w

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Bila disebut perkataan Ulama’ maka secara automatik kita akan tergambar kedalaman ilmunya dalam suatu bidang,kepetahan dan susunan dalam bertutur,kewarakan dalam bergaul,pemikiran yang jauh merentasi sempadan kaum dan warna yang sejajar dengan kehendak Islam.

Itulah gambaran kita apabila disebut atau seseorang itu digelarkan sebagai Ulama’ yang selari dengan firman Allah taala dalam surah Faathir ayat 28 yang berbunyi:

((انما يخشى الله من عباده العلماء))

Maksudnya: Dan orang-orang yg takut kepada Allah adalah daripada hambanya adalah dari kalangan Ulama’

Justeru, dari firman Allah taala dapat kita simpulkan bahawa ulama’ adalah mereka yang berilmu lalu ilmu mereka tersebut membawa rasa takut kepada Allah dan membawa amal kepada ilmu yang sebagaimana kita ketahui bahawa ilmu tuntutannya adalah amal maka secara holistiknya ulama’ adalah seorang yang bukan enteng ilmunya,bukan herot pemikirannya,bukan setahun pengalamannya.

Ironinya, jika kita kehilangan mereka maka menjadi suatu musibah yang tak mampu untuk lidah katakan,tak mampu fikiran gambarkan,tak mampu memek wajah simpulkan kerana terpadamnya satu sinaran yang menerangi jalan.Analogi mudah,kita ibarat dalam satu lorong panjang yang gelap gelita lalu diberi satu pelita untuk menjadi bekalan sebagai penyuluh sepanjang perjalanan mencari jalan pulang lalu pelita yang diberi mati.Begitulah gambaran yang dapat diberi betapa sesaknya nafas tatkala bekalan yang diberi sudah tiada,betapa sempitnya dada terasa dan betapa kusut fikiran ketika itu.

Demikianlah baru-baru ini kita diletuskan dengan berita mengenai pemergian seorang tokoh Ulama’ terkemuka yang juga pemikir untuk ummah telah pergi meninggalkan kita dengan khazanah ilmu daripada beliau yang memerlukan kajian dan penilitian dari mereka yang menghargai.Beliau yang dimaksudkan adalah Prof.Dr. Wahbah Az-Zuhaily Rahimahullah taala.Mungkin ramai yang menangisi pemergian beliau,ruang-ruang maya penuh dengan ucapan belasungkawa terhadap pemergian beliau, namun adakah kita mengenali beliau secara dekat atau sekadar tahu beliau adalah seorang yang hebat tanpa ada rasa ingin tahu bagaimana perjalanan hidup beliau?

Maka merasa suatu obligasi dalam penulisan ini akan dibentangkan mengenai perjalanan hidup beliau,jerih perih dalam proses menjadi insan hebat dan karya beliau yang tak akan ‘mati’ walau jasadnya sudah tiada.

Sebelum padau perbincangan yang digali,maka molek dikenali biografi sosok pemikir hebat ini.Nama beliau adalah Wahbah Mustafa Az-Zuhaili merupakan warganegara Syria dari perkampungan Dir-Atiyyah pada tahun 1932.Betapa bertuah seorang ayah yang melahirkan pejuang,pemikir dan penerus kepada survival Ahli Sunnah Wal Jamaah.Kelahiran seorang yang hebat sudah tentu bertitik tolak dari seorang bapa yang bukan biasa-biasa cara didiknya.

BIOGRAFI

Syeikh Wahbah berjaya menghafaz Al Quran ditangan ayah beliau yang amat tegas dalam soal keagamaan.Walaupun ayahnya adalah seorang petani namun semua iti tidak dapat menafikan bahawa beliau telah melahirkan sosok tubuh yang hebat dan menjadi ummah-centric yang dijadikan rujukan seantero dunia.Syeikh Wahbah seterusnya meniti usia mudanya dengan menyambung pengajian awalnya di sebuah sekolah rendah di negara asalnya Syria dan kemudian meneruskan langkah ke peringkat menengah dalam bidang Syariah di ibu bandar Damsyiq selama enam tahun seterusnya merangkul pangkat Imtiyaz(Kepujian tertinggi)  dan yang pertama dalam keseluruhan Kuliyah Syariah pada tahun 1952.Pada masa yang sama beliau berjaya menyempurnakan dalam bidang Adab(Sastera).

Prognosis dalam kejayaan beliau pada zaman remaja telah mendorong Syeikh Wahbah untuk menyusun langkah ke peringkat yang lebih tinggi ke Universiti Al-Azhar dalam bidang Syariah dan menggondol pangkat tertinggi pada tahun 1956.Kejayaan demi kejayaan terukir setelah berjaya memperoleh ijazah pengajaran daripada kuliyah Bahasa Arab Kaherah maka beliau memperoleh dua ijazah dalam satu masa iaitu ijazah dalam bidang Syariah dan ijazah pengajaran.

Selangkah demi selangkah dalam menyempurnakan resipi ilmu dengan mendalami ilmu perundangan dan berjaya memperoleh ijazah Licence(Lc) perundangan dari  Universiti Ain Shams dengan pangkat Jayyid(Baik) pada tahun 1957.Bagaikan air yang mengalir laju,kepintaran beliau bagaikan air yang tak dapat disekat setelah memperoleh Ijazah Sarjana(M.A) dari fakulti Perundangan di Universiti Kaherah pada tahun 1959 dan seterusnya kedoktoran(Phd) pada tahun 1963 dalam bidang perundangan dengan kepujian dalam Syariah Islam menerusi tesis beliau, “Pengaruh Peperangan Dalam Perundangan Islam: Sebuah Kajian Perbandingan Meliputi 8 Mazhab dan Undang-undang Sekular Antarabangsa”.

Dalam menjadi insan ‘luarbiasa’ bukanlah hanya terhenti apabila setelah menggapai semua kejayaan.

Sejak tahun !963,Dr.Wahbah meneruskan pengajaran beliau di Universiti Damsyik(Damascus University) di mana belaiu telah berjaya meraih gelaran Professor sejak tahun 1975.Dalam menulis lembaran pengalaman bukan terhenti setakat mengajar di kampus bahkan beliau merupakan Ahli Tetap Royal Society untuk penyelidikan tamadun Islam Yayasan Al-Bayt di Amman Jordan.Bukan satu institusi yang beliau anggotai malahan menganggotai beberapa insititusi Islam di seluruh dunia antaranya:

-Majlis Al-Ifta’ Syria

-Akademi Fiqh Islam di Jeddah,Arab Saudi

-Akademi Fiqh Islam Amerika Syarikat,India dan Sudan

-Pengerusi Institut penyelidikan bagi Institut Kewangan Islam

-Perundang dalam bidang Syariah kepada syarikat-syarikat dan institusi kewangan Islam termasuk Bank Islam Antarabangsa

-Pendakwah Islam di radio dan kaca televisyen

-Pernah menjadi imam di Masjid Usman,Damsyik

 

PENDIRIAN

Suatu yang amat penting untuk kita mengetahui pendirian seseorang ulama’ itu.Jika Ulama’ itu tegas mempertahankan pendirian yang benar maka selayaknya lah digekar sebagai ulama sebenar.

Seperti yang umum ketahui, Dr Wahbah adalah seorang Ulama’ yang tegar mempertahankan aqidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah dimana ditempat kelahiran beliau sekarang iaitu Syria yang ditimpa pengganas Syiah yang menyebarkan ideologi mereka sendiri.

KARYA-KARYA

Penulisan dan Ulama’ ibarat seperti irama dan lagu,ikan dan air,pena dan kertas yang sememangnya suatu perkara yang sinonim.

Dr.Wahbah yang juga digelar sebagai Imam Syafei ‘kedua’ menghimpunkan khazanah penulisan yang begitu banyak.Menerobos sempadan kemajuan dan teknologi yang membuatkan kita terfikir bagaimana Dr.Wahbah menggembleng masa yang ada.

Maha suci Allah.

Antara karya-karya beliau:

– Athar Al-Harb fi Fiqh Al-Islami Muqoronah Baina Al-Mazahib As-Thamaniyyah Wa Qanun Dualiy(merupakan tesis Ijazah Kedoktoran (Phd) beliau)

-Takhrij wa tahqiq Ahadith Tuhfatul Fuqaha’ li Samarqandi

– Takhrij wa tahqiq ahadith wa athar( Jami’ Ulum wal hikam li Ibni Rajab Al-Hanbali) bersama ta’liq(ulasan) terhadap kitab tersebut

– As-silmi wa Harb fi Islam (di terjemah ke Bahasa perancis)

-Fiqh Islami wa Adillatuhu(11 jilid) diterjemah ke Bahasa Melayu,Turki dan Iran

– Al-Wajiz fi Fiqh Islam

-Al-Wajiz Fi Usul Fiqh(diterjemah ke Bahasa Turki)

-Usul Fiqh Islamiy(diterjemah ke Bahasa Turki)

-Mausua’h Fiqh Mua’sir 8 jilid cetakan dar maktabi

-Mausua’h Fiqh Islami Wa Qodhoya Mua’soroh 14 jilid cetakan Dar Fikr

-Qodhoya Fiqh Wa Fikr Mua’soroh 3 jilid cetakan Dar Fikr

-Fiqh Islamiy(dengan gaya Bahasa terbaru)

-Tajdid Fiqh Islamiy

-Kitab Al Fiqhi Al-Jamie Al Waqi’ Wat Tomuh

-Usul Fiqh Hanafi

-Fiqh Syafei Muyassar

-Fiqh Hanafi Muyassar

-Fiqh Hanbali Muyassar

-Fiqh Maliki Muyassar

-Al-Wasit Fi Usul Fiqh Islamiy

-Nazoriyyatul Dhorurah Syari’yyah(perbandingan)

-Nazoriyyatul Dhoman/Hukmu Masuliyyah Madaniyyah wa Jinaiyyah-pengajian perbandingan nas-nas terpilih dengan kata pengantar,ulasan dan rumusan daripada beliau

-Nizhom Islam-tiga bahagian:bahagian aqidah,bahagian pemerintahan dan hubungan antarabangsa dan bahagian masalah dunia Islam kontemporari

-Uqud Musamma Fi Qanun Mu’amalat (antara masyarakat Emerate(UAE) dan masyarakat Jordan)

– Uqubat Syari’yyah wa asbabiha (tulisan bersama Dr. Ramadhan Ali Sayyid)

-Usul ‘Aam li Wehdatid Din Al-Haq(Usul perbandingan agama yg diterjemah ke bahasa inggeris)

-Juhud Taqnin Fiqh Islamiy

-Biografi Ubadah bin Somit-Usamah bin Zaid-Said bin Musayyib-Umar bin Abdul Aziz

-Dhowabit Syari’yyah lil akhzi bi aisar mazahib

-Rukhos Syar’iyyah ahkamuha wa Dhowabituha

-Islam Dinul Jihad La ‘Udwan

-Islam Dinul Syura Wa Dimoqratiyyah

-Qissoh Quraniyyah hidayah wa bayan

-Ahkam Dhoruriyyah wa Qoti’yyah fi Islam

-Quran Al-Kareem Bunyatihi tasyri’yyah  wa khosois Hadhariyyah(diterjemah ke Bahasa Inggeris)

-Mausua’h Quran Muyassar

-Tafsir Munir Fi Aqidah wa Syariah Wa Manhaj -16 jilid(pernah mendapat anugerah buku terbaik di dunia Islam pada tahun 1995)

-Tafsir Wajiz

-Tafsir Wasit-3 jilid

-Dzaraie fi Siyasah Syari’yyah Wa Fiqh Islamiy(tesis Master beliau pada tahun 1959)

-Qowaid Fiqh Hanbali( dari kitab Al-Mughni Ibnu Qudamah)

-Tahqiq,takhrij dan meringkaskan kitab Al-Anuar Fi Syamail Nabi Al Mukhtar

-Tahqiq dan membuat pembahagian terhadap kitab Toriqul Hijratain wa Bab Saa’datain oleh Ibnu Qayyim Al-Jauzi

-istinsakh Jadal Ilmi wal Din Wa Akhlaq

-kata pengantar dan tahqiq terhadap kitab Nail Authar oleh Imam Syaukani

-kata pengantar dan tahqiq Syarh Sohih Muslim oleh Imam Nawawi

-I’laqah dauliyyah fi Islam

-Huquq Al-Insan fil Islam(tulisan bersama dengan beberap ulama’ lain)

-Al-muwazanah baina Quran wa Sunnah fil Ahkam

-Al-Masorif Islamiyyah

-Al-Mua’malat Maliyyah Mua’soroh

-Iqtisod Islamiy(diterjemah dalam Bahasa Inggeris)

-Akhlaq Muslim I’laqah Bil Mujtama’

-Akhlaq Muslim I’laqah Bil Khuluq

-Akhlaq Muslim Bil Nafs wal Kaun

-Syamail Mustafa sallallahu alaihi wa sallam(diterjemah ke Bahasa Melayu)

-Fatawa ‘Asr

-Fatawa MUa’soroh

-Qowaid Akhlaq Fil Quran Al-Karim -2 jilid cetakan Beirut 2013

-Asyrah Mubasysyirun Bil Jannah cetakan Beirut 2013

-Wudhu’ wa Solah A’la Mazhab Maliki cetakan Dar Hafiz 2013

-Ahadith Nabawiyyah lil Nasyiah cetakan Dar Hafiz 2013

-Min Hisod Sinin Haula Ahammi Qodhoya Al-‘Asr 2015 cetakan Dar Fikr(buku terakhir Dr. Wahbah sebelum meninggal dunia)

Sungguh..pena dan tintanya akan terus mekar subur mewangi walaupun jasadnya sudah tiada kelihatan.

SUDUT PANDANG

Dr Wahbah yang sangat disegani oleh keseluruhan baik kawan mahupun lawan.Ketinggian ilmu yang tak dapat dinafikan meskipun ada yang cuba menafikan.Hidupnya,masanya dan fikirannya yang menjadi khadam kepada ilmu demi nas-nas yang agung,untuk memberi faham kepada ummah.

Ketegasannya dalam isu yang melibatkan watan beliau sendiri iaitu Syria yg tegas menentang segala bentuk keganasan,kezaliman dan pertumpahan darah sesama Islam.

Dr. Wasfi Abu Zaid(Ahli Kesatuan Ulama’ Sedunia dan Pakar Maqasid Syariah) menceritakan pengalaman beliau pada 2007 di dalam satu muktamar sedunia yang dihadiri hampir 500 orang Ulama’ seluruh dunia.Ketika itu Dr.Wahbah Zuhaili dan Syeikh Salim ‘Awwa pernah mengkritik seorang Ulama Mesir yang mengfatwakan bahawa harusnya faedah dan riba bank yang bercanggah dengan majoriti ulama’.Pendapat tersebut disanggah sehingga di damaikan oleh Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi.Lihatlah ketegasan dan keberanian yang ditunjukkan oleh beliau dalam perkara yang bertepatan dengan Nas dan Sunnah.

Syeikh Abdul Hadi Awang(Naib Kesatuan Ulama’ Sedunia ) menyatakan pengalaman bersama Dr.Wahbah yang dengan lantang berkhutbah di dalam masjid dalam menyatakan kebenaran dan mengambil sikap bersama dengan rakyat tanpa keluar dari negara sehingga akhir hayat beliau.Beliau yang turut mengikitiraf gerakan Islam yang menunjukkan beliau bukan sahaja bermain dengan tinta sahaja tapi menegakkannya melalui prinsip kebenaran yang dipegangnya.

Signifikan dalam mengiktiraf Dr. Wahbah sebagai satu model Ulama yang lengkap dan bukannya jargon-jargon agama yang menjaga periuk nasi.

HARI GELAP

Tanggal 8 Ogos 2015 yang sayu dan menjadi saksi pemergian sosok tubuh yang hilangnya tidak berganti dan kalau berganti mungkin tidak serupa.

Kematian seorang Ulama’ menjadi falasi kepada diri kita bahawa semakin dekatnya hari pengakhiran(kiamat) akan menjelma sebagaimana yang disabdakan oleh sosok mulia baginda Nabi S.A.W:

أخرج البخاري في ((صحيحه)) عن عبد اللَّه بن عمرو بن العاص قال: سمعت رسول اللَّه- صلى الله عليه وسلم – يقول : ((إن اللَّه لا يقبض العلم انتزاعـًا ينتزعه من العباد ، ولكن يقبض العلم بقبض العلماء ، حتى إذا لم يبق عالم اتخذ الناس رءوسـًا جهالاً فسئلوا فأفتوا بغير علم ، فضلوا وأضلوا )) . وفي رواية : (( فيبقى ناس جهال يستفتون فيفتون برأيهم ، فيضلون ويضلون)) . والحديث أخرجه مسلم أيضـًا في كتاب العلم .

Maksud: Dikeluarkan Bukhari dalam sahihnya daripada Abdullah bin Amru Bin ‘As berkata: Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W berkata: Sesungguhnya Allah tidak akan mencabut ilmu sekaligus daripada hamba-hambanya tetapi dicabut ilmu dengan dimatikan Ulama’ sehingga tidak ada org yang alim lalu mereka mengambil orang-orang jahil lalu mereka bertanya dan mereka memberi fatwa tanpa ilmu lalu mereka sesat lagi menyesatkan.- dan dalam riwayat yang lain yang dikeluarkan oleh Muslim dalam kitab ilmu : (maka kekallah manusia dalam keadaan jahil lalu mereka memberi fatwa berdasarkan akal mereka maka mereka itu sesat lagi menyesatkan)

Seharusnya hadith ini cukup menjadi peringatan kepada mereka yang mengambil dan melihat dengan mata hati serta berfikir yang membawa zikir kepada Allah dan menulis yang membawa takut kepada Allah.

oleh: Ahmad Azharuddin Bin Abdul Satar ( Mahasiswa Kuliah Syariah Islamiah, Universti Al-Azhar , Kaherah, Mesir.

*Artikel daripada Majalah SUTRA KPT edisi 46 sesi 2015/2016

(Visited 1,630 times, 2 visits today)

Comments

comments