BIRO DAKWAH

Assalamu’alaikum WBT.

Segala puji bagi Allah SWT. Selawat dan salam sejahtera buat baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga baginda, para sahabat, serta umat baginda seluruhnya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: 
Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.

                                                                                                                         (QS. Al Ahzab 21)


Dalam ayat di atas ini Allah SWT memberikan petunjuk dan memerintahkan kepada kita umat Islam agar menjadikan Rasulullah saw sebagai ikutan yang terbaik sepanjang zaman. Ia seharusnya menjadi pedoman  kehidupan kita sebagai orang mukmin dan amilin yang benar-benar  berjuang diatas jalan Allah bagi mendapatkan rahmat dan pahala Allah SWT dan takut pembalasan hari akhirat serta banyak mengingat Allah SWT.  

Di dalam kitab (Tafsir Ibn Kathir ) menafsirkan bahawa ayat ini adalah dalil atas tuntutan supaya Rasulullah S.A.W  itu dijadikan sebagai teladan yang wajib diikuti. Baginda menjadi contoh dalam semua aspek kehidupan samada dari segi perkataannya, perbuatannya dan temasuklah taqrir atau persetujuannya dalam sesuatu perkara.

Semasa berlakunya Perang Ahzab, Allah S.W.T telah menurunkan wahyu ini dan memerintahkan supaya kita menjadikan kesungguhan, pengorbanan, perjuangan dan kesabaran baginda dalam menunggu pertolongan serta bantuan Allah S.W.T dalam peperangan tersebut sebagai teladan bagi kita. Bagi kelompok yang tergesa-gesa dan tidak mempunyai kesabaran yang tinggi, mereka telah berasa takut serta cemas yang amat sangat semasa berlakunya Perang  Ahzab.

Di samping itu, kita juga diseru agar mencintai peribadi yang mulia lagi agung ini. Kecintaan kita kepada baginda tidak cukup hanya melalui hati sahaja, tetapi wajib dizahirkan melalui aktiviti lahiriah (fizikal), iaitu dengan mengikuti setiap perilaku baginda dari sekecil-kecil hinggalah sebesar-besarnya, iaitu menunaikan kewajiban meninggikan kalimah tauhid Lailaha Illah Muhammad Rasulullah. Dan juga kewajipan untuk meneladani dan mencintai baginda tidak boleh sekali-kali dibataskan hanya pada hal-hal ibadat khusus dan akhlak sahaja tetapi wajib dimanifestasikan dalam seluruh aktiviti kehidupan seperti pemerintahan, ekonomi, pendidikan, pergaulan, politik, jihad dan sebagainya.

Rasulullah S.A.W telah diutus oleh Allah S.W.T untuk menyeru dan mengajak umat manusia untuk beriman kepada Allah S.W.T tanpa menyekutukan-Nya dalam apa-apa bentuk sekalipun. Juga menolak segala fahaman-fahaman yang boleh menyesatkan manusia walaupun pada zahirnya dilihat untuk membawa islam. Rasulullah S.A.W telah memfokuskan dakwahnya untuk menghapuskan kekufuran dan menegakkan agama Allah secara menyeluruh.

Berjayanya musuh-musuh islam hari ini sehinggakan umat Islam hari ini seolah-olah dibius dengan bisa pemikiran secular. Kesannya, umat Islam merasakan bahawa cukuplah dengan sekadar memperbanyakkan bacaan selawat dan qasidah yang mengandungi bait-bait syair pujian yang melambung-lambung sebagai bukti kecintaan mereka kepada Rasulullah s.a.w   tanpa perlu bersama jemaah islam untuk membina kekuatan wehdatul fikr wehdatul amal bagi membentuk sebuah masyarakat muslim. Mereka menganggap mencintai Baginda sekadar dengan berselawat itu sahaja.

Persoalannya adakah cukup dengan kita sekadar memuji-muji baginda baginda yang sudah semestinya beliau adalah seorang manusia yang terpuji, tetapi dalam masa yang sama sunnah-sunnah Nabi Muhammad s.a.w yang wajib dan lebih utama dan penting kita abaikan?

Bukankah itu menunjukkan bahawa kita sedang berpura-pura dan mempermainkan baginda s.a.w? Bukankah suatu penghinaan juga terhadap Rasulullah s.a.w selaku utusan Allah s.a.w? Sedangkan kita semua sudah sedia maklum bahawa Rasulullah s.a.w adalah contoh ikutan yang terbaik bagi kita dalam seluruh aspek kehidupan termasuklah dalam bab pemerintahan. Ketahuilah bahawa sunnah Nabi yang paling besar adalah menegakkan Negara Islam.

Negara Islam Madinah dibina oleh susuk tubuh agung ini diatas dasar tauhid kepada Allah S.W.T. Rasulullah S.A.W meningggalkan kota Makkah yang dicintai walaupun menerima tawaran habuan dunia yang begitu lumayan . Lalu Baginda bersama para sahabat menubuhkan Negara Islam Madinah yang mengamalkan dasar pemerintahan berdasarkan wahyu dari Yang Maha Agung. Hukum-hukum Allah ditegakkan di Negara Islam pertama ini tanpa ditinggalkan sedikitpun. Sistem ekonomi, politik, sosial dan pendidikan semuanya berlandaskan wahyu illahi sebagai manual terbaik dalam memandu manusia ke jalan kebenaran.

Maka fahamilah, bahawa pegangan yang mampu memandu kita kearah mencari jalan terbaik mencintai baginda S.A.W. melainkan Alqur’an dan Assunnah. Ada mereka yang mengaku, merekalah yang paling banyak memuji baginda melalui selawat dan qasidah mereka namun tidak sedikit pun peluh yang keluar dari tubuh mereka dalam membawa obor perjuangan nabi S.A.W. Ada juga golongan yang lincah berpencak di medan jihad, namun mulut mereka ibarat bisu dalam berselawat kepada junjungan mulia rasul yang kita cintai. Perbanyakkan selawat, teruskan jihad, moga-moga kita menjadi ummat yang dibanggakan dan dirindui oleh rasul S.A.W. yang mana kita mengharapkan syafaatnya di kemudian hari.

Wallahua’lam.

“MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN”

”BERILMU DAN BERAMAL”

MOHD SALAM BIN MOHD
Biro Dakwah,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2013/2014.

 

(Visited 58 times, 1 visits today)

Comments

comments