b

“Aku Ibumu! Tidak mudah bagiku melepaskanmu. Aku menangisimu siang dan malam. Jangan salah ertikan air mataku. Itu adalah tangisan seorang ibu yang akan melepaskan puteranya untuk menikahi bidadari. Jalankan tugasmu dan tetaplah menyerang sampai waktu Allah memanggilmu kembali”

Begitulah, suatu ungkapan bertenaga yang dituturkan oleh seorang ibu tatkala menghantar putera-puteranya ke medan jihad. Meskipun dia menangis, namun tangisan itu bukanlah suatu tangisan pilu bahkan tangisan itu merupakan suatu tangisan yang penuh kebanggaan.

Beliau ialah Maryam Muhammad Yusuf Farhat, atau lebih dikenali dengan panggilan Ummu Nidhal. Dilahirkan di Gaza pada tanggal 24 Disember 1949. Mempunyai sepuluh orang cahaya mata, enam lelaki dan empat perempuan, hasil perkongsian hidup dengan Fathi Ferhad seorang polis, yang juga syahid di medan peperangan menentang kekejaman rejim zionis Israel. Tiga daripada enam anak lelakinya syahid di medan peperangan dalam misi “Istiyshadiah”. Oleh sebab itu, beliau diberi julukan Khansa Palestin kerana telah mengikut jejak langkah  salah seorang sahabat Rasulullah S.A.W bernama Khansa’  yang telah mewakafkan keempat-empat puteranya kepada islam dan mereka semua syahid di medan peperangan lalu berita kematian putera-puteranya diterima dengan redha dan hati terbuka.

Pernah suatu ketika, saat mendapat perkhabaran tentang kematian putera keduanya, Muhammad, yang syahid ketika melakukan serangan seorang diri di pos tentera Zionis di Gush Katif, dan sebuah sekolah semi-tentera di bekas jajahan Yahudi di Gaza, Ummu Nidhal dengan penuh redha menutur, “Bagaimana mungkin aku meminta puteraku pulang hidup-hidup? Sedangkan janji Allah untuk mati syahid itu jauh lebih indah & berharga ? aku mengangkat tangan berdoa kepada Allah, namun aku malu untuk meminta agar anakku selamat pulang…”. Beliau kemudiannya keluar mengagihkan manisan kepada kaum kerabat dan jiran tetangga sebagai tanda syukur kerana anaknya dipilih untuk syahid sambil bertutur dalam tangisan gembira,”Alhamdulillah, anakku syahid..anakku syahid” .

Ummu Nidhal sangat mencintai perjuangan. Putera-puteranya berterusan diberi sokongan dan dokongan yang  padu untuk terus menentang kezaliman penjajahan Zionis. Tiga anak lelakinya syahid, dan tiga yang lain dilaporkan berada dalam tawanan tentera Zionis laknatullah. Salah seorang puteranya, Wissam, pernah diletakkan dalam tahanan Israel selama 11 tahun, kerana cubaan melakukan pengeboman berani mati di sebuah perkampungan yahudi di Beer Sheva, daerah Gurun Negev, selatan Hebron. Di dalam buku karangan Zaki Chehab, Inside Hamas: The Untold Stories of Militants, Martyrs, and Spies diceritakan bagaimana setiap tindak tanduk Wissam dalam menentang keganasan dan kezaliman  Zionis merupakan hasil dorongan yang bersungguh-sungguh daripada ibunya,Ummu Nidhal. Beliau pernah berujar, “Wahai anakku, kalian lahir daripada rahimku, kalian  perkara paling berharga yang aku miliki. Bukan suatu yang mudah bagi seorang ibu mengorbankan perkara paling berharga  dalam hidupnya, akan  tetapi tidak ada yang lebih berharga daripada kemulian Islam, Al Aqsa dan  Palestin”.

Ketabahan Ummu Nidhal, menarik perhatian dunia. Bahkan ramai ibu-ibu muslimah mula menyimpan impian untuk mencontohi ketabahan beliau. Ummu Nidhal dijadikan qudwah alaf baru dalam melahirkan dan mendidik kader-kader ummah. Ummu Nidhal pernah menyebut dalam suatu wawancara, “Alhamdulillah Allah telah memilih kami di antara seluruh manusia, dan telah memuliakan kami dengan jihad dan perjanjian untuk membebaskan Palestin daripada cengkaman kezaliman Zionis yang dilaknat. Maka lebih baik kami yang mencari kematian sebagai syuhada sebelum maut datang ketika kami sedang beristirehat di rumah. Semoga Allah memurnikan niat kita, menyatukan kita dalam jihad dan menganugerahkan kita syahid yang suci”.

Pada hari Jumaat yang mulia, bersamaan 15 Mac 2013, Khansa’ Palestin ini mulai tenat. Beliau yang menderita penyakit barah usus, dijemput bertemu Al-Khaliq pada 17 Mac 2013 sekitar jam 2.00 pagi waktu Palestin ketika berusia 64 tahun.  Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyyah, telah memberikan penghormatan terakhir kepada Ummu Nidhal dengan mengusung jenazah beliau ke liang lahad.

Antara perkataan yang sering diungkapkan oleh Ummu Nidhal ialah,”Kematian adalah suatu perkara yang menyedihkan, tetapi jangan bimbang kerana bertemu dengan Allah, adalah suatu kegembiraan yang tidak dapat digambarkan “.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau. Dan semoga di akhir zaman ini, lahir lebih ramai serikandi yang tabah dan berjiwa pejuang sekental Khansa’ Palestin.

 

oleh: FARHAH BINTI MOHD TAJUDIN (Kuliah Syariah Islamiah, Universti Al-Azhar lil Banat, Kaherah, Mesir.

*Artikel daripada Majalah SUTRA KPT edisi 46 sesi 2015/2016

(Visited 176 times, 1 visits today)

Comments

comments