Tydp)

Assalamu’alaikum WBT.

Segala puji bagi Allah SWT. Selawat dan salam sejahtera buat baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga baginda, para sahabat, serta umat baginda seluruhnya.

Firman Allah SWT : “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya, dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain DIA (Allah SWT).”
(Surah al-Ra’du : ayat 11)

Dunia Islam pada hari ini amat menekankan keseimbangan dalam mengecapi kejayaan dunia dan akhirat. Islam menitiberatkan ketamadunan, kehebatan dan perubahan dalam semua perkara setiap detik dan waktu. Setiap manusia yang mengucap kalimah syahadah dan beriman kepada Allah SWT, perlulah mempunyai niat untuk sentiasa mengubah diri dari semasa ke semasa. Tempoh perjalanan kehidupan yang sangat panjang menuntut diri untuk sentiasa melakukan kebajikan dan tuntutan agama dengan sebaik mungkin.

Perubahan atau bahasa arab (al-Taghyir) merupakan hukum umum yang meliputi semua jenis macam manusia baik muslim atau non-muslim, lekaki atau perempuan, tua atau muda dan sebagainya. Maksud perkataan “kaum” dalam ayat diatas para Ulama’ menafsirkan ia adalah berbentuk mutlak dan ditujukan buat manusia seluruhnya, baik pemimpin, menteri, kerabat raja, pekerja, kakitangan kerajaan, pensyarah, doktor, guru-guru, para pelajar, kanak-kanak dan sebagainya.

Justeru, perubahan dan penghijrahan daripada baik kepada yang lebih baik haruslah dijadikan aspek utama dalam menghadapi ranjau onak kehidupan samada diri sendiri, keluarga, masyarakat, agama, negara dan pemimpin.

Berbicara dalam konteks sebagai dunia mahasiswa, Islam amat menghargai kehebatan, kekuatan, daya berfikir para pelajar yang tekun dan bersungguh-sungguh di dalam pengajian mereka samada dalam atau luar negara. Namun, berapa ramai yang sedar bahawa akhlak & keperibadian Islam tunjang kepada keberjayan sesuatu tamadun.

Realiti mahasiswa pada hari ini sangat mundur dan terkebelakang dalam menyesuaikan diri dengan cabaran dunia kini. Hal demikian memerlukan kepada perubahan & sifat sentiasa ingin berubah dalam diri walaupun dunia yang kian meruncing dengan pelbagai gejala-gelaja yang tidak sihat.

Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi pernah berkata : “Kerosakan datang daripada jiwa manusia itu sendiri tatkala mereka sesat daripada method (manhaj) kehidupan yang Allah tetapkan dalam al-Quran.”

Justeru, kita sebagai mahasiswa perlu mempunyai persiapan dan persediaan daripada semua sudut samada jiwa, masa, tenaga, ilmu, gerak gerak, persatuan, organisasi, kebajikan, kemasyarakan dan sebagainya demi mencipta ketamadunan Islam yang diimpikan.

Antara pengajaran yang boleh diambil daripada nasihat al-Imam al-Syafie rahimahullah ialah :

  1. Menghindari maksiat :  kerana ia merupakan hijab untuk mendapatkan ilmu. Hati yang dicemari dengan dosa tidak akan dapat menyimpang ilmu yang bermanfaat.
  2. Meninggalkan percakapan atau aktiviti-aktiviti yang sia-sia : Sesungguhnya masa itu sangat berharga bagi penuntut ilmu.
  3. Melakukan amalan-amalan sunat secara sembunyi dan tidak diketahui oleh sesiapapun : Kerana ia merupaka cara untuk ikhlas dalam beramal soleh.
  4. Menghabiskan masa dengan ilmu : Kerana ia merupakan amalan yang berfaedah untuk dunia & akhirat.
  5. Mengingati mati : Kerana mengingati mati akan menyibukkan seseorang itu dengan perkara-perkara yang bermanfaat untuk kehidupan (akhirat) selepas mati.

Kesimpulan, Sempena menyambut tahun baru 2014, Saya menyeru untuk diri saya dan sahabat sahabiah agar sentiasa melakukan perubahan dalam diri dan bermuhasabah dalam setiap perkara yang kita lakukan. Kerana kebaikan tidak datang dengan bantuan orang lain melainkan ia datang daripad perubahan kita sendiri. Harapan, semoga dengan keberadaan kita di bumi yang penuh barakah ini agar tekun, istiqamah, dan berhimmah tinggi dalam menuntut ilmu Allah samada Pengajian Islam mahupun Perubatan.

Siru ‘ala barakatillah. Sekian. Wassalam.

‘BERILMU DAN BERAMAL’
“MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN”

ABDUL MU’IZ BIN AZHAR
Timbalan Yang Dipertua,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2013/2014.

 

 

 

 

(Visited 66 times, 1 visits today)

Comments

comments