Perhiasan Kaum Wanita Menurut Islam

 

Dalam arus kemodenan ini, fesyen dan perhiasan kaum wanita semakin hari dilihat semakin menjadi-jadi.  Mereka  berfesyen mengikut ‘trend’ semasa dan terkini  kerana tidak mahu dianggap  ketinggalan zaman. Fitrah wanita sememangnya gemar dengan kecantikan terutamanya dalam soal penampilan diri. Bersolek pula dianggap satu cara untuk tampil dengan lebih berkeyakinan. Namun, semua ini perlulah berpada agar  tidak melanggar syariat Islam.

 

Menurut Kamus Miftah, tabarruj bermaksud menghias diri. Menurut istilah syarak, tabarruj memberi makna mempamerkan keindahan diri oleh kaum wanita, sehingga menarik minat kaum lelaki ajnabi (bukan mahram) dari aspek syahwat. Dalam erti kata lain, wanita akan menunjukkan kecantikannya dengan cara mendedahkan dirinya di hadapan khalayak ramai.

 

Allah SWT berfirman:

يٰبَنِيْۤ اٰدَمَ قَدْ اَنْزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُّوَارِيْ سَوْاٰتِكُمْ وَرِيْشًا ۗ وَلِبَاسُ التَّقْوٰى ۙ ذٰلِكَ خَيْرٌ ۗ ذٰلِكَ مِنْ اٰيٰتِ اللّٰهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُوْنَ

Maksudnya : “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian Yang berupa taqwa itulah Yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)”

(Surah Al-A’raaf, ayat 26)

 

Menurut kaedah fiqh, hukum asal kepada setiap perkara adalah harus, dan adat hukum asal adalah harus selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Berhias dalam Islam dibolehkan, tetapi tidak boleh berlebihan. Islam juga mengajar kita cara berhias dengan betul tanpa merendahkan martabat wanita itu sendiri.

 

Allah SWT berfirman:

يٰبَنِيْۤ اٰدَمَ خُذُوْا زِيْنَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَّكُلُوْا وَاشْرَبُوْا وَلَا تُسْرِفُوْا ۚ اِنَّهٗ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِيْنَ

Maksudnya : “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias tiap-tiap kali kamu ke tempat Ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang Yang melampaui batas.”

(Surah Al-A’raaf, ayat 31)

 

Selain itu, terdapat segelintir wanita yang berhias secara berlebihan sehingga merubah ciptaan tuhan seperti mencukur kening, menjarangkan gigi, menyuntik botoks dan sebagainya adalah dilarang dan ditegah sama sekali. Para ulama secara umumnya bersepakat bahawa pengubahan ciptaan tuhan ini, hukumannya adalah haram.

 

Daripada Abdullah Ibn Mas’ud, sabda Nabi Muhammad SAW:

“لعن الله الواشمات والمستوشمات و المتنمصات والمتفلجات للحسن المغيرات خلق الله”

Maksudnya : “Allah melaknat orang yang bertatu serta orang meminta untuk ditatu, serta orang yang mencukur kening dan orang yang meruncingkan gigi untuk mencantikkan dirinya, yang semua itu mengubah ciptaan Allah.” [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

 

Peragaan busana muslimah diwujudkan bertujuan menjadi panduan kepada  wanita muslim dalam berhias.  Namun, persoalannya, adakah gaya busana muslimah yang ditunjukkan  benar-benar mengikut syariat Islam? sejauh manakah fesyen muslimah yang ada dalam industri hari ini mampu memenuhi tuntutan syariat Islam? persoalan-persoalan sebegini perlulah diteliti agar tidak membawa kepada permaslahan yang lebih besar kelak.

 

Allah SWT berfirman:

يٰۤـاَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِّاَزْوَاجِكَ وَبَنٰتِكَ وَنِسَآءِ الْمُؤْمِنِيْنَ يُدْنِيْنَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَا بِيْبِهِنَّ ۗ ذٰلِكَ اَدْنٰۤى اَنْ يُّعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ ۗ وَكَا نَ اللّٰهُ غَفُوْرًا رَّحِيْمًا

Maksudnya : “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan orang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara Yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan Yang baik-baik) maka Dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah Al-Ahzab, ayat 59)

 

Tuntutan menutup aurat dan larangan bertabarruj dapat membezakan antara wanita Islam dan wanita bukan Islam. Pada pemakaian seseorang wanita itu dinilai dosa dan pahala. Oleh itu, terdapat garis panduan atau etika berhias yang ditetapkan syarak. Antara perkara yang perlu dihindari adalah pembaziran,membuka aurat tanpa batasan, meraih pujian, berpakaian jarang, corak yang menarik perhatian dan warna yang terlalu terang, menyerupai pakaian lelaki atau agama lain.

 

Fesyen zaman sekarang kebanyakannya tidak menitik beratkan soal had batasan aurat. Yang difokuskan hanyalah dalam menonjolkan kecantikan si pemakai. Aurat dari segi bahasa  bermaksud keaiban. Menurut istilah syarak pula ialah bahagian-bahagian tertentu pada badan manusia yang wajib ditutup. Had aurat wanita pula boleh berubah mengikut keadaan dan situasi :-

 

  1. Ketika solat: seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan
  2. Bersama suami: tiada aurat
  3. Sesama muslimah: pusat hingga lutut
  4. Ketika bersama wanita bukan Islam: seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan. Namun, terdapat situasi yang membolehkan aurat pada kadar biasa yang ditutup.
  5. Ketika bersama lelaki mahram: pusat hingga lutut
  6. Ketika bersama lelaki ajnabi: seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan

 

Keghairahan dalam berhias agar kelihatan anggun dan jelita mengikut fesyen terkini kadangkala menjadi punca seseorang wanita berhias secara berlebihan. Antara faktor lainnya adalah jahil atau kurangnya pengetahuan wanita tersebut terhadap konsep berhias dan tanpa disedari menyebabkan dirinya telah bertabarruj yang menyerupai tabarruj wanita di zaman jahiliah. Dalam membicarakan soal pakaian wanita, Islam tidak pernah menetapkan pakaian tertentu bagi wanita dalam menutup aurat. Asalkan pakaian tersebut menutup aurat dan tidak menimbulkan fitnah dan keghairahan, maka ia telah memadai.

 

Antara kesalahan pemakaian wanita yang biasa dilakukan dalam keadaan sedar atau tidak ialah :

  1. Berpakaian ketat dan menampakkan beberapa bahagian anggota tubuh.
  2. Menyerupai pakaian lelaki seperti berseluar panjang dan berkemeja
  3. Menyerupai pakaian-pakaian wanita kafir.
  4. Tidak menutup sebahagian anggota tubuh, contohnya bahagian telinga, leher, lengan dan sebahaginya.
  5. Penggunaan material kain yang dipakai nipis dan jarang.
  6. Bertudung dengan sanggul yang sengaja ditinggikan.

 

Sabda Rasulullah SAW :

صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا : قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ ، وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ ، مُمِيلاَتٌ مَائِلاَتٌ ، رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ ، لاَ يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلاَ يَجِدْنَ رِيحَهَا ، وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا

Maksudnya: “Dua kategori penghuni neraka yang belum pernah aku melihatnya lagi iaitu satu kaum yang memegang cemeti (pemukul) seperti ekor lembu dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang (mereka memakai pakaian tetapi tidak menutup keseluruhan aurat), mereka cenderung untuk tidak mentaati Allah taala dan mempengaruhi orang lain daripada mentaati Allah, dengan kata lain mereka mengajak-ajak lelaki melakukan zina), mempunyai sanggul seperti bonggol unta (supaya orang kagum kepada mereka). Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan menghidu baunya walaupun bau syurga itu mampu untuk dihidu sejauh perjalanan tertentu” (HR Muslim).

 

Kesimpulannya, perbuatan mendedahkan dan mempamerkan sebahagian tubuh, kecantikan, dan perhiasan wanita secara berlebihan akan menimbulkan keinginan lelaki-lelaki yang jahat untuk merosakkan wanita. Penyemaian benih-benih riak dan bangga dengan kecantikan yang dimiliki seseorang wanita akan menyemarakkan api cemburu dan hasad dengki  wanita yang melihatnya. Justeru, jelaslah bahawa perbuatan bertabarruj adalah sangat dilarang dalam Islam. Sesungguhnya, wanita perlu menjaga kehormatan dirinya sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim :

 

“Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah”

 

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa wanita memang tidak dapat dipisahkan dengan perhiasan, tetapi sebaik-baik wanita solehah adalah yang menjaga kehormatan dirinya.

 

Wallahua’lam.

 

Rujukan :

 

1) Alquran terjemahan

2) Kamus Miftah. 2008. SHAH ALAM. AL AZHAR MEDIA ENTERPRISE

3) Kamus Ilmiah al-Khalil 2007 (dr. hj abu Abdullah hanafi bin hj. Dollah)

4) Fiqh Albisah wa Al-zinah 2012 (Abdul Wahhab Abdul Salam Thawilah)

5) Buhuth wa Fatwa Islamiyyah 2004 (Sheikh Jadulhak Ali Jadulhak)

6) Fiqh Islami wa Adillatihi 2007 ( Dr. Wahbah Zuhaily)

7) Tabarruj Dosa Berhias 2007 (Hj. Mohd Hanif Hj. Ismail)

8) http://www.iium.edu.my/capeu 2016/index.php/proceedings

9)https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1208-irsyad-al-fatwa-ke-140-hukum-memakai-pakaian-wanita-mengikut-fesyen-moden

10)https://www.abuanasmadani.com/batas-batas-aurat-dalam-islam/

11) Fiqh Mar’ah, wanita dambaan syurga (Dr. Zuhdi Ahmad Khasasi

12) Indahnya Hidup Bersyariat (Dato’ Ismail Kamus, Mohd Azrul Azlen Abd Hamid)

 

“Generasi Thaqafah, Sinar Kesatuan”

“Mahasiswa Bersahsiah, Tunjang Kesatuan”

 

“Berilmu dan Beramal”

 

 

Disediakan oleh:

Nur Maziah binti Mazlan

Siti Khadijah Nabilah binti Othman

Panel As-siraaj,

Biro Akademik,

Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT),

Sesi 2019/2020.

(Visited 67 times, 1 visits today)

Comments

comments