NAMA PERSATUAN :
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir” atau singkatannya “KPT

LOGO RASMI :

KPT 300x292 2

Merah : Keberanian
Putih : Keikhlasan
Hitam : Kesabaran dan Istiqamah
Hijau : Kesuburan, Kebajikan dan Kemajuan
Obor : Keberanian
Bulanan : Kesatuan anak negeri Terengganu di bawah satu persatuan
Bulan Bintang : Agama Islam menjadi tunggak KPT
Bunga Padi : Diambil dari logo PMRAM sebagai Bernaung di bawah PMRAM
1964/1398 : Tahun penubuhan KPT

PENAUNG :

  1. Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Persatuan KPT merupakan salah satu cawangan dari PMRAM iaitu “PMRAM Cawangan Terengganu”
  2. Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK)

TEMA :
“Berilmu dan Beramal”

OBJEKTIF PENUBUHAN :

  1. Meningkatkan ilmu pengetahuan, kefahaman dan kesedaran di kalangan anggota.
  2. Menjaga kebajikan ahli-ahli KPT.
  3. Memberi kerjasama kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir dan menjayakan cita-citanya.
  4. Menjaga Rumah Terengganu dan harta benda KPT.
  5. Mengadakan hubungan dengan Kerajaan Negeri Terengganu dan pihak-pihak yang berkenaan.
  6. Mengeratkan hubungan Ukhuwah Islamiyah di kalangan anggota.

KEAHLIAN :
Keahlian Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir terbuka kepada semua penuntut yang lahir di Terengganu atau salah seorang ibu bapanya berkerakyatan Terengganu.

AHLI JAWATANKUASA TADBIR :

  1. Yang Dipertua (Pengerusi HEWI)
  2. Timbalan Yang Dipertua (Unit Perancang)
  3. Setiausaha
  4. Naib Setiausaha (Unit Pendaftaran)
  5. Bendahari (Unit Ekonomi)
  6. Biro Dakwah
  7. Biro Akademik
  8. Biro Kebajikan
  9. Biro Perumahan
  10. Biro Informasi & Penerbitan (Unit TECYS)
  11. Biro Kebudayaan, Kesenian & Sukan (Unit Sambutan & Rehlah)

 

SELAYANG PANDANG KPT

Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) dengan nama asalnya Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Republik Arab Mesir (KPTRAM) telah ditubuhkan pada tahun 1964 dengan bermatlamatkan penyatuan dan kebajikan seluruh pelajar Terengganu di bumi Mesir. Pusat gerakan pertama KPT di alamat No. 20, Harat Rifel, Mamal, Flat 6, Kaherah, Republik Arab Mesir.

Pada 27 Februari 1964, Mesyuarat Agung Pertama telah diadakan bagi memilih lima orang wakil pelajar sebagai orang yang bertanggungjawab menguruskan kebajikan pelajar-pelajar Terengganu. Pada peringkat awal, jumlah pelajar Terengganu yang menuntut di Perlembahan Nil ini sekitar 28 orang sahaja.

Antara tahun 1964 hingga tahun 1970, agenda terpenting yang sentiasa diperjuangkan oleh KPT ialah masalah kewangan pelajar. Hasilnya, pada tahun 1968 KPT telah berjaya mendapatkan bantuan untuk sebahagian besar pelajar Terengganu daripada Yayasan Terengganu dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu di samping biasiswa Kerajaan Persekutuan dan negara-negara lain seperti Libya, Iraq dan Brunei.

Usaha untuk mendapatkan Asrama Terengganu telah bermula pada tahun 1969 di bawah era kepimpinan Ustaz Mohd Yusof bin Noor. Usaha tersebut diteruskan lagi oleh barisan kepimpinan berikutnya sehinggalah Kerajaan Negeri Terengganu melalui Yayasan Terengganu bersetuju membeli sebuah rumah satu tingkat di Madinat Nasr.

Bermula tahun 1972, KPT mula menekankan pencapaian akademik dan masa depan ahli di samping membantu kebajikan mereka. Majlis Ta’lim, diskusi kitab, tazkirah, ceramah, halaqah perbincangan pelajaran dan forum mula diadakan dan disertai oleh ahli dengan jayanya.

Era 1980 hingga 1990, KPT menghadapi beberapa masalah yang menggugat kesatuan KPT. Umpamanya, KPT dihujani beberapa tohmahan liar dan tidak berasas sehingga menyebabkan hubungan baik KPT dan Yayasan Terengganu renggang. Keluarga ilmuan ini tetap mengambil sikap toleransi dan keadaan kembali jernih demi menjaga kebajikan seluruh pelajar Terengganu. Tambahan pula, sikap matang pimpinan dan ahli menjadi kunci utama keutuhan KPT dapat dijaga dengan baik.

Pada tahun 2011, KPT dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu dan beberapa agensi kerajaan yang lain telah berjaya menguruskan evakuasi penghantaran pulang pelajar-pelajar Terengganu di Mesir ke Malaysia setelah berlaku konflik politik di Mesir. Pihak KPT sekali lagi membantu Kerajaan Negeri Terengganu menguruskan penghantaran kembali keseluruhan pelajar ke Mesir setelah berakhirnya konflik ini.

Tahun 2014, KPT mencecah umur 50 tahun penubuhan. Sambutan Jubli Emas diadakan bersama dalam program tahunan KPT iatu Hari Mahabbah & Silaturahim Anak-anak Terengganu (HARMONI). Pada sambutan kali ini juga, Unit Arkib KPT ditubuhkan bertujuan mengumpulkan segala bahan dan bukti sejarah KPT.

Kerjasama dan hubungan baik KPT dengan Kedutaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Terengganu serta agensi lain seperti Yayasan Terengganu dan MAIDAM kekal berjalan baik sehingga kini. Segala masalah yang timbul dapat diselesaikan dan ditangani dengan baik demi kelangsungan KPT dan kebajikan anak-anak Terengganu di Mesir.

KPT juga berjaya melahirkan kader dan tokoh berwibawa yang mengisi tampuk kepimpinan negeri dan pelbagai bidang dan berbakti kepada masyarakat setelah pulang ke Malaysia. Antaranya Tan Sri Wan Mokhtar Wan Ahmad, Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, Ustaz Harun Taib dan ramai lagi. Mereka ini menjadi cerminan keunggulan dan kegemilangan KPT sebagai persatuan yang melahirkan tokoh-tokoh masa depan yang berwibawa.

Kini, Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) menjangkaui usia matangnya dan sudah 52 tahun menanungi anak-anak Terengganu di Mesir sebagai badan kebajikan dan persatuan mahasiswa. Sepanjang penubuhan ini terlalu banyak dugaan dan cabaran yang dihadapi KPT. Namun, keteguhan dan kesatuan KPT makin berpasak dan utuh dari hari ke hari.

 

*Rujukan : Undang-undang Tubuh KPT Mesir Pindaan 2009 dan Arkib KPT di bawah selian Biro Informasi & Penerbitan KPT Mesir.

(Visited 723 times, 1 visits today)

Comments

comments