kosong di Taman Permint, Seberang Paka, Dungun, Terengganu.
 
Mayat mangsa dijumpai oleh seorang pengawal keselamatan ketika meronda di kawasan perumahan tersebut, kemudian melaporkan kepada majikannya sebelum membuat laporan di Balai Polis Daerah Dungun. Adik Nursyafiqah dilaporkan hilang  sejak 17 Januari lalu. Ibunya Rabiatul Adawiyah Mamat, 28 tahun, telah membuat laporan polis yang palsu berhubung kehilangan anaknya itu sewaktu berjumpa seorang rakan di sebuah restoran kira-kira pukul 7.30 malam.
 
Dikatakan dia hanya meninggalkan anaknya di dalam kereta tidak berkunci kira-kira lima minit sebelum mendapati anaknya itu tiada dalam kenderaan tersebut. Menurut sumber, ibu berkenaan yang bekerja sebagai pelayan di sebuah kedai makan di Bandar Paka  juga memaklumkan pernah menerima ugutan daripada seorang lelaki berkaitan dengan masalah hutang.
 
Sebelum meninggal, hasil siasatan mendapati adik Nursyafiqah telah dirogol bergilir-gilir oleh beberapa suspek sehingga patah tulang pinggulnya. Dalam perkembangan terkini, ibu kepada kanak-kanak itu kini ditahan reman untuk membantu siasatan kes berkenaan. Turut ditahan ialah kekasih kepada ibu mangsa yang disyaki menjadi suspek utama pembunuhan tersebut beserta dua orang suspek lain. Kesemua mereka berada dalam keadaan mabuk ketika ditahan polis.
 
Harapkan pagar, pagar makan padi. Begitulah perumpamaan yang lebih sesuai diberikan kepada seorang ibu yang sepatutnya bertanggungjawab dalam menjaga anak keturunannya. Namun, tanggunggjawabnya itu telah dikhianati dengan membiarkan anak kecilnya di ‘ratah’ oleh kekasihnya. 
 
Dari Jabir RA telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW  telah bersabda yang bermaksud :
 
“Takutlah kamu kepada kezaliman, sesungguhnya kezaliman itu suatu kegelapan di hari kiamat, takutlah kamu kepada kebakhilan, sesungguhnya kebakhilan telah memusnahkan orang terdahulu sebelum kamu, dan membawa mereka kepada bencana pertumpahan darah dan menghalalkan perkara yang diharamkan”.  (HR Muslim)
 
Apabila nilai murni dalam cara hidup yang telah digariskan Islam tidak diamalkan, maka inilah salah satu kesan dan akibatnya. Amanah seorang anak yang dikurniakan Allah SWT tidak dijaga sebaiknya dan rakus terhadap kehidupan jahiliah menjadi faktor mengapa masyarakat akhir zaman kini terjebak dengan pelbagai kes sebegini rupa.
 
Peristiwa hitam ini bukanlah kali pertama berlaku dan dilaporkan di dalam berita dan di dada-dada akhbar, malah terdapat banyak lagi kes jenayah rogol, gangguan seksual, samun dan sebagainya telah berleluasa di negara kita tercinta, Malaysia. Hakikatnya, kes jenayah seperti ini semakin membarah, keruntuhan akhlak semakin meningkat dek kerana hilangnya nilai-nilai Islam dalam masyarakat kita pada hari ini.
 
HEWI PMRAM tidak memandang enteng terhadap masalah umat yang berlaku saban hari dan menyeru seluruh lapisan masyarakat terutama seorang penuntut ilmu agama mahupun akademik agar memanfaatkan ilmu yang dipelajari sebaiknya untuk disampaikan kepada kaum keluarga dan orang sekeliling. 
 
Justeru, kekejaman seperti ini tidak harus dipandang sebelah mata kerana ianya bakal mempengaruhi corak kehidupan masyarakat yang semakin parah. Generasi umat akan datang berkemungkinan akan mewarisi cara jahiliah generasi sebelumnya jika ianya tidak dibendung bersama. Oleh itu, HEWI PMRAM berharap agar pihak berwajib menjalankan undang-undang negara mengikut syariat Islam yang sebenarnya dalam menangani kes sebegini supaya keadilan terus terbela dan kezaliman terus dicela. Allah SWT telah berfirman di dalam surah Ar-Rum, ayat 41:

ظَهَرَ الفَسادُ فِى البَرِّ وَالبَحرِ بِما كَسَبَت أَيدِى النّاسِ لِيُذيقَهُم بَعضَ الَّذى عَمِلوا لَعَلَّهُم يَرجِعونَ

Maksudnya : “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di lautan dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak menimpakan kepada mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”
 
Tidaklah Allah SWT menimpakan kepada hambanya sesuatu maksiat kecuali agar hambanya kembali kepada-NYA. Marilah sama-sama kita mendoakan supaya kesemua suspek dilimpahi nur hidayah dari Allah SWT dan kembali ke jalan yang lurus serta bertaubat dari segala dosa yang dilakukan. Tidak dilupakan kepada diri kita bersama. Wallahua’lam.
 
“JULANG KEILMUAN JANA KEIZZAHAN”
 
Siti Sarah Bt Bushari
Timbalan Pengerusi
Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) 2013
(Visited 142 times, 1 visits today)

Comments

comments