Dunia Adalah Jambatan Akhirat

 

Bismillahirrahmanirrahim.

 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga baginda, sahabat-sahabat baginda dan para tabi’in.

 

Memetik Firman Allah SWT :

وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَعِبٌ وَلَهْوٌ ۖ وَلَلدَّارُ الْآخِرَةُ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ ۗ أَفَلَا تَعْقِلُون    

“Dan kehidupan dunia ini, hanyalah permainan dan gurau senda. Sedangkan akhirat itu, sesungguhnya lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Tidakkah kamu mengerti ? (Surah Al-An’am : 32)

 

Kehidupan di dunia merupakan permainan dan gurau senda. Adakalanya menang, adakalanya kalah. Susah dan senang silih berganti. Senangnya merupakan kesenangan yang menipu, sedihnya merupakan kesengsaraan yang sementara. Itulah dinamakan kehidupan di alam fana yang sungguh berbeza dengan kehidupan abadi di akhirat nanti. Hanya amalan soleh yang akan mengiringi sepanjang perjalanan menuju akhirat kerana itulah dunia merupakan jambatan akhirat yang mana telah disyarah panjang dalam hadis yang ke-40 dari Imam Nawawi  :

 

عن ابن عمر رضي اللَّه عنهما قَالَ: أَخَذ رسولُ اللَّه ﷺ بِمَنْكِبِي فقال: كُنْ في الدُّنْيا كأَنَّكَ غريبٌ، أَوْ عَابِرُ سبيلٍ.
وَكَانَ ابنُ عمرَ رضي اللَّه عنهما يقول: “إِذَا أَمْسَيْتَ فَلا تَنْتَظِرِ الصَّباحَ، وإِذَا أَصْبَحْتَ فَلا تَنْتَظِرِ المَساءَ، وخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لمَرَضِكَ، ومِنْ حياتِك لِمَوتِكَ” )عن رواه البخاري(.

Daripada lbnu ‘Umar r.a. رضي اﷲ عنهما beliau berkata :

Rasulullah SAW telah memegang bahuku seraya bersabda : Hiduplah engkau di dunia seolah-olah kamu adalah orang asing atau sebagai orang yang melalui jalan.

lbnu ‘Umar r.a. pernah berkata:

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu waktu pagi dan apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu waktu petang. Manfaatkanlah kesihatanmu sebelum sakit dan kehidupanmu sebelum datangnya kematian.

 

KANDUNGAN HADIS

 

  1. Rasulullah SAW adalah seorang Murabbi

Rasulullah saw adalah pengajar dan murabbi (pendidik) kepada para sahahabatnya. Cara dan pendekatan pembelajaran dan pentarbiahnya adalah lebih terkehadapan dan sempurna jika dibandingkan apa yang dicapai oleh pakar-pakar Pendidikan moden.

Dalam Hadis ini Rasulullah SAW memegang kedua belah bahu Abdullah bin Umar R.A agar beliau memberikan perhatian terhadap ilmu yang ingin disampaikan. Begitu juga supaya beliau merasai bahawa baginda amat ingin menyampaikan ilmu tersebut ke dalam lubuk jiwa dan perasaannya yang sudah bersedia menerima.

Ibnu Hajar Al-Haitami telah memahamkan kita tentang ajaran Nabawi yang mulia ini dengan katanya : “Dari hadis ini, dapat diambil dalil galakan kepada seorang guru untuk memegang sebahagian anggota muridnya ketika mengajarnya, atau galakan kepada seorang yang memberi nasihat untuk memegang sebahagian anggota orang yang dinasihatinya ketika menasihatinya.

Ibnu Mas’ud telah menceritakan dengan katanya : “Rasulullah SAW mengajarkanku tentang tasyahhud sedang telapak tanganku di antara telapak tangannya”. Hikmat daripada tindakan ini ialah untuk mewujudkan suasan akrab, harmonis, semangat serta penuh perhatian.Kerana pada kebiasaannya adalah mustahil seseorang itu melupakan sesuatu ajaran yang diterimanya dengan cara demikian. Perbuatan ini juga tidak dilakukan kecuali kepada orang yang disenangi oleh pelakunya. Jadi hadis ini menunjukkan kecintaan Rsaulullah SAW kepada Ibnu Umar dan Ibnu Mas’ud.

 

  1. Kebinasaan dunia dan Keberkekalan akhirat

Kehidupan manusia di dunia ini adalah tunduk kepada iradah Allah  SWT.Kemudian pada satu masa kematian mesti akan dating mengundang.

 

Firman Allah SWT:

إِنَّكَ مَيِّتٌ وَإِنَّهُمْ مَيِّتُونَ 

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati dan sesungguhnya mereka juga akan mati.” (Surah Az-Zumar : 30)

 

Sesungguhnya manusia tidak mengetahui bilakah ajalnya akan berakhir dan kematian datang menjemput.

 

Firman Allah SWT :

وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا ۖ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ ۚ 

Dan tiada seorangpun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat) dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati.” (Surah Luqman : 34)

 

Oleh kerana dunia ini akan hancur maka pasti di sana ada suatu kehidupan hakiki dan kekal, tidak ada penghujung dan penamat. Kehidupan tersebut ialah kehidupan akhirat iaitu setelah Allah SWT membangkitkan semula manusia yang berada di alam kubur, dikumpulkan untuk dihisab segala amalan mereka dan akhirnya ditentukan sama ada ke syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang dijanjikan bagi orang-orang yang bertaqwa, mereka kekal didalamnya. Ataupun ke neraka yang menjadi kayu bakarnya ialah manusia dan batu-batu yang disediakan untuk orang-orang kafir, mereka kekal di dalamnya buat selama-selamanya.

 

Rasulullah SAW bersabda :

 ما لِي ولِلدُّنْيَا إنَّما مَثَلِي وَمَثَلُ الدُّنْيَا كَمَثَلِ رَاكِبٍ قال في ظِلِّ شَجَرَةْ في يومٍ حارٍّ ثُمَّ رَاحَ وَتَرَكَهَا

“Apalah aku ini dengan dunia, sesungguhnya perumpaan diriku dan dunia dalah seperti seorang musafir, tidur sejenak di siang hari di bawah pokok untuk berehat kemudian meneruskan perjalanan dan meninggalkannya”.

 

  1. Dunia adalah jambatan menuju akhirat

Mukmin di dalam kehidupan di dunia, tidak lebih dari laksana orang asing atau orang yang berada dalam perjalanan. Dia tidak akan cenderung kepada dunia, tidak disibuk atau tertipu dengan kemewahan yang ada. Dunia bukanlah layak untuk dijadikan tempat pergantungan dan sebagai sebab untuk bekerja keras demi mendapat kemewahannya. Dunia disisinya hanyalah tempat singgah bukan tempat menetap untuk selama-lamanya.

 

Firman Allah SWT :

وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

“Dan ingatlah kehidupan dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya”.

(Surah Ali-Imran : 185)

 

Hati seorang mukmin akan tetap merasakan bahawa hidupnya di dunia ini adalah sebagai seorang asing yang jauh dari tanah air, kelurga dan sanak saudara. Dia sentiasa merindui penduduk tanah airnya yang sebenar, rindu kepada keluarga, kekasih, sanak saudara dan sahabat handai. Meskipun dia sudah lama hidup di negeri orang, dia tetap tidak merasai ketenangan yang hakiki. Hatinya sentiasa berkeinginan untuk meninggalkan negeri itu. Oleh itu, dia tidak membina tempat tinggal yang dibangggakan dan tidak mengumpulkan alat perkakas dan perhiasan rumah. Tetapi dia redha dengan yang sedikit sahaja. Dia sibuk menyimpan, menabung dan menyiapkan hadiah-hadiah dan cenderamata untuk dinikmati di negerinya yang hakiki bersama-sama dengan ahli keluarga dan sahabat handai, kerana dia benar-benar yakin bahawa di sanalah tempat tinggalnya yang sebenar.

Demikianlah orang mukmin, dia zuhud di dunia ini kerana dunia bukanlah tempat tinggalnya yang hakiki, bahkan dunia ini tempat dia berteduh sekejap jika dibandingkan dengan akhirat,

 

Firman Allah SWT :

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu siapa yang lebih baik amalannya.”

(Surah Al-Mulk : 2)

 

Dia akan mencari teman yang menunjuk jalan dam pembantu untuk sampai ke tempat tujuannya dengan selamat.

 

Firman Allah SWT :

الْأَخِلَّاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا الْمُتَّقِينَ

Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh kepada sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Al-Zukhruf : 67)

 

Dia berhati-hati menjaga dirinya daripada pencuri dan perompak yang dapat menjauhkannya daripada Allah SWT dan melakukan ketaatan kepadaNya. Dia bagaikan seorang musafir di padang pasir.

 

  1. Nasihat Ibnu Umar

Abdullah bin Umar bin Al-Khattab telah menerima nasihat daripada Rasululla SAW dengan semua anggotanya, Dia memahaminya dengan lubuk hati dan fikirannya. Dia menyedarinya dengan akal dan pemikirannya sehingga dia menjadi seorang murid yang lulus bagi ustaz dan murabbinya sehingga dia memegang peranan sebagai sumber tersebarnya hidayah. Dia menyeru kepada sesiapa yang disampaikan kepadanya hadis Rasulullah SAW ini, agar zuhud di dunia sampai pada peringkatnya yang paling tinggi dalam memendekkan cita-cita, di kala petang dia tidak menunggu waktu pagi dan di kala pagi dia tidak menunggu waktu petang, bahkan dia mengira bahawa ajalnya akan menyambutnya sebelum waktu tersebut.

 

Al-Haakim meriwayatkan di dalam kitab sahihnya satu hadis marfu’ daripada Ibnu ‘Abbas daripada Rasulullah SAW :

اغتنم خمسا قبل خمس، شبابك قبل هرمك، وصحتك قبل سقمك، وغناك قبل فقرك، وفراغك قبل شغلك، وحياتك قبل موتك

“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara, masa mudamu sebeluam dating waktu tuamu, masa sihatmu sebeluam dating waktu sakitmu, masa kayamu sebelum datang waktu fakirmu, masa senangmu sebelum dating waktu sibukmu dan masa hidupmu sebelum dating kematianmu.”

 

Pengajaran hadis:

  1. Kehidupan di dunia adalah kehidupan sementara, akhirat jua yang kekal abadi. Kerana itu, manusia mesti mengambil berat soal akhirat dan mengambil dunia seumpama seorang musafir lalu atau seorang dagang, yang hanya membawa barang keperluan di perjalanan, bukan membawa semua barang-barang.
  2. Seorang mukmin tidak harus memanjangkan angan-angannya, kerana dia terdedah kepada panggilan maut pada bila-bila masa. Dia semestinya sentiasa berwaspada menghadapi maut. Apabila pagi tiba, seolah-olah dia tidak akan hidup hingga ke petang dan apabila tiba waktu petang, dia merasa seolah-olah dia tidak sempat menghirup udara pagi esoknya.
  3. Sentiasa berhati-hati terhadap seksaan azab Allah SWT adalah sikap seorang musafir yang sentiasa berwaspada agar tidak tersesat dari landasan jalan yang benar. Oleh itu, bersungguh-sungguhlah menjaga waktu dan mempersiap diri untuk kematian serta segeralah bertaubat dan beramal soleh.
  4. Larangan memanjangkan angan-angan dan gesaan agar hidup secara sederhana tidak bermakna lslam menghalang kemajuan dan kekayaan. lslam membenarkan penganutnya menjadi hartawan dan negara lslam menjadi sebuah negara maju tetapi dengan syarat menjadi seorang mukmin dan negara lslam yang bertaqwa. Kemajuan dan kekayaan adalah untuk Allah.

Sekian, Terima Kasih.

 

Rujukan :

  1. Terjemahan Kitab Al-wafi Syarah Hadis 40 Imam Nawawi oleh Dr. Mustafa al-Bugha dan Muhyiddin Misto
  2. Hadis 40 Imam An-nawawi karangan Mohd Aiman Az Zuhairi

 

 

Disediakan oleh :

Nur Faatihah binti Ramli,

Unit perumahan,

Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT),

Sesi 2019/2020.

 

(Visited 30 times, 1 visits today)

Comments

comments