asasyariatisalm

Apakah kewajipan setiap muslim untuk mengetahuinya?

Umat Islam pada hari ini meniti di atas nama Islam dan berbangga dengan sandaran tersebut. Namun malangnya, kita jahil akan peri pentingnya hukum syariat Islam dan lalai daripada mengamalkannya.

 Hukum syariat Islam dan kandungannya.

Sesungguhnya hukum syariat Islam merupakan prinsip dan pegangan yang diturunkan melalui Al-Quran yang didatangkan melalui Rasulullah SAW. Himpunan segala prinsip dan pegangan ini dinamakan syariat Islam. Maka syariat Islam merujuk kepada prinsip dan panduan pegangan yang disyariatkan melalui aspek tauhid, keimanan, ibadat, ahwal syakhsiyyah, jenayah, muamalat, kepejabatan, politik bahkan dalam segenap penjuru kehidupan.

 

Dan ketahuilah bahawa sebesar-besar kandungan Islam itu adalah mengamalkan isi kandungannya. Maka Islam wujud untuk diamal dan ditegakkan isi kandungan serta syiarnya. Mereka yang enggan beramal dengan syariat Islam secara hakikatnya telah melalaikan Islam itu sendiri kerana ajaran Islam diturunkan adalah untuk diamalkan.

 Hukum Syariat Islam bertujuan menegakkan maslahah akhirat dan maslahah duniawi.

Hukum Syariat Islam didatangkan pada dua bentuk :

Pertama : Hukum syariat dari sudut keagamaan. Ini merangkumi hukum-hakam akidah serta hal ehwal ibadat .

 

Kedua: adalah hukum hakam berkaitan kemaslahatan dunia seperti panduan hubungan antara individu dan masyarakat yang merangkumi hukum-hakam muamalat, janaayaat dan ahwal syaksiyyah seperti pembahagian faraidh serta hukum syariat yang berkait dengan undang-undang pentadbiran negara. Maka Islam datang memberi keseimbangan serta manfaat dari sudut agama dan dunia, di antara masjid (agama) dan negara (pentadbiran). Islam merupakan panduan kepada agama, negara, ibadah dan pemerintahan sebagaimana konsep Islam itu sendiri yang berperanan sebagai addiin (agama) cara hidup. Jika menegakkan agama adalah sebahagian daripada prinsip Islam, maka pemerintahan adalah bahagian keduanya. Bahkan pemerintahan merupakan di antara penjuru yang paling penting di dalam Islam.

Telah berkata Saidina Uthman Affan R.A:

“Sesungguhnya Allah swt memberi kemampuan kepada seseorang pemerintah untuk menghilangkan sesuatu (melaksanakan sesuatu) apa yang tidak mampu dilaksanakan di dalam Al Quran melainkan dengan adanya pemerintahan”

Maka kesyumulan syariat Islam bertujuan memberi kebahagiaan kepada manusia sama ada di dunia mahupun di akhirat. Bahkan Islam mengajarkan umatnya bahawa setiap amal perbuatan di dunia mempunyai hubungan dengan balasan di akhirat sama ada mendapat nikmat atau siksa. Maka amal ibadat berbentuk taabbud kepada Allah SWT atau amal pemerintahan atau amal berkaitan jenayah ((الجناءى, semuanya mempunyai hukum hakam dan haknya tersendiri serta akan dihisab di akhirat kelak.

Tujuan syariat Islam diturunkan untuk memberi kebahagiaan kepada manusia sama ada di dunia mahupun di akhirat. Ia diiktibarkan sebagai satu pakej yang tidak boleh dijuzuk-juzukkan seperti mengambil sebahagian sahaja perlaksanaannya. Bahkan perlaksanaan sedemikian tidak akan dapat mencapai tujuan syariat itu sendiri.

Syariat Islam tidak dilaksanakan dengan tujuan sia-sia sama ada di dunia mahupun di akhirat. Sebagai contoh hukuman kepada mereka yang membunuh dengan sengaja dijanjikan dua bentuk hukuman, satu di dunia yang mana bertujuan memberi maslahah kepada manusia dan satu lagi di akhirat iaitu sebagai balasan sekiranya pelaku tidak bertaubat.

Firman Allah SWT :

 “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kalian qisas berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh; orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, dan wanita dengan wanita. Maka Barang siapa yang mendapat suatu pema’afan dari saudaranya, hendaklah (yang mema’afkan) mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang diberi ma’af) membayar (diat) kepada yang memberi ma’af dengan cara yang baik (pula). Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kalian dan suatu rahmat. Barang siapa yang melampaui batas sesudah itu, maka baginya siksa yang sangat pedih. Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagi kalian, hai orang-orang yang berakal, supaya kalian bertakwa”.

(  Surah Al-Baqarah : 178-179)

Firman Allah SWT :
وَمَنْ يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا

Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja maka balasannya ialah Jahannam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya, dan mengutukinya serta menyediakan azab yang besar baginya.”

( Surah An-Nisa’ : 93)

Keistimewaan syariat Islam berbanding sistem undang-undang ciptaan manusia ialah ia merangkumi maslahah di dunia mahupun di akhirat. Ia merupakan intipati utama yang tidak wujud di dalam sistem undang-undang ciptaan manusia. Ia mampu menjadikan seseorang manusia patuh kepada undang-undang tersebut sama ada secara terang-terangan mahupun bersendirian kerana mereka percaya bahawasanya mereka yang taat kepada Allah SWT akan mendapat balasan yang tinggi di sisi Alah SWT di akhirat kelak.

Bagi mereka yang mempunyai peluang untuk melakukan jenayah pula tidak akan tergerak untuk melakukan jenayah tersebut kerana bimbang akan kemurkaan daripada Allah SWT yang bersifat tidak lalai dan tidak tidur. Maka keistimewaan inilah yang memberi keamanan kepada sesebuah masyarakat mahupun negara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ciptaan manusia.

 Hukum Syariat Islam tidak berjuzuk-juzuk

Sesungguhnya hukum hakam syariat Islam bersifat tidak berjuzuk-juzuk dan tidak menerima pengasingan antara satu sama lain. Sebagaimana telah disebutkan sebelum ini bahawasanya pengasingan perlaksanaan syariat Islam di dalam aspek tertentu sahaja akan menyebabkan matlamat pensyariatan syariat Islam tidak akan tercapai.

Bahkan terdapat nas-nas Al-Quran dan hadis yang melarang beramal dengan sebahagian sahaja hukum-hakam syariat Islam.

Firman Allah SWT :
أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلاَّ خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

“Apakah kamu mahu beriman kepada sebagian Al Kitab (Taurat) dan mengkufuri sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang-orang yang berbuat seperti ini di antara kamu, kecuali kehinaan di dunia. Dan pada Hari Kiamat nanti mereka akan dikembalikan kepada sekeras-keras azab. Tidaklah Allah sekali-kali lalai dari apa yang kamu lakukan.

(Surah Al-Baqarah : 85)

Firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara kaffah (menyeluruh), dan janganlah kamu mengikuti jejak-jejak syaitan kerana sesungguhnya syaitan adalah musuh besar bagi kalian.”

[Surah Al-Baqarah : 208]

 Syariat Islam merupakan syariat Ilahi yang bersifat universal

Keistimewaan syariat Islam ialah bersifat universal. Ia sesuai dilaksanakan kepada semua jenis manusia sama ada arab mahupun bukan arab, timur mahupun barat. Ia merupakan syariat kepada semua manusia, semua kabilah, semua masyarakat, dan semua negara. Ia hanya mampu dikhayalkan oleh golongan pakar undang-undang tetapi mereka tidak mampu mencipta satu undang-undang sesempurna undang-undang yang datang daripada syariat Allah SWT.

2.4. Syariat Islam syariat sempurna

Allah SWT selaku pentadbir alam ini telah menurunkan satu syariat yang begitu sempurna bahkan telah sempurna sebelum kewafatan baginda Nabi Muhammad SAW. Tidak ada sebarang penambahan lagi kepada syariat yang begitu sempurna ini selepas daripada kewafatan baginda.

Firman Allah SWT :

 “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kalian agama kalian, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku atas kalian dan Aku pun telah redha Islam menjadi agama bagi kalian.”

(Surah Al Maa’idah: 3)

Syariat Islam datang bukan hanya untuk dilaksanakan pada zaman tertentu ataupun pada tempoh yang tertentu atau pada tempat yang tertentu bahkan ia satu syariat yang sesuai dilaksanakan di sepanjang zaman sehingga ke hari kiamat.

 Sejarah kemunculan syariat Islam dan undang- undang ciptaan manusia

Kita telah diterangkan serba sedikit berkenaan bagaimana asas serta bentuk syariat Islam yang perlu difahami oleh setiap individu Muslim.  Sekarang kita menyelami pula bagaimana sejarah kemunculan undang- undang ciptaan manusia. Apabila kita menyentuh perihal berkaitan sejarah awal kemunculan undang- undang, maka perihal sejarah kemunculan undang-undang pada awalnya adalah ia pada awalnya dicipta dan digubal oleh sekelompok manusia untuk diamalkan di dalam kelompok tersebut. .Kemudiannya, undang-undang tersebut berkembang selari dengan perkembangan kelompok tersebut dari sudut tahap pemikiran dan ketamadunannya. Maka digubal undang-undang dan peraturan baru yang dapat memenuhi hajat dan keperluan mereka.

Menurut pakar pengkaji undang-undang, pada asalnya sejarah wujudnya undang-undang dan peraturan bermula daripada hubungan tali kekeluargaan, kemudian berkembang kepada perkumpulan kabilah atau puak, kemudian berkembang kepada undang-undang sesebuah masyarakat seterusnya berkembang sehingga terbentuknya undang-undang sebagaimana kita dapat lihat pada hari ini.

 Perbezaan di antara sifat syariat Islam dan undang-undang ciptaan manusia.

Kita boleh simpulkan setelah dibentangkan sebelum ini berkaitan asas kemunculan syariat Islam dan undang-undang ciptaan manusia bahawasanya wujud perbezaan yang besar di antara syariat Islam dan undang-undang ciptaan manusia. Sekiranya tabiat syariat Islam sebagaimana tabiat undang-undang ciptaan manusia yang diceritakan sebelum ini iaitu bersifat berubah sebagaimana hal keadaannya pada hari ini, nescaya syariat Islam lebih berhak untuk diamalkan kerana telah ribuan tahun turun dan dinaqalkan di dalam sumber Al-Quran dan As-Sunnah.

 

Perbezaan utama syariat Islam dan undang-undang ciptaan manusia boleh disimpulkan kepada 3 bahagian :

  1. Datangnya syariat Islam daripada Allah SWT. Sedangkan undang-undang selain daripadanya datang daripada ciptaan manusia. Maka kedua-dua sistem ini bersifat kembali kepada sifat penciptanya.

Undang-undang ciptaan manusia akan menyerupai perihal keadaan penciptanya iaitu menyerupai sifat manusia, maka ia terdedah kepada kekurangan dan kelemahan sebagaimana sifat penciptanya itu sendiri. Bahkan sifat undang-undang tersebut sentiasa mempunyai kecacatan dan perlu digubah sehingga mampu memenuhi hajat-hajat manusia .

 

Sedangkan undang-undang syariat Islam, penciptanya adalah Allah SWT yang bersifat maha sempurna maka undang-undang tersebut  bersifat sempurna serta meliputi segala sesuatu yang tidak dapat dijangkau oleh akal manusia bahkan relevan untuk menyelesaikan masalah manusia sama ada pada masa kini mahupun masa hadapan.

  1. Undang-undang ciptaan manusia boleh diumpamakan sebagai satu undang-undang yang bersifat sementara yang dicipta oleh sekelompok manusia bertujuan menampung keperluan maslahah hidup mereka dan berkemungkinan akan berubah berdasarkan kepada kemaslahatan kelompok tersebut. Sedangkan undang-undang syariat Islam dicipta oleh Allah SWT dalam bentuk yang kekal dan sempurna untuk menyelesaikan masalah manusia. Bahkan hukumnya yang qot’i (bukan zonni) tidak berhajat kepada sebarang perubahan atau penambahbaikan kerana ia telah bersifat sempurna.

Sifat kesempurnaan syariat Islam merujuk kepada beberapa perkara. Antaranya :

(a) Sifat syariat Islam itu sendiri yang bersifat مرونة  (anjal) dan sifat keluasannya yang sesuai diamalkan sepanjang zaman.

(b) Ketinggian dan keagungan syariat Islam serta nas-nasnya yang tidak mungkin lapuk serta sesuai dilaksanakan sepanjang zaman. Walaupun telah berlalu beberapa kurun, namun syariat Islam masih sesuai diamalkan sehingga ke hari ini tanpa sebarang perubahan.

  1. Sesungguhnya tujuan syariat Islam diturunkan untuk menyusun dan memandu hidup manusia, membentuk individu yang soleh, mewujudkan negara yang baik seterusnya membina dunia yang sejahtera. Maka diturunkan Syariat Islam yang mengatasi segala undang-undang dan peraturan -peraturan yang lain serta kekal dan relevan sehingga ke hari ini kerana wujud padanya asas-asas yang sangat kukuh dan satu penyusunan yang begitu teliti sehingga mustahil kita dapati perkara tersebut ada pada undang-undang manusia. Maka di sini kita dapat melihat keagungan Allah SWT sebagai pencipta syariat yang begitu sempurna melambangkan sifatnya yang Maha Sempurna. Sedangkan undang-undang ciptaan manusia, ia dicipta di atas hajat dan keperluan manusia kepadanya serta berubah berdasarkan keperluan sesuatu masyarakat tersebut. Sesetengah pemimpin negara pula menggunakan undang-undang untuk membentuk sesebuah masyarakat ke arah kecenderungan tertentu sebagaimana yang pernah dilakukan di negara Turki, German dan Itali.

  Keistimewaan yang membezakan syariat Islam dan undang-undang ciptaan manusia.

Kita boleh simpulkan keistimewaan syariat Islam berbanding undang-undang ciptaan manusia kepada 3 perkara :

  1. Kesempurnaan : Sesungguhnya Syariat Islam merangkumi keseluruhan keperluan manusia dan tidak berhajat kepada sebarang perubahan sebagaimana undang-undang ciptaan manusia.
  1. Ketinggian dan kehebatannya : Sesungguhnya Syariat Islam tidak mampu disaingi dan dicabar oleh mana-mana undang-undang ciptaan manusia. Bahkan ketilitian asasnya yang terbina begitu teliti antara penyebab ketinggian syariat Islam tidak dapat dicabar oleh akal cetek manusia. Sebaliknya undang-undang syariat Islam pula yang mengangkat martabat mereka yang beramal dengannya.
  1. Kekal : Sesungguhnya syariat Islam bersifat الدّوام(Ad-Dawaam) yang bermaksud kekal sepanjang zaman. Ia tidak akan menerima sebarang perubahan lagi setelah terhentinya wahyu apabila wafatnya Rasulullah SAW. Ia sesuai dilaksanakan di sepanjang zaman sehingga ke hari kiamat.

Bagaimana perlaksanaan syariat Islam dalam perundangan?

Secara asasnya, syariat Islam diturunkan untuk memandu manusia dalam segenap hal ehwal dunia dan akhirat. Namun Syariat perundangan Islam bukanlah diturunkan dalam bentuk تفصيلية (Tafsiiliah) terperinci sebagaimana undang-undang ciptaan manusia yang wujud pada hari ini yang wujud  padanya istilah fasal, ceraian dan sebagainya. Syariat Islam sudah mencukupi apabila diturunkan syariat perundangan di dalam bentuk  الكلّي(Alkulliy) iaitu bersifat meliputi dan merangkumi perkara-perkara  أغلبية(Aghlabiyyah) kebanyakan.

Hukum syariat Islam yang bersifat (Alkulliy) diiktibarkan sebagai kaedah umum untuk menentukan hukum-hakam dalam perkara ‘aghlabiyyah ‘ dan menjadi kerangka serta panduan untuk melaksanakan syariat Islam.

Maka menjadi peranan pemerintah pula dalam membentuk satu badan atau jabatan tertentu untuk menyempurnakan perlaksanaan undang-undang syariah ini berdasarkan asas panduan utama yang telah diturunkan daripada Allah SWT serta memperincikan undang-undang tersebut berdasarkan kaedah dan ciri-ciri yang telah ditetapkan oleh syariat Islam.

Kaedah yang ditetapkan oleh syariat Islam untuk melaksanakan perundangan Islam ini tertakluk kepada tiga perkara asas yang telah disebutkan sebelum ini iaitu dari sudut ketinggiannya, kesempurnaanya dan sifat kekal tidak berubahnya perundangan tersebut.

Apa yang dapat difahami dari sudut ketinggian dan kesempurnaan syariat Islam ialah syariat tersebut datang daripada Allah SWT yang memberikan satu jaminan kebahagian kepada kehidupan manusia. Manakala yang dimaksudkan dengan sifat kekal dan tidak berubah syariat tersebut ialah relevan dilaksanakan di sepanjang zaman.

Garis panduan seorang pemimpin di dalam menetapkan sesebuah perundangan

Meskipun syariat Islam memberikan hak kepada seseorang pemimpin untuk menetapkan serta menggubal sesebuah perundangan, namun ia bukanlah satu hak yang bersifat mutlak.

Bahkan pemimpin tersebut perlu terikat dengan garis panduan nas-nas syariat, prinsip serta ruh syariat tersebut di dalam menentukan serta menggubal undang-undang sesebuah negara. Maka di antara bidang kuasa seseorang pemimpin di dalam menggubal undang-undang pemerintahan antaranya tertakluk kepada dua perkara :

 

  1. Undang-undang eksekutif pemerintah التنفيذية (At-tanfiiziyyah) : Merujuk kepada satu jaminan perlaksanaan ke atas nas-nas syarak yang berkaitan dengan perundangan yang dibentuk oleh badan yang terlibat untuk melaksanakan undang-undang yang bertepatan dengan syariat Islam tersebut .[1]

 

  1. Undang-undang legislatif perundangan التنظيمية (At-tanziimiyyah):

Merujuk kepada proses menyusun atur sesebuah masyarakat oleh ulil amri berdasarkan keperluan masyarakat tersebut yang berbentuk aturan dan prinsip umum dengan pedoman  nas syara’ serta tidak lari daripada garisan prinsip serta roh syariat Islam.

 

Artikel ini dipetik daripada buku bertajuk ‘Relevansi Syariah : Di Antara Kejahilan & Peranan’

 

Disusun oleh:

Ahmad Shahrir Bin Alias

BA(Hons) Syariah Islamiyyah, Universiti Al Azhar,

Penuntut Master di Kuliah Syariah Islamiyyah, American Open University, cairo.

 

(Visited 147 times, 1 visits today)

Comments

comments