soaljawab

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Soalan 1 : Boleh Ustaz ceritakan pengalaman belajar di Universiti Al-Azhar?

Jawapan : Alhamdulilah, saya mula menuntut di Universiti Al-Azhar pada tahun 1997. Saya terpilih masuk ke kuliah Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar, Kaherah. Antara pengalaman yang menarik, saya mendapat bimbingan secara lansung daripada ramai Ulama’ yang mu’tabar, antaranya Dr. Toha Rayyan, Dr. Abdul Fattah Syeikh, Dr. Nasfariq Wasil & beberapa orang lagi. Banyak mutiara-mutiara ilmu yang saya perolehi daripada tokoh-tokoh tersebut sepanjang berada di dalam kuliah.

Soalan 2 : Bagaimana Ustaz membahagikan masa di antara pengajian & persatuan?

Jawapan : Kita telah diberikan satu pendidikan untuk tidak memisahkan diri daripada kehidupan bermasyarakat, jadi di peringkat mahasiswa adalah melalui persatuan. Kita menyertai persatuan bukan untuk mencari kegagalan dalam pelajaran, tapi untuk menimba ilmu yang tiada di dalam kuliah untuk digunakan pada masa depan. Saya menyertai persatuan di peringkat negeri iaitu Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu & di peringkat pusat iaitu Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir. Sepanjang tempoh saya berada di Mesir, saya tidak mengecualikan diri dalam semua aktiviti-aktiviti persatuan sehingga dilantik menjadi pucuk kepimpinan dalam persatuan. PMRAM pada waktu tersebut telah membuat ketetapan supaya menghentikan semua program sekitar 2 bulan sebelum peperiksaan melainkan program-program yang berkait dengan peperiksaan, seperti program motivasi & sebagainya. Saya melihat persatuan tidak menghalang kemaraan ilmu dalam kalangan mahasiswa & melibatkan diri dalam tafaqquh fiddin, malahan persatuan juga memainkan peranan untuk menghidupkan budaya tafaqquh. Antara usaha PMRAM ialah menjemput Ulama’ daripada Nusantara datang ke bumi Mesir pada setiap bulan Ramadan untuk berkongsi ilmu dengan para mahasiswa. Selain itu, PMRAM juga pernah menganjurkan program bersama para Ulama’ Al-Azhar, seperti Bacaan Sunan Sittah, Riyadussolihin & sebagainya serta banyak lagi program membangunkan keilmuan.

Soalan 3 : Boleh Ustaz ceritakan latar belakang pengajian Ustaz secara lanjut?

Jawapan : Bermula pengajian di peringkat sekolah rendah, seterusnya saya menyambung pengajian di peringkat sekolah menengah di Ma’had Darul Quran selama 7 tahun sehingga Thanawi 4. Dengan izin Allah, saya diberi peluang untuk menuntut ilmu di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir dalam bidang Syariah Islamiah. Setelah selesai Ijazah Pertama, saya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana di Kuliah Al-Imam Al-Auza’ie, Beirut, Lubnan tetapi menetap di Damsyiq, Syria. Pengalaman yang saya peroleh di Syria adalah dapat memperbaiki pencapaian ilmu dengan para Ulama’, antaranya Dr. Ramadan Al-Buti, Dr. Wahbah Az-Zuhaili, Dr. Musthofa Khein, Syekh Usamah & beberapa tokoh Ulama’ yang lain. Selepas berlaku peperangan antara Hizbullah & Israel di Beirut pada tahun 2006, saya pulang ke tanah air memulakan kehidupan yang baru sebagai graduan.

Soalan 4 : Pada pandangan Ustaz, apakah keistimewaan pengajian di Mesir berbanding tempat lain?

Jawapan : Saya tidak suka membuat perbandingan tempat, kerana masing-masing ada keistimewaan yang tersendiri. Rahsia yang paling besar adalah kesungguhan untuk mencapai ilmu tidak kira di mana-mana tempat. Saya mengharapkan semua penuntut ilmu tidak meletakkan lokasi pengajian sebagai satu kelebihan untuk berbangga-bangga dengan mana-mana tempat. Sepatutnya kita memanfaatkan tempat yang telah ditentukan oleh Allah untuk kita supaya menjadi orang yang berjaya. Jika kita membezakan dari sudut material, mungkin perbelanjaan di Mesir lebih murah berbanding tempat lain pada masa sekarang.

Soalan 5 : Apakah pandangan Ustaz mengenai kelemahan berbahasa Arab dalam kalangan mahasiswa Al-Azhar?

Jawapan : Penggunaan bahasa arab di Mesir adalah bahasa pasar (‘Aammiyyah), tetapi ia tidak boleh dijadikan alasan untuk kita meninggalkan bahasa arab (Fusha). Keadaan mahasiswa yang hidup secara berkelompok juga menyebabkan kurangnya penggunaan bahasa arab seolah-olah kita tidak berada di negara arab & kita hidup dalam kelompok sekitar kita semata-mata. Tanpa kita menafikan kebajikan berasrama itu baik, kita perlu mencari usaha yang lain seperti meramaikan kawan-kawan dalam kalangan bangsa arab & bangsa lain, serta menonton drama & membaca buku komik bahasa arab sebagai satu medium untuk memperkasakan penguasaan bahasa arab. Kekurangan kita membaca & mengetahui perkataan-perkataan arab antara faktor kelemahanan kita untuk menguasai bahasa arab.

Soalan 6 : Pada pandangan Ustaz, adakah mahasiswa perlu berpolitik?

Jawapan : Saya melihat kepada kemestian kita berpolitik kerana kita tidak mampu untuk berpisah daripada politik. Tetapi politik kepartian adalah tidak digalakkan untuk kita amalkan di peringkat mahasiswa supaya tidak berlaku ketegangan & kita mampu untuk menjaga keutuhan perpaduan sesama kita. Kemestian kita menguasai politik adalah kerana mahasiswa merupakan aset masa depan Negara. Jika kita tidak memahami erti politik, kita tidak mampu untuk menggalas tanggungjawab yang lebih besar memimpin negara pada masa akan datang. Isu-isu yang berlaku di peringkat negara & antarabangsa perlu diamati oleh mahasiswa supaya kita celik dengan perkembangan semasa. Memiliki pengetahuan tentang pegurusan negara/negeri adalah asas untuk kita menjadi pelapis kempimpinan pada masa akan datang. Tidak mustahil ada dalam kalangan kita yang akan menjadi ahli politik, pemimpin negara, ahli koperat & seumpamanya . Sebagai contoh, Tan Seri Wan Mokhtar Ahmad (Bekas Menteri Besar Terengganu), Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang (Bekas Menteri Besar Terengganu), Tuan Guru Dato’ Harun Taib (Tokoh Politik), Tan Seri Dr. Yusof Mohd Nor (Tokoh Politik), mereka semua adalah garaduan Universiti Al-Azhar, Mesir. Justeru, saya mencadangkan supaya kita melumatkan pengetahuan berkenaan Siyasah Syar’iyyah & menjadikan kitab Siyasah Syar’iyyah karangan Abdul Wahab Khallaf antara bacaan wajib yang mesti kita hadamkan. Pada masa sekarang begitu banyak kitab berkenaan Siyasah Syar’iyyah yang baru diterbitkan di pasaran, tidaklah terlalu tebal tetapi ianya sangat bermanfaat untuk kita memahami neraca politik mengikut Islam .

Soalan 7 : Bagaimanakah cara untuk menjadi seorang pendakwah yang berjaya?

Jawapan : Asas yang paling penting adalah ilmu, jadi kita mesti meletakkan penguasaan ilmu mengatasi segala-galanya. Pendakwah yang berjaya lahir daripada keikhlasan diadunkan dengan penguasaan ilmu untuk kita melaksanakan khidmat & memberikan bimbingan kepada masyarakat. Pendakwah yang berjaya juga tidak terikat dengan penyampaian kerana bukan hanya dengan cara penyampaian kita bercakap semata-mata yang merupakan sebab kita mampu sampaikan dakwah. Sebenarnya pendakwah yang baik adalah pendakwah yang turun ke gelanggang masyarakat & menyaksikan kepedihan yang dilalui oleh mereka dalam kehidupan bagi meneruskan hidup mereka. Oleh sebab itu, seorang pendakwah tidak boleh bergerak seorang diri, tetapi mestilah bergerak secara berorganisasi. Melalui organisasi kita dapat melaksanakan program-program kebajikan & turun ke lapangan untuk memperbaiki kehidupan masyarakat. Insya-Allah akan lahirnya keberkesanan dakwah kerana ia dilihat meberi perhatian terhadap kepentingan mad’u dalam menyampaikan dakwah. Demikian juga cara berkomunikasi dengan mad’u, ianya akan memberikan suatu sentuhan yang lebih hebat apabila kita memiliki kemahiran berkomunikasi terhadap mad’u yang kita sasarkan. Saya suka tegaskan ianya tidak hanya terhad dengan ceramah atau pidato yang lantang & sebagainya, tetapi lebih kepada pendekatan yang lemah lembut mengikut situasi semasa.

Soalan 8 : Apakah harapan Ustaz kepada mahasiswa di Mesir khususnya anak-anak Terengganu?

Jawapan : Saya melihat anak-anak Terengganu berpotensi untuk membantu perkembangan agama Islam di negeri Terengganu. Lepasan Al-Azhar sebahagiannya telah memainkan peranan yang cukup baik setelah pulang ke negeri Terengganu. Saya mengharapkan mahasiswa pada hari ini supaya meneruskan agenda untuk memperbaiki serta memperkukuhkan proses mengembangkan agama Islam sebagaimana yang dilakukan oleh generasi yang terdahulu. Keupayaan sebenar yang mampu kita buat pada hari ini adalah bergantung kepada penguasaan ilmu dengan sebaik mungkin & mempelbagaikan kemahiran untuk kita berkhidmat kepada masyarakat, dalam masa yang sama kita berada dalam satu ketumbukan yang kukuh melalui organisasi yang memainkan peranan dalam arena dakwah, insya-Allah kita akan berjaya melakukan perubahan dalam masyarakat. Oleh itu, tumpukan perhatian kita terhadap pengajian ilmu & manfaatkan masa sepanjang berada di bumi Mesir dengan perkara-perkara yang berfaedah serta memberikan manfaat kepada masa depan agama Islam. Semoga berjaya! InsyaAllah.

 

*Temuramah oleh , Ketua Biro Informasi & Penerbitan KPT Sesi 2014/2015, saudara Noor Ihsan Ab.Razak bersama Ustaz Hishamudin bin Abdul Karim merupakan mantan Presiden PMRAM dan mantan YDP KPT

*  Majalah SUTRA KPT edisi 46 sesi 2015/2016

(Visited 341 times, 1 visits today)

Comments

comments