SATU FIKRAH SATU AMAL

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله الذى ألف بين قلوبنا، والحمد لله على نعمة اﻹسلام واﻹيمان ونعمة اﻷخوة والوحدة.

والصلاة والسلام على أشرف اﻷنبياء والمرسلين إمام المتقين وقائد المجاهدين وعلى آله وأصحابه أجمعين ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين . أما بعد..

 

Firman Allah SWT:

 “وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَاب”ِ ﴿المائدة:2)

Maksudnya : “Dan tolong-menolonglah kamu (dalam mengerjakan) kebaikan dan ketaqwaan dan janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat siksaan-Nya”

(Surah Al-Maaidah : 2)

 

Kesatuan fikrah dan amal (tindakan) adalah satu keperluan dalam sebuah organisasi untuk melengkapi  visi dan misi  yang berpasakkan amal islami bagi memastikan organisasi tersebut bergerak di atas paksi yang terarah.

Kronologi kesatuan mahasiswa di bumi Anbiya’ ini telah diukir dengan tinta emas semenjak tahun 20an yang silam.

Kesatuan ini terbina pada tahun 1918 rentetan daripada kedatangan pelajar-pelajar Melayu  yang merantau ke bumi Mesir antaranya Al-marhum Ahmad Ata’ullah Suhaimi, Tuan Hj. Muhammad Fahhullah Suhaimi dan Idris Marbawi.

Pada 14 September 1923,  Persatuan Kebajikan Anak-anak Jawa ditubuhkan hasil gabungan 3 serangkai (Melayu, Indonesia dan   Thailand) sehinggalah pada tahun 1930 pelajar-pelajar Malaya mempunyai persatuan sendiri dengan nama  Persatuan Putera-putera Semenanjung (PPS) kemudian diubah kepada Persekutuan Melayu Mesir (PMM 1952), Persekutuan Melayu Republik Arab Bersatu (PMRAB 1965) dan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM 1971).

Hingga kini tali hayat kesatuan mahasiswa masih utuh dengan tertubuhnya  Majlis Gabungan Badan Kebajikan Anak Negeri atas inisiatif Badan-Badan Kebajikan Anak Negeri.

 

 

RAHSIA DISEBALIK SATU FIKRAH SATU AMAL

 

Hadis Rasulullah SAW:

عن أبي موسى الأشعري رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: (المؤمن لِلْمؤْمن كالبُنْيان يَشُدُّ بَعْضُه بَعْضا، ثُمَّ شَبّك بين أَصابعه) رواه البخاري.

Maksudnya : Dari Abi Musa Al Asya’rie RA: Rasulullah SAW bersabda:

“Perumpamaan antara mukmin dengan mukmin yang lain seperti binaan yang tersusun kukuh saling memperkuatkan antara satu dengan yang lain, kemudian baginda menggenggam jari-jarinya”

(Riwayat Al Bukhari)

 

Penubuhan Keluarga Penuntut Terengganu Mesir (KPT) sebagai Badan Kebajikan Anak Negeri pada tahun 1964 dibawah persatuan induk PMRAM, dengan moto Berilmu dan Beramal hingga kini masih gagah menerjang dugaan yang berbagai dalam usaha memastikan kebajikan para pelajar Terengganu di Mesir terurus di samping  ribat ukhuwah dan kesatuan bersama Badan Kebajikan Anak Negeri yang lain.

Dalam usia 56 tahun, KPT telah mencurahkan berbagai  bentuk kebajikan kepada ahli KPT. Untuk mengukuhkan lagi kesatuan dan melengkapkan keperluan ahli KPT, KPT telah memfokuskan tiga bentuk kebajikan iaitu ukhuwah, pendidikan dan kefahaman serta menggariskan tiga pembawaan yang dikemudikan oleh Yang Dipertua KPT dan sepuluh orang Ahli Jawatankuasa Tertinggi serta lapan orang Ahli Jawatankuasa HEWI bersama ahli-ahli KPT yang sentiasa dipupuk keikhlasan mereka dalam amal islami dengan sentiasa membudayakan ‘Apa Sumbangan Kita Kepada KPT?’.

 

Tiga pembawaan KPT:

1) Mengukuhkan KPT sebagai wadah kesatuan dan pimpinan sebagai tempat rujukan.

2) Meningkatkan thaqafah dan  kebajikan ahli.

3) Memantapkan Biah Solehah dan  Muzakarah berkelompok dalam kalangan ahli.

 

Kesedaran, kefahaman, kerjasama, ukhuwah, meletakkan wala’ yang tinggi kepada kepimpinan dan mempamerkan serta menterjemahkan keizzahan Islam dalam berorganisasi dengan tuntutan satu fikrah satu amal adalah antara rahsia keteguhan  KPT.

 

 

AMAL ISLAMI  TIGA  DALAM SATU

 

Firman Allah SWT:

“وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ ” (التوبة:105)

Maksudnya : “Dan katakanlah: Bekerjalah kamu maka Allah, RasulNya dan orang-orang mukmin akan melihat perbuatan kamu. Dan kamu akan dikembalikan kepada Allah  Yang Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan Nya kepadamu apa yang telah kamu lakukan”. ( At Taubah :105)

 

Keutuhan kesatuan dalam mencetak satu fikrah satu amal dalam kalangan pimpinan dan ahli tidak akan tercetus dengan sendiri tanpa penerapan tiga gabungan amal islami dalam satu slogan kesatuan.

 

Satu Fikrah Satu Amal merangkumi amal islami yang terdiri daripada:

1) Amal Fardi

-Amalan individu ke arah membentuk jati diri individu muslim menuju mardhatillah bertepatan dengan syariat Allah SWT.

-Ianya juga akan melahirkan individu yang mempunyai kesedaran dan kefahaman tentang tanggungjawab individu muslim.

 

2) Amal Jamaie

-Bergerak bersama organisasi dalam memberi manfaat kepada organisasi samada peringkat ahli atau pimpinan demi mncapai sasaran visi dan misi serta kesatuan yang dibina menepati undang-undang tubuh dan etika yang telah digariskan.

-Ini secara tidak langsung akan memantapkan lagi amal fardi individu muslim.

 

3) Amal Ijtimaie

-Bekerjasama dalam melaksanakan gerak kerja Jabatan, Biro atau Unit yang telah dirancang dan diputuskan oleh pimpinan organisasi.

-Amal ijtimaie ini melengkapi amal jamaie, bukan sahaja akan menghasilkan prestasi terbaik kepada Organisasi dan ahlinya, malah akan menampilkan keunggulan organisasi di tengah-tengah rakan organisasi yang lain.

 

 

SIFAR SATU FIKRAH SATU AMAL

 

Tanpa amal fardi, kesatuan akan lumpuh,

Tanpa amal jamaie kesatuan akan mandom,

Tanpa amal ijtimaie kesatuan akan jumud.

Dan tanpa amal islami sebuah organisasi ibarat bingkai tanpa lukisan dan umpama bahtera kosong tanpa arah  terumbang ambing di tengah lautan.

 

Proses ke arah mencapai satu fikrah satu amal akan terganggu dan terbantut sekiranya wujud halangan-halangan berikut. Antaranya:

 

1) Kelemahan dalam pembentukan amal fardi.

2) Menjadikan organisasi untuk kepentingan peribadi.

3) Penyusupan masuk fikrah atau aliran yang  memecah belahkan kesatuan.

4) Kemunculan dan kecelaruan fikrah dan kefahaman dalam kesatuan.

5) Kelesuan kepimpinan, perancangan, tindakan dan arahan.

6) Kelemahan ahli dalam menerima arahan & melaksanakan tindakan.

7) Pengamalan budaya menerima tanpa memberi dan menyumbang untuk kesatuan.

8) Tidak cakna sejarah kesatuan mudah tertipu dengan sejarah perpecahan.

 

PENUTUP

 

 روى الحاكم عن عمر رضي الله عنه قال: ” إِنَّا كُنَّا أَذَلَّ قَوْمٍ فَأَعَزَّنَا اللَّهُ بِالْإِسْلَامِ، فَمَهْمَا نَطْلُبُ الْعِزَّةَ بِغَيْرِ مَا أَعَزَّنَا اللَّهُ بِهِ أَذَلَّنَا اللَّهُ ” وصححه الحاكم على شرط الشيخين، ووافقه الذهبي.

Maksudnya : “Sesungguhnya kita adalah kaum yang paling hina maka Allah berikan kita kemuliaan dengan Islam. Sekiranya kita mencari keizzahan selain daripada Islam maka Allah akan memberi kehinaan kepada kita”.

 

Satu fikrah satu amal merupakan slogan keramat Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir  PMRAM (1930-2015) semenjak tahun 2008. Dalam Muktamar PMRAM ke 81 (24 Mac 2014) slogan ini dimartabatkan lagi dengan usul yang disepakati :

“Mengukuh kebersamaan ahli di setiap peringkat melalui slogan SATU FIKRAH SATU AMAL”

Semua BKAN  bersama bersatu menjayakan usul ini di bawah satu wadah kesatuan Induk PMRAM  bagi memastikan mata rantai survival perjuangan Kesatuan Islam Mahasiswa di bumi Anbiya ini berkesinambungan.

Membumikan satu fikrah satu amal dalam  organisasi adalah warisan yang  mesti diteruskan kerana ia adalah amal islami peninggalan baginda SAW demi menjamin kesinambungan  generasi harapan hari ini dan akan datang sebagai penyumbang tegar kepada Islam dan tanah air tercinta.

 

Wallahu a’lam.

 

Rujukan:

1- Al Quran al Kareem.

2- Fathu al bari syarah soheh al Bukhari

(Hadis:5680,Ms:464, Jilid 10)

3- Al Mustadrak a’la al Sohehain

(Hadid 14,Ms:237, Jilid:1)

4- Durus fi amal Islami (Sayyed Hawwa)

5- Nazorat Fi Risalah Taalim

(M.Abdullah Al Khatib&Abd Halem Hamed)

6- Maza Ya’ni Intima Lil Islam (Fathi Yakan)

7- KK Amal Islami

9- Edisi Perdana 1997  Majalah الكشاف PMRAM

10- Media Penerangan PMRAM Satu Fikrah Satu Amal 2008

11- Keluarga Penuntut Terengganu

12- http://infohewikpt.blogspot.com/2014/03/muktamar-sanawi-pmram-kali-ke-81.html

 

“Memperkukuh Tarbiyyah, Mengislah Ummah”

“Mahasiswa Bersahsiah, Tunjang Kesatuan”

 

“Berilmu & Beramal”

 

 

Disediakan oleh :

Dayang Siti Nuraini Binti Awang Damit,

Aktivis,

Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT),

Sesi 2019/2020.

(Visited 18 times, 1 visits today)

Comments

comments