KAHERAH, 2 September 2015 – Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Mesir sesi 2014/2015 dengan kerjasama Majlis Kebajikan Keluarga Kedah (MKKK) telah mengadakan program “Solat Hajat Keamanan dan Futsal Merdeka” sempena menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke-58. Program ini diadakan di Padang Futsal Zahra’2 dan dihadiri lebih kurang 80 orang mahasiswa Terengganu dan mahasiswa Kedah.

Program bermula pada jam 7.00 malam dan berakhir pada jam 10.15 malam. Program dimulai dengan solat hajat keamanan Malaysia yang diimamkan oleh YDP MKKK. Seterusnya, Yang Dipertua Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Mesir sesi 2014/2015, Saudara Ahmad Waliyuddin Bin Johari telah menyampaikan kalam alu-aluan. Beliau menekankan berkenaan dengan ukhuwah Islamiah dalam kalangan ahli KPT dan sesama ahli luar seperti ahli taakhi Kedah, Wilayah dan lain-lain agar dieratkan lagi.

Program diteruskan lagi dengan ucapan Yang Dipertua MKKK, Saudara Mohd Shafiq Bin Mohd Naser. Beliau menegaskan kepada semua hadirin supaya berukhuwah bukan hanya dalam kalangan ahli negeri sendiri sahaja bahkan perlu bergaul dengan semua mahasiswa yang ada di Mesir ini bagi menguatkan lagi kekuatan ukhuwah islamiah.

Seterusnya, Ketua Biro Kebudayaan, Kesenian & Sukan KPT Mesir sesi 2014/2015 mengambil peranan membahagikan ahli yang hadir secara berkumpulan bagi memudahkan penyusunan jadual perlawanan.

Program diakhiri dengan kalam penutup daripada Penasihat KPT Mesir sesi 2014/2015, Saudara Ahmad Shahrir Bin Alias. Pihak KPT Mesir dan MKKK sentiasa mengharapkan agar seluruh mahasiswa Islam dapat memelihara keindahan berukhuwah dalam kalangan mahasiswa Islam tanpa mengira latar belakang ataupun kenegerian. Semoga kesatuan KPT Mesir dan Majlis Kebajikan Keluarga Kedah sentiasa utuh dan mampu diteruskan lagi untuk generasi akan datang.

 

 

“BERSAMA BERSATU”
“BERILMU DAN BERAMAL”

 

 

(Visited 49 times, 1 visits today)

Comments

comments