Rintangan Perjuangan Dalam Hidup Pendakwah.

 

Firman Allah Taala :

أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

-Surah Al-Ankabut, Ayat 2

 

Jalan dakwah tidaklah sesenang yang digambarkan, pasti sepanjang perjalanannya dihiasi dengan pelbagai liku.Bukanlah ia bertujuan untuk mematahkan semangat para daie bahkan untuk menjadikan mereka lebih kuat serta meletakkan pengharapan yang tinggi kepada Allah S.W.T atas setiap usaha dakwahnya.

 

Sabda Rasulullah S.A.W :

المؤمن بين الخمس شدائد : مؤمن يحسده، ومنافق يبغضه، و كافر يقاتله، وشيطان يضله، ونفس تنازعه.

“Orang mukmin yang sentiasa di ambang 5 kesusahan:

  • Mukmin yang dengki kepadanya
  • Munafiq yang benci kepadanya
  • Kafir yang memeranginya
  • Syaitan yang menyesatkannya
  • Nafsu yang merangsangnya

Dalam hadis ini, Rasulullah telah menjelaskan tentang fitnah dan kesusahan yang akan menimpa para daie supaya mereka dapat berhati -hati dan bersedia.

Di sini kita akan menghuraikan rintangan tersebut.

 

  • Orang Mukmin Yang Dengki Kepadanya.

 

Sabda Rasulullah S.A.W :

 

دب إليكم داء الأمم قبلكم، الحسد والبغضاء. والبغضاء هو الحالقة. أم إلي لا أقول تحلق الشعر ولكن تحلق الدين.

“Penyakit umat sebelum kamu telah menular kepada kamu, iaitu hasad dengki dan permusuhan. Permusuhan tersebut ialah pengikis atau pencukur. Aku tidak maksudkan ia mencukur rambut tetapi yang dimaksudkan ialah mengikis agama”.

 

Hasad dengki merupakan salah satu penyakit hati yang berbahaya.Lumrahnya ia ada pada setiap manusia. Penyakit ini boleh mengikis iman sedikit demi sedikit.Golongan yang mempunyai penyakit ini adalah kerana dengki dengan ilmu dan kelebihan yang ada pada seorang pendakwah.

 

Antara faktor yang menyebabkan kepada hasad dengki ialah :

  • Perasaan suka kepada permusuhan & kebencian
  • Berasa diri mulia
  • Takabbur & ujub
  • Takut terlepas sesuatu tujuan atau habuan
  • Ghairah menjadi ketua atau mencari populariti

Cara Menghadapi Golongan Pendengki

  • Sentiasa bersikap berhati-hati
  • Menjauhi golongan pengumpat
  • Mengelakkan diri dari golongan pendengki
  • Sentiasa sabar dan meminta pertolongan dari Allah
  • Kuasai diri dari sifat amarah

 

  • Orang Munafiq yang benci kepadanya

 

  • Rintangan kedua yang dihadapi oleh para daie ialah kebencian & tipu daya golongan munafiq. Golongan ini telah ada semenjak zaman Nabi sehingga ke hari ini. Golongan ini mempunyai beberapa tujuan, antaranya ialah :
  • Didorong pertimbangan untuk merangkul kepentingan duniawi
  • Melaga-lagakan serta memecah belahkan umat islam

 

  • Golongan ini mempunyai ciri-ciri seperti hadis di bawah, sabda Rasulullah S.A.W :

 آية المنافقين ثلاثة : إذا حدث كذب وإذا وعد أخلف وإذا أؤتمن خان.

Tanda orang munafiq 3: Jika berkata ia berdusta, jika berjanji ia mungkiri dan jika diberi amanah ia khianat.

 

  • Antara contoh fitnah yang disebarkan oleh golongan munafiq ialah peristiwa Hadis Al-Ifki:

 

Ketika  Saidatina ‘Aisyah Radiyallahu anhu mengikut baginda Rasullah S.A.W dalam peperangan menentang Yahudi Bani Al-Mustaliq. Ketika rombongan berhenti, Saidatina ‘Aisyah keluar dari tunggangannya untuk membuang air.Setelah itu beliau kembali kemudian menyedari loketnya telah tercicir lantas kembali semula ke tempat yang telah beliau lalu. Sekembalinya Saidatina ‘Aisyah rombongan tersebut telah berlalu tanpa menyedari kehilangan beliau. Saidatina ‘Aisyah tetap menunggu lalu tertidur.Kemudian beliau terjaga apabila Safwan bin Muattal berada di sisinya.Ternyata dia menyedari kehilangan Saidatina ‘Aisyah lalu mencarinya.Safwan membawa Saidatina ‘Aisyah untuk menunggang untanya sehingga bertemu semula dengan rombongan tersebut. Perihal ini diketahui oleh ahli-ahli rombongan lalu mereka membuat telahan sendiri tentang kejadian tersebut. Hal ini mula dihebohkan oleh Ibnu Ubai bin Salul sehingga menjadi percakapan masyakarat di Madinah. Ibnu ubai menggunakan kesempatan tersebut akibat rasa dendam dan bencinya terhadap Rasullullah. Peristiwa itu merupakan satu cabaran buat Rasulullah serta umat Islam ketika menghadapi golongan munafiq.

 

  • Orang Kafir Yang Memeranginya

 

Halangan ketiga yang dihadapi oleh para Daie ialah tipu daya dan komplot orang-orang kafir. Mereka merupakan penyokong-penyokong kebatilan serta musuh kebenaran dan keimanan sehingga hari kiamat.

 

لِيَمِيزَ ٱللَّهُ ٱلۡخَبِيثَ مِنَ ٱلطَّيِّبِ وَيَجۡعَلَ ٱلۡخَبِيثَ بَعۡضَهُۥ عَلَىٰ بَعۡضٖ فَيَرۡكُمَهُۥ جَمِيعٗا فَيَجۡعَلَهُۥ فِي جَهَنَّمَۚ أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡخَٰسِرُونَ

 

Kerana Allah hendak membezakan yang jahat (golongan yang ingkar) dari yang baik (golongan yang beriman), dan menjadikan (golongan) yang jahat itu setengahnya bersatu dengan setengahnya yang lain, lalu ditimbunkannya kesemuanya, serta dimasukkannya ke dalam neraka Jahanam. Mereka itulah orang-orang yang rugi.

 

-Surah Al-Anfal, Ayat 37

Antara kisah komplot dan tipu daya orang-orang kafir :

  • Nabi-nabi dan Komplot Orang Kafir
    • Kisah Nabi Ibrahim ketika menyeru kaumnya supaya menurut perintah Allah serta meninggalkan perbuatan menyembah berhala, akan tetapi jawapan kaumnya amat menyedihkan.Firman Allah taala :

 

 

فَمَا كَانَ جَوَابَ قَوۡمِهِۦٓ إِلَّآ أَن قَالُواْ ٱقۡتُلُوهُ أَوۡ حَرِّقُوهُ فَأَنجَىٰهُ ٱللَّهُ مِنَ ٱلنَّارِۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يُؤۡمِنُونَ

 

(Abdullah Muhammad Basmeih)

Kemudian, seruan Nabi Ibrahim tidak dijawab oleh kaumnya melainkan dengan kata-kata (tentangan yang keras): “Bunuhlah dia atau bakarlah dia”. Maka Allah selamatkan Nabi Ibrahim dari api (yang disediakan oleh kaumnya). Sesungguhnya peristiwa yang demikian, mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang (mahu) beriman.

-Surah Al-Ankabut, Ayat 24

 

  • Rasul dan Konspirasi Orang Kafir

-Ketika Rasulullah S.A.W berdakwah di Taif, orang-orang kafir menggunakan anak-anak muda, hamba sahaya dan samseng-samseng mereka untuk menyakiti baginda dengan melempar batu. Baginda diejek-ejek, dicerca serta dimaki. Namun baginda memulangkan kata caci itu dengan mengadu kepada Allah.

 

  • Para Sahabat dan Tipu Daya Orang Kafir
    • Para sahabat Rasulullah S.A.W juga menghadapi pelbagai bentuk serangan dan penindasan dari orang kafir, namun keazaman mereka tidak pernah luntur. Firman Allah S.W.T :

 

وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيّٖ قَٰتَلَ مَعَهُۥ رِبِّيُّونَ كَثِيرٞ فَمَا وَهَنُواْ لِمَآ أَصَابَهُمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَمَا ضَعُفُواْ وَمَا ٱسۡتَكَانُواْۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلصَّٰبِرِينَ

 

Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (ugama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.

-Surah Ali-Imran, Ayat 146

-Contohnya, dalam peristiwa raji’ beberapa pendakwah Islam telah dibunuh sewaktu dalam perjalanan mereka ke daerah ‘Adal dan Qarah untuk mengembangkan dakwah Islam, antaranya Khubaib bin ‘Adi.Ketika ia dibawa keluar daripada kawasan Masjidil Haram untuk dibunuh ia meminta kepada orang kafir supaya membenarkannya sembahyang dua raka’at. Selepas itu ia datang semula dan berkata “ Kalaulah tidak kerana kamu mungkin menyangka aku takut mati nescaya aku akan menambah kadar sembahyangku”.

 

4-  Penderitaan Pemimpin Dan Para Du’at Sepanjang Sejarah

-Sejarah menjelaskan betapa gigihnya para pendakwah di zaman lampau sewaktu merekaa berhadapan dengan pelbagai bentuk penindasan, seksaan dan hukuman dari semasa ke semasa

-Sebagai contoh Said bin Jubair, beliau telah dimurkai oleh Hajjaj bin Yusuf, penguasa fasiq dari Bani Thaqif. Beliau menanggung penyeksaan dan kezaliman dari Hajjaj serta  menghadapi dengan penuh keberanian. Ancaman-ancaman ganas tidak sedikit pun melunturkan keberanian beliau sehingga akhirnya dibunuh.

 

  • Syaitan yang Menyesatkannya

-Firman Allah taala :

 

إِنَّ ٱلشَّيۡطَٰنَ لَكُمۡ عَدُوّٞ فَٱتَّخِذُوهُ عَدُوًّاۚ إِنَّمَا يَدۡعُواْ حِزۡبَهُۥ لِيَكُونُواْ مِنۡ أَصۡحَٰبِ ٱلسَّعِيرِ

 

Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.

 

-Surah Fatir, Ayat 6

Antara jalan yang boleh dilalui syaitan:

  • Kemarahan yang meluap-luap hingga menutupi akal waras
  • Nafsu Syahwat
  • Tergesa-gesa
  • Hasad dengki
  • Kikir
  • Takabbur

Cara untuk menutupi jalan syaitan :

– Bertaqwa kepada Allah serta meminta perlindungan dari-Nya

– Selalu mwngingati Allah,bermuraqabah serta sempurna ibadah

 

  • Nafsu yang merangsangnya

-Firman Allab taala :

 

وَأَمَّا مَنۡ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِۦ وَنَهَى ٱلنَّفۡسَ عَنِ ٱلۡهَوَىٰ

Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, –

 

فَإِنَّ ٱلۡجَنَّةَ هِيَ ٱلۡمَأۡوَىٰ

Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.

-Surah An-Nazi’at, Ayat 40 & 41

 

Pengisian hati hendaklah diutamakan dari segala-galanya. Jika jasad dan aqal diberi habuan dan ubat untuk berfungsi begitu juga dengan hati. Antara tanda hati masih hidup ialah hati masih bergetar mendengar zikrullah dan bacaan Al-Quran serta hati yang masih berpegang kuat pada agama.

 

Cara untuk memelihara hati ialah :

  • Sentiasa mangamalkan zikrullah
  • Kerap muraqabatullah dalam segala tindak tanduk dan urusan
  • Berjihad melawan nafsu

 

Kesimpulannya, para daie harus berusaha menghadapi segala rintangan. Jelas untuk mengharunginya bukan mudah tetapi para daie harus sentiasa waspada dan berhati-hati. Mengawal nafsu dari semasa ke semasa amat penting bagi membantu para daie.

 

Rujukan :

– Bahtera Penyelamat karangan Al-fadhil Ustaz Fathi Yakan.

 

 

Disediakan oleh :

Syakira Binti [email protected],

Fasilitator,

Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT),

Sesi 2019/2020.

 

 

 

(Visited 53 times, 1 visits today)

Comments

comments