Assalamualaikum wbt,

Segala puji bagi Allah swt yang telah menyatukan hati mukmin diatas satu landasan kebenaran serta memahat hati mereka yang beriman berada dibawah lindungan rahmatNya. Salam sejahtera keatas junjungan Rasulullah saw serta ahli keluarga Baginda, para sahabat dan pengikut Baginda saw.

وَلَنْ تَرْضَىٰ عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” (Al-Baqarah: 120)

Sesungguhnya kaum Yahudi dan Nasrani tidak akan redha terhadap agama ini sehingga umat Islam mengikuti jejak langkah mereka. Ayat suci ini telah diturunkan kepada Baginda saw sejak lebih 1400 tahun dahulu. Keadaan golongan tersebut pastinya akan kekal berlanjutan sehingga tiba hari dimana Allah swt mengutuskan malaikat Israfil a.s melaksanakan tugasnya. Dan itulah keadaan mereka yang dapat kita lihat pada hari ini sehingga tercetusnya satu per satu idea jahat dan perancangan licik musuh bagi menghapuskan agama suci Allah swt dari muka bumi ini.

Baru-baru ini dunia umat Islam telah digemparkan dengan berita pengisytiharan bahawa tanah Al-Quds sebagai ibu negara Israel menggantikan Tel Aviv yang telah diisytiharkan oleh Presiden Amerika, Donald Trump. Bermakna umat Islam telah kehilangan sebahagian besar lagi tanah mulia Palestin.

Pengisytiharan Al-Quds merupakan kesinambungan terhadap perancangan Zionis sejak sekian lama ingin menjadikan Palestin sebagai pusat pemerintahan Israel Raya. Hasrat penubuhan negara Yahudi tersebut telah dinyatakan seawal tahun 1897. Seterusnya membuat pergerakan pertama, apabila perjanjian Sykes-Picot antara British dan Perancis berjaya dimeterai pada tahun 1916 diikuti perjanjian-perjanjian lain bagi mengagihkan negara-negara Islam yang telah ditakluk dan Palestin diagihkan kepada British.

Seterusnya pada tahun 1917 telah termeterai satu lagi perjanjian baru diantara Rothchild sebagai pemimpin Zionis dan Arthur Balfour sebagai wakil British untuk mengagihkan Palestin kepada Israel Laknatullah. Perjanjian tersebut dikenali sebagai Deklarasi Balfour. Dan sejak itulah golongan Yahudi dibenarkan memasuki tanah Palestin yang akhirnya satu per satu tanah Palestin dijajah sehingga akhirnya tertubuh negara haram Israel pada tahun 1948. Bagi tahun berikutnya sehingga kini, siri penjajahan dan penekanan terus diberikan kepada rakyat Palestin. Sehinggalah baru-baru ini, satu lagi babak telah dimainkan oleh golongan Yahudi dengan menggerakkan Amerika sebagai proksi mereka dalam menjayakan agenda jahat untuk membangunkan Israel Raya dan ingin menjadikan tanah Al-Quds sebagai pusat pemerintahan.

Wahai sahabat-sahabat, isu ini bukanlah sekadar isu kemanusiaan semata-mata. Bukanlah isu kiblat umat Islam semata-mata. Akan tetapi perlu kita sedar tentang kewajipan mempertahankan al-Quds. Sedarkah kita terhadap perancangan Yahudi yang ingin menakluki tanah Palestin dan membina Israel Raya sebagai negara pertama mereka? Mereka ingin membina Haikal Sulaiman diatas tanah runtuhan Masjid Al-Aqsa As-Syarif. Perlu kita sedar dan cakna akan ancaman musuh-musuh Allah yang semakin hari menekan umat Islam dalam merealisasikan hasrat mereka.

Wahai sahabat-sahabat, kekalahan demi kekalahan Islam pada ketika ini mungkin adalah berpunca dari kita sendiri. Iaitu tidak mengamalkan Islam itu dengan sempurna. Apabila manusia tidak mengamalkan Islam itu sendiri nescaya Allah SWT akan menggantikan dengan kaum lain yang menginginkan Islam. Dan mereka pasti bangun berdiri mempertahankan Islam.

Wahai sahabat-sahabat, kita bukan lagi berada di zaman Abrahah. Zaman yang dimana pertolongan Allah SWT datang dengan menghantar burung-burung Ababil yang membawa batu-batuan dari neraka menghancur-luluhkan tubuh tentera Abrahah serta gajah tunggangan mereka ketika dalam perjalanan dengan misi menghancurkan Kaabah Al-Musyarrafah tanpa orang mukminin ketika itu diperintahkan untuk mengangkat senjata dan tiada berlaku pengorbanan jiwa. Itulah yang menjadi Sunnatullah sebelum kelahiran Baginda SAW iaitu cara Allah SWT menghancurkan golongan yang zalim dengan menimpakan bencana tanpa memerintahkan penganut agamaNya ikut serta memerangi golongan tersebut.

Kini, Sunnatullah telah berubah sejak kelahiran Nabi SAW. Perubahan tersebut adalah pada cara Allah SWT memberi pertolongan kepada hambaNya menghancurkan musuh Allah. Tidak lagi seperti dahulu bagi umat Rasulullah SAW. Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan umat Nabi SAW untuk mengambil tugas melaksanakan amal makruf dan nahi mungkar dan bersusah-payah membantu agama Allah SWT seterusnya barulah datang pertolongan Allah SWT pada waktu yang dikehendaki.  Lihatlah firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

“Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Muhammad: 7)

Orang terdahulu yang ingkar dibinasakan terus oleh Rabbul ‘Alamin dengan bala bencana, akan tetapi berbeza terhadap umat ini yang mana memerlukan tindakan untuk beramal hanya semata-mata kerana Allah SWT dan berjalan diatas manhaj Nubuwwah bagi mendapatkan pertolongan Allah SWT terhadap musuh-musuhNya sepertimana yang telah dijanjikan oleh Allah SWT.

Wahai sahabat-sahabat, sesungguhnya janji Allah telah menetapkan bahawasanya kemenangan adalah milik Islam. Golongan Yahudi pasti tidak akan memenangi perlawanan ini walau diketuai oleh ketua sehebat Dajjal Laknatullah. Akan tetapi yang menjadi persoalannya, adakah kita bersama dalam membantu agama Allah SWT ataupun sebaliknya kerana kelak pasti akan ditanya apakah sumbangan yang telah kita berikan.

Justeru itu, saya Amir Syahir bin Abdull Aziz selaku Yang Dipertua KPT membantah sekeras-kerasnya pengisytiharan Jerusalem sebagai ibu kota Israel dan menyeru kepada mahasiswa/wi Islam khususnya ahli KPT agar mempertingkatkan kecaknaan kita terhadap situasi umat masa kini. Bukan sekadar itu, bahkan bangunlah mengamalkan Islam itu sendiri dalam kehidupan kita seharian. Hulurkan apa sahaja pertolongan bagi menyebar-luaskan isu umat Islam. Tingkatkan bacaan dan luaskan pengetahuan kita terhadap ilmu Islam dan ilmu kontemporari umat agar tidak mudah terpedaya dengan permainan musuh yang kerap kali menyebarkan pelbagai sentimen kepada umat Islam agar berpecah-belah sesama sendiri lalu melupakan perancangan jahat mereka dalam merealisasikan cita-cita mereka. Seterusnya jadilah kita sebagai penggerak utama dalam amal Islami membantu membangunkan Islam dengan ilmu yang disertakan dengan amal.

Semoga kita tergolong dalam golongan yang membantu perjuangan Islam dan dijauhkan dari golongan yang tidak mempunyai keinginan dalam membantu perjuangan Islam. Bahkan lebih parah lagi menentang dan melemahkan Islam itu sendiri. Nauzubillahi min zalik.

Wallahu a’lam.

“Keunggulan Syakhsiah, Tunjang Kesatuan”

“Berilmu dan Beramal”

Penulis adalah:

AMIR SYAHIR BIN ABDULL AZIZ

Yang Dipertua KPT & Pengerusi Hal Ehwal Wanita Islam

Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir

Sesi 2017/2018

(Visited 45 times, 1 visits today)

Comments

comments