Perilaku Seorang Muslim

 

Bismillahirrahmanirrahim.

 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga baginda, sahabat-sahabat baginda dan para tabi’in.

 

Memetik firman Allah S.W.T :-

 

{لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا}

 

Maksudnya : “Sesungguhnya telah ada bagi kamu pada Rasulullah suri teladan yang baik bagi orang yang mengharap Allah dan hari kiamat, serta yang berzikir kepada Allah dengan banyak”.

(Surah Al-Azhab: 21)

 

Rasulullah S.A.W sebaik-baik contoh ikutan bagi individu Muslim dalam mengendalikan setiap tingkah laku mereka kerana kelak seluruh anggota badan akan dipertanggungjawab atas segala perbuatan sewaktu di dunia. Sebagaimana firman Allah S.W.T :-

 

{وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا}

 

Maksudnya : “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya”.

(Surah Al-Isra’ : 36)

 

Islam juga menyeru tingkah laku yang dapat menyemai rasa kasih dan sayang sesama manusia. Al-fadhil Ustaz Fathi Yakan ada menggariskan sepuluh sifat-sifat akhlak seorang Muslim dalam karangannya “Apa Ertinya Saya Menganut Islam”, iaitu :

  1. Menjauhkan diri dari perkara-perkara syubhat.
  2. Memelihara pandangan.
  3. Memelihara lidah.
  4. Bersifat pemalu.
  5. Bersifat lemah-lembut dan sabar.
  6. Bersifat benar.
  7. Bersifat tawadhu’.
  8. Menjauhi sangka buruk dan mengumpat.
  9. Bermurah hati.
  10. Qudwah Hasanah (Suri Teladan Yang Baik).

 

1. Menjauhkan Diri dari Perkara-perkara Syubhat.

Seorang Muslim mestilah menjauhkan diri dari segala perkara yang dilarang Allah dan juga perkara yang samar-samar antara halal dan haramnya.

 

Rasulullah S.AW bersabda :-

 

(لا يبلغ العبد أن يكون من المتقين حتى يدع مالا بأس به حذرا مما به بأس)

 

Maksudnya : “Seorang hamba Allah itu tidaklah termasuk dalam martabat golongan muttaqin sehinggalah ia meninggalkan sesuatu perkara yang tidaklah menjadi kesalahan (jika dilakukan tetapi ia meninggalkannya) kerana sikap berhati-hati dari terjerumus ke dalam kesalahan.

(Riwayat Tirmizi)

 

2. Memelihara Pandangan.

Seorang Muslim perlu menjaga pandangan dari melihat perkara-perkara yang diharamkan Allah yang mana perkara tersebut dapat merangsang syahwat dan membawa kepada kemaksiatan. Firman Allah S.W.T :-

 

{قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ}

 

Maksudnya : “Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman, “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.”

(Surah An-Nur : 30)

 

3. Memelihara Lidah.

Seorang Muslim mestilah memelihara percakapannya daripada perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti mengeji, mengadu domba, mengejek dan sebagainya.

 

Rasulullah S.A.W bersabda :-

 

(ليس المؤمن بالطعان ولا اللعان ولا الفاحش البذىء)

Maksudnya : “Bukanlah ia seorang Mukmin (jika) ia suka menuduh, suka melaknat, bercakap kotor dan keji”.

(Riwayat Tirmizi)

 

4. Bersifat Pemalu.

Seorang Muslim mestilah bersifat pemalu dalam setiap keadaan tetapi bukan menghalangnya daripada menegakkan kebenaran. Antara sifat pemalu ialah tidak masuk campur urusan orang lain, tidak meninggikan suara ketika bercakap, memelihara pandangan serta sifat-sifat seumpamanya.

 

5. Bersifat Lemah-Lembut dan Sabar.

Seorang Muslim perlu bersifat lemah-lembut dan sabar kerana kerja-kerja Islam itu disulami dengan kepayahan, penyeksaan dan persendaan. Oleh itu, kita memerlukan kekuatan daripada kesabaran yang tinggi, ketabahan dan lemah lembut. Firman Allah S.W.T :-

 

{قُلْ يَٰعِبَادِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمْ ۚ لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا۟ فِى هَٰذِهِ ٱلدُّنْيَا حَسَنَةٌ ۗ وَأَرْضُ ٱللَّهِ وَٰسِعَةٌ ۗ إِنَّمَا يُوَفَّى ٱلصَّٰبِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ}

 

Maksudnya : “Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang beriman. bertakwalah kepada Tuhanmu”. Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperoleh kebaikan. Dan bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.

(Surah Az-Zumar : 10)

 

6. Bersifat Benar.

Seorang Muslim perlu bersifat benar kerana takutkan Allah dan tidak takut kepada celaan manusia. Ia akan menjadikan jiwa seseorang itu mempunyai pertahanan dan benteng yang kukuh daripada hasutan dan tipu daya syaitan.

 

7. Bersifat Tawadhu’.

Seorang Muslim mestilah bersifat merendah diri khususnya terhadap saudara-saudaranya yang Muslim dengan cara tidak membezakan dalam memberi layanan sama ada yang miskin mahupun kaya.

 

8. Menjauhi Sangka Buruk dan Mengumpat.

Seorang Muslim mestilah menjauhi sifat-sifat ini kerana mematuhi firman Allah :-

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ ٱلظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا۟ وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan purba-sangka (kecurigaan), karena sebagian dari purba-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.

(Surah Al-Hujurat : 12)

 

9. Bersifat Pemurah.

Seorang Muslim mestilah bersifat pemurah, sanggup berkorban dengan jiwa dan harta benda pada jalan Allah.

 

Firman Allah S.W.T :-

 

{ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقْنَٰهُمْ يُنفِقُونَ}

 

Maksudnya : “(yaitu) orang-orang yang mendirikan solat dan yang menafkahkan sebagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka”.

(Surah Al-Anfal : 10)

 

10. Qudwah Hasanah (Suri Teladan Yang Baik)

Segala tingkah-laku seorang Muslim adalah menjadi gambaran kepada prinsip-prinsip Islam serta adab-adabnya. Oleh itu, seorang Muslim perlu menjadikan dirinya sebagai contoh ikutan terhadap masyarakat.

 

Akhir sekali, akhlak merupakan dasar tertegaknya peradaban juga merupakan cahaya yang menerangi kegelapan maksiat. Semoga kita semua sama-sama dapat menghiasi peribadi dengan akhlak yang mulia sebagaimana yang dianjurkan Islam bagi menjaga imej agama walau di mana kita berada, in sha Allah.

 

Sekian, Terima kasih.

 

Rujukan :-

  1. Kitab Apa Ertinya Saya Menganut Islam Oleh Al-fadhil Ustaz Fathi Yakan.

 

“Memperkukuh Tarbiyyah, Mengislah Ummah”

“Mahasiswa Bersahsiah, Tunjang Kesatuan”

 

“Berilmu dan Beramal”

 

Disediakan oleh :

Puteri Noraqilah binti Megat Khairulazwan,

Unit Dakwah Hal Ehwal Wanita Islam,

Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT),

Sesi 2019/2020.

(Visited 62 times, 1 visits today)

Comments

comments