KELUASAN KEAMPUNAN ALLAH S.W.T

 

Bismillahirrahmanirrahim,

 

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan baginda S.A.W, ahli keluarga baginda, para sahabat dan para tabiin.

 

Firman Allah Taala :

{ وَاستَغفِرُوا الله إِن الله غَفُور رَحِيم }

“Maksudnya: … dan mohonlah ampunan daripada Allah sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Muzammil : 20)

 

Berdasarkan hadis ke empat puluh dua dalam hadis arbain karangan Imam Nawawi, dapat dilihat bahawa hadis tersebut hadis yang penuh pengharapan kerana ia menerangkan betapa luasnya keampunan Allah S.W.T terhadap hamba-Nya. Namun, tidak seharusnya kita menyalahgunakan hadis tersebut untuk terus tenggelam di dalam kemaksiatan.

 

Kandungan hadis

  1. Sebab-sebab keampunan.

Firman Allah Taala:

{ وقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِى أَسْتَجِبْ لَكُم }

“Maksudya: Dan Tuhanmu berfirman; berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa bagi kamu.” (Surah Ghafir : 60)

Ayat di atas menjelaskan bahawa doa merupakan salah satu wasilah untuk hamba-Nya mendapatkan pengampunan daripada Allah taala yang mana doa tersebut diiringi dengan harapan supaya dikabulkan.

 

  1. Syarat-syarat penerimaan doa, halangan dan adab-adab berdoa.

Perbuatan berdoa merupakan sebab-sebab untuk membawa kepada penerimaan sesuatu doa. Kadang-kadang doa tersebut lambat dimakbulkan disebabkan tidak mencukupi syarat-syarat dan adab-adab atau ada sesuatu yang menghalangi.Antara syarat-syarat dan adab-adab tersebut ialah:

  1. Penumpuan dan penuh harapan: Merupakan penyebab yang paling penting untuk dikabulkan doa.
  2. Bersungguh-sungguh dan yakin ketika meminta dan berdoa tanpa ada perasaan ragu dan bimbang di dalam hati dan doanya.
  3. Tidak terburu-buru dalam berdoa. Rasulullah S.A.W bersabda:

(يُسْتَجَابَ لِأَحَدِكُم ما لَم يَعجَل فَيَقُولُ: قَد دَعَوتُ رَبِّي فلم يستجب لي) (متفق عليه)

Maksudnya:”Doa kamu akan dimakbulkan selagimana kamu tidak berputus asa dengan mengatakan; Aku telah berdoa kepada Tuhanku, tetapi Dia tidak menerimanya.” (Muttafaqun ‘alaih)

  • Rezeki yang halal

 

  1. Memohon keampunan walau sebesarmana sekalipun dosa.

 

Walau sebesarmana sekalipun dosa seorang hamba, jika dibandingkan dengan keampunan Allah, maka keampunan Allah itu jauh lebih luas dan besar. Dosa, jika dinisbahkan dengan keampunan Allah adalah terlalu kecil. Nabi S.A.W bersabda:

(قُلِ اللهمَّ مَغْفِرَتُكَ أَوسَعُ مِن ذُنُوبِى, وَرَحمَتُكَ أَرجَى عِندِى مِن عَمَلِى)

Maksudnya:”Katakanlah: Ya Allah! Keampunan-Mu adalah lebih luas daripada dosa-dosaku dan rahmat-Mu lebih aku harapkan daripada amalan-amalanku.”

 

  1. Taubat dan Istighfar.

 

Firman Allah taala:

{وَأَنِ استَغفِرُوا رَبكُم ثُم تُوبُوا إِلَيه}

Maksudnya:”Dan hendaklah kamu meminta ampun (beristighfar) kepada Tuhanmu (daripada perbuatan syirik) kemudian hendaklah kamu bertaubat kepada-Nya…” (Surah Hud : 3)

 

Terdapat banyak ayat-ayat yang merungkaikan kalimah ‘istighfar’ dengan ‘taubat’. Istighfar di dalam ayat tersebut memberi makna memohon keampunan, manakala kalimah taubat pula membawa makna meninggalkan semua dosa yang disebabkan oleh hati dan seluruh anggota tubuh.

 

Antara perbezaan antara taubat dan istighfar:

  1. Taubat ada batas waktunya,sementara istighfar tidak ada batas waktunya.
  2. Taubat hanya boleh dilakukan oleh pelaku dosa itu sendiri, manakala istighfar boleh dilakukan oleh pelaku dosa dan juga orang lain untuknya.
  3. Taubat memiliki syarat wajib berhenti dari dosa yang ditaubati. Adapun istighfar tidak disyaratkan demikian.

 

  1. Beristighfar tetapi masih melakukan dosa.

 

Ada pendapat yang mengatakan bahawa nas-nas yang menyebut bahawa keampunan akan diberi secara mutlak, semuanya dikaitkan dengan ayat pada surah Ali Imraan yang mensyaratkan tidak berterusan melakukan dosa dan maksiat tersebut.

 

Abu Daud dan Tarmizi meriwayatkan daripada Abu Bakar bahawa Nabi S.A.W telah bersabda:

(ما أَصَرَّ مَنِ استَغفَرَ وَإِن عَادَ فِي اليَومِ سَبعِينَ مَرَّةٍ}

Maksudnya:”Seseorang itu tidak dianggap berterusan melakukan maksiat  jika dia telah beristighfar (dengan istighfar yang sebenar), sekalipun dia mengulanginya (maksiat) sebanyak tujuh puluh kali sehari.”

 

 

  1. Taubat pembohong

 

Barangsiapa yang berkata: “Aku memohon ampun kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya”, tetapi hatinya tetap ingin melakukan maksiat, sesungguhnya dia telah berbohong di dalam ucapannya dan berdosa di dalam tindakannya kerana sebenarnya dia tidak bertaubat. Mereka yang sedemikian dibimbangi akan ditimpa azab yang pedih.

 

 

Kesimpulan

 

Allah S.W.T itu Maha luas pengampunannya. Kita boleh memohon keampunan dengan pelbagai cara. Salah satunya ialah dengan wasilah berdoa. Selain berdoa kita juga boleh melazimi istighfar.

Terdapat banyak kelebihan istighfar. Antaranya ialah memberikan ketenangan jiwa, memudahkan segala urusan, menghilangkan kesedihan serta dimurahkan rezeki. Dan beberapa natijah beristighfar yang dapat diambil ialah lidahnya terselamat daripada perkara-perkara yang tidak baik, lahir di dalam dirinya sifat pemaaf, penyantun serta akhlak yang mulia.

Tetapi jangan hanya bergantung kepada lafaz istighfar sebagai kita bertaubat, itu belum bertaubat sepenuhnya, berhentilah dari mengulangi semua perbuatan dosa. Dan terkadang azab dan ujian yang Allah turunkan atas sebab dosa-dosa yang telah kita lakukan. Semoga Allah mengampuni segala dosa kita yang dulu, sekarang dan akan datang.

Akhir kalam, sudilah saya berkongsi satu doa. Semoga kita semua dapat mengamalkannya. Doanya berbunyi:

 

“اللهم ارزُقْنَا تَوبَةً نَصُوحَا قَبْلَ المَوت, وَرَحمَةً عِندَ المَوت, وَمَغفِرَةً بَعدَ المَوت”

 

Rujukan:

  1. Al-quran
  2. Kitab Al wafi Syarah Hadis 40 Imam Nawawi oleh Dr. Mustafa al-Bugho dan Muhyiddin Misto.
  3. Penulisan Taubat dan Istighfar oleh Ustaz Abd Ghani bin Haron.

 

 

Disediakan oleh :

Siti Aishah binti Sudin,

Setiausaha HEWI,

Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT),

Sesi 2019/2020.

 

(Visited 56 times, 1 visits today)

Comments

comments