PEMUDA ISLAM HARAPAN UMMAH

الحمد لله الذي بيده وهو على كل شيء قدير, أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له, له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير. ,أشهد أن محمدا عبده ورسوله البدر الدجى و سراج المنير.

 اللهم صلى وسلم وبارك على سيدنا و حبيبنا وإمامنا و قدوتنا محمد نبي الرحمة و شفيع الأمة وعلى آلـه وصحبه ومن تبعه ونصره

Alhamdulillah di atas nikmat iman dan Islam serta sihat tubuh badan yang Allah kurniakan pada hambanya. Setiap penciptaan Allah SWT pasti mempunyai tujuan dan hikmah yang harus direnungi dan diamati oleh makhluk tuhan seluruh alam.

Kalamullah dan As-Sunnah  bukanlah sandaran tetapi ia merupakan  pegangan dan sumber rujukan kepada orang Muslim. Konteks muslim dewasa ini sering dikaitkan kepada laras pemikiran atau konsep mazhab yang pelbagai kerana kefahaman yang berbeza dalam usaha memahami tafsiran dan takwilan Al-Quran dan as-Sunnah serta tiada batasan dalam berfikir dan berbicara. Oleh itu, dalam arus globalisasi ini, ramai manusia sudah terjerumus dan terpengaruh dengan budaya-budaya barat yang semakin menular di negara kita serta meresapi pemikiran anak muda.

Melihat kepada senario pada hari ni, terlalu banyak penyelewengan, kerosakan serta serangan pemikiran yang berlaku kepada umat Nabi Muhammad SAW. Sudah pasti mereka ini harus dibimbing dan dididik dengan acuan Islam. Maka pemudalah yang berperanan dalam membantu dan meyebarkan dakwah Islam.

الشباب  اليوم قادة المستقبل

Ungkapan yang sering didengari  dan disebut oleh para pemimpin untuk para pemuda. Realitinya mereka merupakan tonggak utama dalam merealisasikan kemenangan Islam.

Firman Allah SWT:

نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِٱلْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ ءَامَنُوا۟ بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَٰهُمْ هُدًى

Maksudnya: “Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.
(Surah Al-Kahf: Ayat 13)

Dalam kitab “ Kewajipan Pemuda Islam Hari Ini” , penulis ada menyatakan bahawa hakikat seorang muslim bukanlah seperti yang terlihat pada mata kasar seorang manusia biasa, akan tetapi mereka adalah penyokong risalah Islam yang kekal serta penyambung dakwah para Rasul dan anbiya’.Tugas seorang pemuda tidak lain dan tidak bukan adalah menyebarkan rahmat Islam di pelosok dunia sepertimana para Nabi dan sahabatnya  bersungguh-sungguh melakukan pada permulaan Islam di muka bumi.

Firman Allah SWT:

الْيَوْمَ  أَكْمَلْتُ  لَكُمْ  دِينَكُمْ  وَأَتْمَمْتُ  عَلَيْكُمْ  نِعْمَتِى  وَرَضِيتُ  لَكُمُ  الْإِسْلٰمَ  دِينًا

Maksudnya: “Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu.”

 

Peranan dan tanggungjawab  pemuda cukup besar kerana Allah telah mengurniakan kepada mereka kelebihan tubuh badan yang kuat dan sihat, akal yang cerdas serta ingatan yang kukuh. Pemuda jiwanya sentiasa hidup dan teguh,justeru kehidupan mereka  penuh dengan ujian dan mehnah serta rintangan  yang lebih mencabar bagi menggapai cita-citanya.

Nabi Muhammad SAW bersabda :
Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah, dan pada keduanya ada kebaikan.”  (HR. Muslim)

Allah menciptakan manusia di atas muka bumi bukanlah sia-sia, bahkan mereka mempunyai tanggungjawab dan amanah. Hakikat penciptaan manusia adalah untuk mengabdikan diri dan beribadah kepada ALLAH. Apabila berbicara mengenai tanggungjawab, sudah pasti pemuda menjadi teras utama dalam merealisasikan agenda dakwah Islam.

Di dalam kitab Sehingga Pemuda Mengerti, Dr. Nasih Ulwan ada menyebut bahawa peranan pemuda Islam sangat besar dalam mendirikan syariat Allah, megeluarkan manusia daripada kegelapan dan kesempitan dunia kepada cahaya dan keadilan Islam. Maka,seharusnya kita sebagai mahasiswa perlu menekankan aspek pembentukan diri ke arah yang lebih baik dan proaktif.

Dr.Yusof AL-Qardhawi ada menggariskan 4 kewajipan sebagai pemuda Islam di dalam kitabnya.

  1. Memahami Islam secara sahih
    Islam adalah tunduk, taat dan patuh kepada perintah Allah SWT seperti yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW. Wajib bagi setiap muslim untuk mempelajari dan mempraktikkan hakikat Ad-Deen dalam diri mereka. Kesempurnaan dan kejelasan ajaran Islam telah ditegaskan oleh Nabi Muhammad SAW di dalam hadis  ini:

تَركْتُ فِيْكُمْ أَمْرَيْنِ، لَنْ تَضِلُّوْا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا: كِتَابَ اللَّهِ، وَسُنَّةَ نَبِيِّه

Maksudnya: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Qur’an) dan sunnah Nabi-Nya (Sunnah Nabi SAW).” [Riwayat Malik (1594)].

Sudah jelas bagi yang mengaku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya bahawa Islam telah sempurna dan lengkap serta tidak memerlukan perubahan dan penambahan atau pengurangan. Selain itu, Allah sendiri yang menjamin kemurnianNya. Sebagaimana Allah telah menjamin keaslian Al-Quran, seperti itulah Allah menjamin kemurnian dan kesyumulan Islam. Kerana itu tidak akan ada pertentangan terhadap perkara yang terdapat di dalamnya.

Sebagaimana firman-Nya:

أَفَلا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِنْدِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلافًا كَثِيرًا

Maksudnya: “Apakah mereka tidak memperhatikan Al-Quran? Sekiranya Al-Quran itu bukan dari sisi Allah, tentu mereka akan mendapatkan pertentangan yang banyak di dalamnya”.
(Surah An-Nisa’: 82).

Pemuda Islam wajib untuk belajar dan mendalami ilmu dengan baik. Ini bukan bermakna para pemuda mempelajari ilmu sains, kedoktoran dan kejuteraan sahaja tanpa menitikberatkan ilmu agama. Sebaiknya penuntut ilmu perlulah mendalami ilmu yang dipelajarinya secara mendalam serta beramal dengannya  agar dapat membantu masyarakat kelak. Generasi amilin khususnya mahasiswa Islam mestilah berjaya dalam pelajaran dan menjadi contoh kepada anak muda yang lain serta berakhlak dengan akhlak Al-Quran. Kepentingan dan ketinggian darjat ilmu tidak dinafikan lagi sebagaimana telah difirmankan oleh Allah di dalam kitabNya. Maka, setiap yang diambil mestilah daripada sumber yang sahih dan terhindar daripada segala penyelewengan. Melihat kepada dunia yang penuh fitnah dan kerosakan, maka kewajipan memahami Islam sangat ditekankan agar kita dapat mendidik dan membimbing generasi akan datang dengan hakikat Islam yang sebenar serta mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW.

2.Bekerja untuk Islam
Beramal untuk Islam dalam erti kata yang sebenar ialah untuk melahirkan individu yang mencerminkan akidah, akhlak Islam, serta berpegang teguh dengan sumber rujukan dan menjadikan cara hidup Islam sebagai syariat perundangan, peraturan dan perlembagaan hidup.Kewajipan melaksanakannya tidak gugur kecuali setelah tertegaknya satu kuasa yang dapat mengendalikan tanggungjawab ini dan memelihara urusan kaum muslimin.

Selain itu, bekerja untuk menegakkan dakwah Islam adalah wajib kerana ia merupakan  tanggungjawab yang telah dipundakkan oleh Allah SWT kepada umat manusia bermula dengan para nabi dan rasul kemudian umat manusia sehingga hari kiamat. Ia juga merupakan kewajipan dari sudut tuntutan untuk menghadapi cabaran zaman kini dan serangan musuh-musuh Islam. Hal ini dapat menyekat penularan fahaman sekularisme dan kebendaan yang berusaha untuk menggugat kewujudan Islam. Jika kita merenung nasib yang dialami oleh negara-negara umat Islam hari ini,maka sudah pasti ia menjadi bukti bagi  menguatkan lagi tuntutan tersebut adalah tanggungjawab yang wajib di sisi syariat khususnya kepada pemuda Islam.

Firman Allah SWT:
Maksudnya: “ Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah Al-Asr, Ayat: 1-3)

Cabaran dunia Islam pada era ini sangat besar, maka manfaatkanlah waktu yang ada dengan sebaiknya dengan melakukan persiapan untuk menghadapinya suatu hari kelak. Medan berpersatuan merupakan salah satu wasilah yang baik untuk mengasah bakat dan mempraktikkan ilmu yang ada sebelum turun ke medan masyarakat yang sebenar. Jadikan medan persatuan ini untuk kita melakukan amar makruf nahi mungkar serta beramal dengan apa yang dipelajari.Mahasiswa harus celik dalam menilai dari semua aspek  agar dapat memberikan keuntungan kepada islam dan umatnya.Oleh kerana itu,beramal dan bekerja untuk Islam adalah kewajipan individu dan jamaie yang harus ditunaikan.

3.Kewajipan berdakwah kepada Islam
Tidak cukup untuk seseorang pemuda memahami Islam dan berjaya dalam membentuk dirinya menjadi seorang yang soleh tetapi berpaling daripada memikul beban dakwah Islam.

Firman Allah SWT :
Maksudnya: Hai anakku ! Dirikanlah sembahyang dan suruhlah manusia mengerjakan kebaikan dan cegahlah ( mereka ) daripada perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan oleh Allah. (Luqman : 17)

Dewasa ini kejahilan yang melata di dunia menuntut pemuda Islam untuk menjadi seorang pekerja agama bagi mengembalikan manusia kepada Islam yang mutlak. Tugas ini bukanlah satu tanggungjawab yang ringan dek kerana halangan-halangan daripada manusia sendiri yang berat untuk menerima Islam sebagai agama yang sempurna. Namun dalam melaksanakan tanggungjawab ini, pemuda Islam harus sedar bahawa tiada satu dakwah pun yang tidak akan ditentang. Pemuda harus sedar tiada tugas yang lebih besar yang menanti mereka daripada melaksanakan tanggungjawab dakwah ini.
Dakwah, amanahnya besar bebanannya berat dan mereka yang sanggup berkorban sahaja mampu untuk menggerakkan roda-roda dakwah ini.

Firman Allah SWT :
Maksudnya: “Siapakah yang lebih baik perkataan daripada orang menyeru kepada Allah, mereka mengerjakan amal soleh dan berkata ‘Sesungguhnya aku termasuk dalam golongan orang yang menyerah diri’.” (Surah Fussilat : 33 )

  1. Mengikat diri kepada Islam
    Pemuda-pemuda muslim yang berkefahaman jitu dan sanggup bekerja untuk Islam seharusnya bertanggungjawab untuk saling membantu sesama pekerja Islam dan berusaha untuk mengembalikan keagungan Islam. Tugas ini amatlah berat dan cita-cita ini tidak akan tercapai sekiranya pekerja Islam bergerak secara bersendirian. Islam memerlukan pekerja yang bergerak secara berkumpulan dan jiwa pekerjanya diikat dengan tali kasih sayang dan ukhuwah walaupun terdapat perbezaan corak kerja antara kelompok-kelompok Islam.

    Sekiranya golongan kafir mampu untuk bersatu menentang Islam,mengapa petugas-petugas Islam tidak mampu berganding bahu dan bantu-membantu untuk melaksanakan tanggungjawab dakwah? Tepuk dada, tanya iman.

    Firman Allah :
    Maksudnya: Dan orang-orang kafir sebahagian mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang lain. Jika kamu ( orang-orang Islam ) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah itu, nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar. ( al-Anfal : 73 )

    Akhir kata, inilah empat tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh pemuda Islam. Mereka perlu meneliti setiap tanggungjawab ini di dalam dirinya; adakah semua tuntutan ini sudah ditunaikan ataupun tidak. Letakkan posisi kita selaku mahasiswa Islam untuk sentiasa bergerak memanfaatkan diri terutamanya di alam universiti agar dapat berkhidmat kepada agama dan negara. Jadikan Keluarga Penuntut- penuntut Terengganu Mesir (KPT) sebagai satu platform dalam melaksanakan amal Islami dan membumikan gerak kerja dakwah. Semoga kita menjadi batu bata kepada binaan Islam dan pewaris generasi ulama amilin.

    Sirru ‘ala barakatillah.

Rujukan:
-Apa Erti Saya Menganut Islam karangan Ustaz Fathi Yakan

-Sehingga Pemuda Mengerti karangan Dr. Nasih Ulwan

-Kewajipan Pemuda Islam Hari Ini karangan Dr. Yusuf Al-Qardhawi

-Jilul Nasr Mansyud karangan Dr Yusuf Al-Qardhawi

 

“Memperkukuh Tarbiyyah,Mengislah Ummah”

“Mahasiswa Bersahsiah, Tunjang Kesatuan”

 

Disediakan oleh:
Nur Maisarah bt Mohamad Ramzi,
Penasihat HEWI,

Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT),
Sesi 2019/2020.

 

 

(Visited 25 times, 1 visits today)

Comments

comments