KEKUATAN AQIDAH YANG MEMBINA KEMANTAPAN SAHSIAH DIRI

 

Kekuatan aqidah adalah langkah pertama perlu dititikberatkan sepertimana Rasulullah SAW memulakan langkah membina kekuatan aqidah dan mempertahankannya di peringkat peribadi dan masyarakat dengan sifat-sifat akhlak dan ilmu,seterusnya diikuti dengan langkah mengumpulkan mereka yang beriman bagi mewujudkan jamaah yang dijalinkan dengan ukhuwah dan diikat dengan bai’ah. Selepas itu, langkah bertindak menyampaikan mesej Islam mengikut rukun dakwah, akhirnya melaksanakan Islam yang menyeluruh sehingga peringkat berkuasa memerintah negara dan mendapat naungan bagi menegakkan Islam yang sempurna.

Maksud perkataan aqidah adalah ditakbirkan oleh Al-Quran dengan iman yang menjadi dasar yang dibina di atas syariat dalam segala aspeknya. Namun, kekuatan aqidah perlu ditarbiah dengan sifat-sifat Islam bagi membina kemantapan sahsiah diri. Terdapat beberapa aspek yang mesti dilakukan dalam membina aqidah :

  1. Ilmu

 

Firman ALLAH SWT :

وَمَا كَانَ ٱلْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا۟ كَآفَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَآئِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا۟ فِى ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُوا۟ قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوٓا۟ إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ.

 

‘ Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang). Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka, mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)’.

Surah At-Taubah : 122

 

Seseorang pemandu hendaklah mengenal jalan dan tempat yang dituju. Adalah tidak wajar seseorang yang tidak tahu jalan dan tempat yang dituju menjadi pemandu.

Sebagai seorang mukmin hendaklah mengenal Islam dan yakin kepadanya. Aqidah Islam itu tidak memadai dengan membaca dan memahami rukun Iman dan Islam tetapi hendaklah mencakup segala tasawwurnya, termasuk juga memahami bahawa syariatnya seperti aqidahnya juga dalam menentukan sifat-sifat Iman, kufur, syirik, dan nifaq dapat menterjemahkan Islam itu dengan maknanya yang syumul seperti dinyatakan oleh Al-Quran dan As-Sunnah Rasulullah SAW.

Ilmu Islam itu hendaklah difahami dengan bahasanya agar selamat dari kekeliruan bahasa dan istilah yang lain daripada Al-Quran dan As-Sunnah Rasulullah SAW.

Pada zaman sahabat, sahabat Rasulullah SAW mendapat ilmu daripada baginda SAW dengan penuh kesungguhan walaupun mereka sudah tua. Begitu juga dengan para salafus soleh tidak mengira penat dan jauh perjalanannya kerana mahu menerima satu riwayat hadis yang ringkas daripada Rasulullah SAW. Mereka juga tidak pernah jemu belajar walaupun sudah alim dan mempelajari perkara yang sama walaupun beberapa kali kerana dengan ilmu daripada sumbernya yang sebenar melahirkan aqidah yang menggerakkan seseorang itu untuk beramal.

 

Seperti Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

 

‘ Yang binasa dari umatku ialah orang berilmu tetapi jahat, orang yang beribadat tetapi bodoh. Dan kejahatan yang paling jahat ialah kejahatan para ulama’ (orang berilmu) dan kebaikan yang paling baik ilalah kebaikan orang yang berilmu’. Riwayat Al-Hakim

 

Ilmu dalam konteks aqidah adalah seseorang faham dan berfikir ke arah membentuk iman dan membuahkan amal, hendaklah mengaji dan mengkaji Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW dengan renungan dan fahaman ke arah menunjangkan aqidah dan melaksanakan tuntutannya selaras dengan fitrah manusia. Antara kepentingan Ilmu adalah :

  • Ilmu itu bagaikan laksana cahaya yang menyuluh akal dan hati bagi makrifatullah dan segala tuntutan-Nya.
  • Dapat melaksanakan tugas dengan betul bagi mengendali segala urusan bukan sahaja dengan Khaliq (Pencipta) tetapi juga dengan makhluk yang ada hubungan dengan tugas-tugas khalifah yang diamanahkan kepada manusia.
  • Memperolehi manfaat berdasarkan dinullah (Agama Allah SWT) bagi membentuk peribadi muslim.
  • Melahirkan kesedaran mengeratkan hubungan dengan Allah SWT berserta dengan iman, semangat dan perasaan yang tidak berbelah bahagi.
  • Melahirkan semangat jihad dengan meninggikan kalimah Allah SWT.
  • Dapat mengetahui mahfum Islam yang menjadi jalan dan matlamat dengan penuh iman sehingga tidak berpaling kepada segala bentuk gangguan dalam menegakkan cita-cita Islam.

Selain itu, menjadi satu hikmah yang besar, apabila Allah menurunkan ayat yang menyatakan ilmu, jalan dan dasarnya sebagai ayat pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW dan betapa majlis ilmu diberi keutamaan kepada angkatan pertama para sahabat Nabi SAW, bukan sekadar untuk maklumat semata-mata tetapi untuk kekuatan aqidah yang dilahirkan pula dengan amalan dan perjuangan yang penuh dengan pengorbanan yang menjadi bukti kekuatan aqidah kepada pemimpin-pemimpin pertama Jemaah Islam.

 

  1. Amal dan Tazkiyah

 

Menuju ke arah cita-cita Islam dan melaksanakan tugas-tugas Islam, seseorang itu hendaklah melakukan muhasabah ke atas diri sendiri dan menyedari sejauh mana kedudukannya dalam Islam ketika dia berdakwah kepada orang lain dari segi iltizamnya dengan Islam dengan menginsafi Firman Allah SWT :

 

 

 

أَتَأْمُرُونَ ٱلنَّاسَ بِٱلْبِرِّ وَتَنسَوْنَ أَنفُسَكُمْ وَأَنتُمْ تَتْلُونَ ٱلْكِتَٰبَ ۚ أَفَلَا تَعْقِلُونَ.

‘Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri, padahal kamu membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?’.

Surah Al-Baqarah : 44

 

Dan janganlah amal yang dikerjakan itu menjadi sia-sia seperti firman Allah SWT :

 

ٱلَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا.

‘Iaitu orang-orang yang telah sia-sia  amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan’.

Surah Al-Kahfi : 104

 

Mereka yang sebenar-benarnya rugi ialah kerugian di akhirat walaupun mendapat keuntungan yang banyak di dunia. Keuntungan yang sebenarnya ialah menurut pertimbangan di akhirat walaupun mengalami kerugian besar di dunia. Keuntungan itu hanyalah kepada orang-orang yang baik mengerjakan amal soleh bermula daripada dirinya sebelum daripada orang lain.

 

Ilmu dan amal yang soleh merupakan dua perkara yang berlaziman dan tidak boleh berpisah. Amal soleh adalah kenyataan  daripada iman dan iman pula melazimkan seseorang itu melakukan amal soleh. Di dalam Al-Quran disebut berulang kali tentang iman dan amal soleh. Boleh dikatakan bahawa amal soleh itu lahir daripada iman dan taqwa yang ditadbir oleh aqidah, disamping itu amal soleh pula menjadi pembekal iman dan taqwa.

 

Amal soleh juga adalah perlaksanaan ilmu yang dipelajari sama ada melalui membaca atau mendengar dan menjadi hujah yang kuat kalau diamal dan buruk kalau tidak diamalkan. Antara perkara yang akan diperolehi jika kita beramal dengan ilmu Allah SWT adalah :

 

  • Dapat meneguhkan ilmu dan menguatkan aqidah yang mana terkeluar dari alam teori dan khayalan semata-mata sehingga melayakkan seseorang itu berada di medan jihad dan mujahadah.
  • Dapat meningkatkan kekuatan diri dan membina peribadi sebagai pembantu agama ALLAH SWT.
  • Boleh memutuskan pertarungan antara dua dorongan yang wujud di dalam diri manusia, iaitu dorongan ke arah kebaikan dan dorongan ke arah kejahatan.

Sebagai contoh, apabila kita membaca tentang kelebihan orang-orang yang membelanjakan harta bendanya fi sabilillah, tiba-tiba lahir perasaan takut untuk mengeluarkan harta, maka lahirlah pula sifat bakhil, kasihkan harta dan perkara itu menjadi penghalang. Tetapi apabila kita menunaikannya secara amali, bukan sahaja kita berjaya mengatasi penghalang yang tidak baik itu, tetapi membuktikan adanya aqidah kepada apa yang dibaca tentang kelebihan membelanjakan harta fi sabilillah, seterusnya begitulah dengan amal-amal yang lain.

 

Sesungguhnya amal itu mempunyai medan yang luas, mencakupi segala bidang kehidupan manusia kerana Islam itu meliputi seluruhnya. Tetapi hendaklah diketahui bahawa amalan yang menyuburkan hubungan dengan Allah SWT itu mempunyai peranan yang besar dalam membina aqidah dan sahsiah. Apabila terlaksananya ciri-ciri taqwa dan meningkatkan pula kepada darjat ihsan yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud :

 

‘Bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya, maka jika engkau tidak melihatNya maka Dia melihat engkau’. Muttafaqun ‘Alaih

 

 

Sehinggalah beramal dengan setiap kebaikan yang dikasihi oleh Allah SWT dan meninggalkan setiap keburukan yang dimurkai Allah SWT dan Rasul-Nya, bahkan tidak merasa jemu dan keberatan untuk menyerahkan apa sahaja bagi mencapai keredhaan Allah SWT. Jalan yang menyuburkan hubungan dengan Allah adalah suatu perkara yang tidak boleh dianggap ringan melalui jalan-Nya, kerana memerlukan kekuatan rohani dan keyakinan yang kuat yang boleh dihasilkan dengan amalan, antaranya adalah :

 

  • Mendirikan solat wajib dan meningkatkan solat-solat sunat.
  • Berpuasa di bulan Ramadan dan memperbanyak puasa sunat.
  • Sentiasa zikrullah (mengingati Allah SWT).
  • Berbelanja di jalan Allah.

 

Amalan-amalan ini perlu diketahui oleh setiap mukmin khususnya pendukung cita-cita Islam bagi mentarbiahkan hati melahirkan kecintaan kepada Allah SWT yang melahirkan pengorbanan dan jihad serta sifat-sifat yang menjadi ciri mencapai pertolongan Allah SWT.

 

Cinta dan kasihkan Allah SWT tidak dilahirkan melalui iman dan pengertian ilmu semata-mata. Kalaulah ilmu semata- mata menjadi alasan, maka para orientalis menjadi orang yang pertama menganut Islam dan mengasihi Allah SWT dengan menegakkan agama-Nya dan melaksanakan perintah serta menjauhi larangan-Nya. Namun kedudukan mereka menjadi penentang paling depan dan sejarah Ahli Kitab di zaman Rasulullah SAW juga menjadi iktibar kepada kita semua.

 

Kecintaan kepada Allah SWT itu setelah beriman kepada-Nya hendaklah dipupuk dengan memikirkan ayat-ayat-Nya yang dibaca dan ayat yang dilihat melalui kejadian alam dan nikmat-Nya yang tidak terhingga serta mengamati kebesaran-Nya. Kemudian diikuti pula dengan memperbanyakkan zikir dengan hati dan lidah.

 

Bermujahadah dengan beramal dan mentazkiahkan diri merupakan perkara yang amat penting dalam menghayati Islam, seperti yang dibicarakan oleh ilmu yang dinamakan tasawuf oleh kebanyakan ulama’. Sesetengahnya pula menamakanya Ihsan dan sesetengah ulama’ seperti Ibnu Taimiyyah menamakannya dengan ilmu akhlak. Hendaklah diketahui segala-galanya itu hendaklah berdasarkan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW tanpa diresapi oleh sebarang unsur yang asing dari Islam.

 

Bagi mengukur pencapaian amal dan tazkiyah itu, tidak memahami hakikat ajaran Allah SWT dan Utusan-Nya dengan menunggu mimpi-mimpi atau lahirnya karamah atau kelihatan perkara-perkara yang menyalahi adat. Tetapi dengan ukuran hati yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia yang menyedari keikhlasan diri masing-masing dengan cara yang ikhlas juga terhadap bai’ah dan ikrar hati dan lidah dalam beriman dan mentasdiqkan Allah SWT dan Rasul SAW seterusnya bersikap istiqomah dengan itu semua.

 

  1. Mehnah (Ujian)

 

Firman Allah SWT :

 

قَالَ رَبِّ ٱلسِّجْنُ أَحَبُّ إِلَىَّ مِمَّا يَدْعُونَنِىٓ إِلَيْهِ ۖ وَإِلَّا تَصْرِفْ عَنِّى كَيْدَهُنَّ أَصْبُ إِلَيْهِنَّ وَأَكُن مِّنَ ٱلْجَٰهِلِينَ.

 

Yusuf berkata: “Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan dari padaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh”.

Surah Yusuf : 33

 

Begitulah berlakunya sejarah perjuangan Islam bahkan menjadi sunnahnya dahulu, sekarang dan akan datang. Lantaran iman itu bukan sahaja kalimah yang diucap tetapi juga hakikat yang mempunyai hakikat yang mempunyai tanggungjawab, amanah yang menjadi bebanan dan jihad yang memerlukan kesabaran, maka tidaklah memadai bahawa manusia itu bercakap-cakap bahawa kami telah beriman sekadar itu sahaja tanpa diuji bagi memurnikan keimanan itu, sehingga tidak boleh dipura-purakan oleh orang-orang yang bukan ahlinya.

 

Iman atau aqidah itu juga adalah amanah Allah SWT di atas muka bumi ini. Kemurnian iman mampu dibawa oleh orang yang benar-benar ahlinya yang memiliki sifat-sifatnya bagi dinyatakan dengan terlaksananya kewajipan khalifah di muka bumi dan memandu manusia ke jalan Allah SWT.

 

Seseorang itu boleh menepuk dada mengaku ikhlas, kuat, berani, bersedia untuk mati dan sebagainya. Dan adalah menjadi suatu perkara yang baik seseorang yang beriman itu ditarbiah bukannya dengan cakap-cakap dan kertas-kertas yang dibaca sahaja tetapi mengalaminya pada peringkat kenyataan dan ujian praktikal.

 

Allah yang Maha Mengetahui menguji dan mentarbiah hamba-Nya dengan ujian untuk mengisi sifat-sifat kesabaran, kesyukuran dan pembersihan jiwa di kalangan kumpulan Islam dan pimpinannya sehinggalah mereka layak menegakkan kalimah-Nya di muka bumi ini.

 

Itulah jawapan kepada persoalan mengapa golongan Islam ini duji terlebih dahulu, sedangkan penegak kebatilan kelihatan bersenang-senang dan menang di peringkat awalnya? Mengapa kemenangan Islam itu diperlukan jarak masa yang begitu rupa? Persoalan yang lahir dari hati generasi perjuangan Islam di sepanjang zaman.

 

Iman atau aqidah yang sebenar mestilah hidup dan berkembang dengan sifat-sifat keteguhan terhadap pegangannya dan ketabahan menghadapi cabaran, disertakan pengorbanan dengan apa sahaja pangkat, kedudukan dan harta benda, bahkan tidak tawar menawar dan bertolak ansur dalam menegakkan apa yang menjadi iman dan aqidah itu.

 

Orang yang mengaku beriman dan beraqidah itu memilih jalan yang dikira paling baik bagi menyebarkan dan menegakkan Islam walaupun jiwa raga dan harta menjadi bayarannya.

 

Kesimpulannya, menjadi suatu hakikat yang ditentukan oleh Allah SWT apabila iman dan aqidah itu memenuhi sifat-sifatnya, maka dikurniakanlah kelebihan dan pertolongan yang tidak terhingga sehingga membawa kemenangan di dunia dan akhirat.

 

Rujukan :

– Meneladani kepimpinan Anbiya’ karangan Tok Guru Abdul Hadi Awang

 

Disediakan oleh :

Nurul Robiatul Hidayu binti Azlin

Naib Pengerusi

Hal Ehwal Wanita Islam,

Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) Sesi 2019/2020.

 

(Visited 40 times, 1 visits today)

Comments

comments